Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Monday 30 April 2012

Akhirnya Mahasiswa Bebas Berpolitik.


Oleh : Dato' Saifuddin Abdullah, Timb. Menteri Pengajian Tinggi Malaysia


Akhirnya, Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dipinda Dewan Rakyat pada 19 April lalu dan mahasiswa dibenarkan berpolitik.

Ia hasil perjuangan panjang banyak pihak. Antaranya ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu badan pelajar paling awal dan konsisten menentang Auku, serta Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Ia disertai, contohnya, Solidariti Mahasiswa Malaysia, Alumni Round Table (bekas aktivis Aspirasi), Majlis Peguam Malaysia, Suhakam, Proham, Ideas, Pakatan Rakyat, Pemuda BN, gerakan akademia dan masyarakat sivil.

Sebelum ini, terdapat tiga mazhab tentang Auku. Pertama, ia tidak perlu dipinda. Kedua, ia perlu dipinda dan ketiga, ia perlu dimansuhkan.

Melalui Seksyen 15(1) yang baru, iaitu mahasiswa boleh menjadi ahli parti politik, maka, berakhirlah mazhab pertama.

Tetapi, sebahagian yang berpegang pada mazhab kedua, termasuk saya, masih belum berpuas hati. Ini kerana Seksyen 15(2)(d) melarang mahasiswa terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus. Justeru, gerakan meminda sepenuhnya seksyen ini dan beberapa seksyen lain akan berterusan. Mazhab ketiga juga akan berterusan.

Langkah terpenting yang menghasilkan kebebasan yang sekian lama dituntut ini datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, iaitu, apabila pada tahun lalu, beliau mengumumkan Auku akan dipinda untuk membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik, tetapi aktiviti politik kepartian tidak dibenarkan di dalam kampus.

Sekalipun Perdana Menteri ingin melakukannya, tetapi terdapat pihak berpegang pada mazhab pertama yang ingin menggagalkannya. Contohnya, dengan memasukkan 15(2)(c) melarang mahasiswa yang memegang jawatan parti politik daripada memegang jawatan badan pelajar di dalam kampus.

Mujurlah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan sokongan Ahli-ahli Parlimen BN, mencadangkan pindaan tambahan bagi menolaknya. Kabinet bersetuju dengannya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee mencadangkan pindaan tambahan lebih komprehensif. Di samping 15(2)(c), beliau menolak 15(2)(d) dan ingin meminda 15(3) dan 15(4). Dewan Rakyat meluluskan cadangan Khairy sahaja.

Auku meliputi IPTA. Supaya meliputi IPTS, UiTM, Politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya, maka, seksyen-seksyen berkaitan dalam Akta 555 dan Akta 174 turut dipinda.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, termasuk pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno tahun lalu, terdapat dua sebab utama untuk membenarkan mahasiswa berpolitik. Pertama, untuk melaksanakan haknya yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan kedua, untuk meningkatkan partisipasinya dalam proses membuat keputusan.

Ia sebahagian daripada transformasi politik untuk mewujudkan politik baru yang lebih sihat dan segar serta demokrasi yang lebih progresif dan matang.

Kini, dasar baru ini mesti dilaksanakan dengan sepenuhnya. Kepemimpinan universiti, terutamanya Hal Ehwal Pelajar (HEP), yang sebelum ini rata-ratanya berpegang pada pendapat pertama, mesti menukar cara berfikir dan bekerja. Manakala mahasiswa perlu menggunakan kebebasan ini dengan bijaksana.

Seksyen 15(2)(d), 15(3) dan 15(4) tidak boleh ditafsir semberono, contohnya, mengekang sokongan terhadap badan tertentu dan pendirian tertentu, mengawal aktiviti media baru, menceroboh hak peribadi dan melarang forum politik.

Makna keberkecualian kampus, yang menyebabkan wujud 15(2)(d) mesti difahami. Contohnya, ia bukan bermakna tidak mengizinkan mahasiswa tertentu bersuara. Sebaliknya, ia bermakna pentadbiran universiti tidak memihak kepada mahasiswa tertentu.

Hidup Mahasiswa Negara!

Saturday 28 April 2012

Debat PTPTN : Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Negara


SHAH ALAM - Debat isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli, 3 Mei ini, akan berlangsung di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, di sini.

Bertemakan Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi, debat, yang anjuran Sinar Harian, akan bermula jam 8 malam.

Masuk adalah percuma.

Mereka yang berminat boleh menghubungi nombor telefon 019-3310211 (Laila), 019-2808492 (Fazli) atau 019-3371066 (Rini).

Rafizi mempelawa Khairy berdebat dengan beliau mengenai isu PTPTN, yang menjadi isu hangat sejak awal bulan lalu, pada 13 April lalu.

Tengah hari tadi, Khairy, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Rembau, menyahut pelawaan Rafizi untuk berdebat menyentuh isu PTPTN yang hangat dibincangkan sekarang.

*bukan hendak mengajak kita berpartisan, cuma isu yang didebatkan melibatkan kita juga. sama-sama kita turun dan dengarkan hujah mereka.

Friday 27 April 2012

Emel Pelajar UiTM @isiswa.uitm.edu.my

 

Emel Pelajar ? Ramai sebenarnya yang masih tidak mengetahui akan kewujudan emel pelajar ini, adakah kerana kurang promosi? atau 'id name' untuk emel yang digunakan agak tidak bersesuaian, 'id name' untuk emel pelajar menggunakan number matriks pelajar dan sememangnya kurang releven untuk pelajar menggunakan emel ini secara kerap.

Setiap pelajar yang mendaftar sebagai pelajar UiTM dibekalkan dengan satu emel dengan menggunakan server hotmail.com dan domain name isiswa.uitm.edu.my, sebagai pelajar UiTM marilah kita eksploitasi kan emel ini untuk kegunaan kita dari menjadi satu projek 'gajah putih' untuk UiTM kerana projek emel ini menggunakan banyak dana yang telah dilaburkan.

Cara-cara untuk menggunakan emel pelajar  :

Login id     :  201xxxxxxx@isiswa.uitm.edu.my (number matriks@isiswa.uitm.edu.my)
Password  :  *Nombor Kad Pengenalan.

Login di sini > www.hotmail.com

Fungsi emel ini juga adalah untuk menjadi satu medium kepada pihak UiTM untuk memberikan segala info terkini melalui emel dan juga keputusan peperiksaan akhir pelajar, cadangan kami kepada Pihak pengurusan emel adalah - UiTM perlu untuk menggunakan satu page khas untuk emel seperti student Emel USM (rujuk:sini) supaya boleh memudahkan lagi pelajar-pelajar dan lebih mesra pelanggan. Tk

Wednesday 25 April 2012

Politik di UiTM


UiTM begitu dikenali sebagai satu IPTA yang mengongkong mahasiswanya terlibat secara terus dengan pelbagai aktiviti politik, tetapi dalam masa yang sama, segala aktiviti politik beraliran kanan dibenarkan, di manakah ketelusan dalam memberikan kebebasan berpolitik itu sendiri kepada mahasiswa yang rata-rata sudah matang dan melepasi umur layak mengundi.

Baru-baru ini, satu status update di dalam facebook pages Dato VC kita mengenai politik dimana Dato' menjawab dengan satu jawapan ringkas " Ayuna nak takut apa? Kita sama2 Melayu dan bumiputra." (rujuk: sini) Jika difahami melayu yang dimaksudkan disini adalah tidak bukan adalah parti politik beraliran Kanan, sehingga terdapat satu komen di wall tersebut dari Encik Amran Ahmad yang berkata "Sebagai seorang bapa keputusan saya hantar anak saya ke UiTM untuk di serap fahaman politik pro Kerajaan",

Status update tersebut mendapat respon yang meluas dari mahasiswa UiTM sendiri di mana rata-rata sudah muak dengan permainan politik dalam kampus, bagi kami pelajar2, sudah cukup matang untuk membuat pilihan, tidak perlu untuk menyogok kami dengan kata-kata kenang jasa dan sebagainya, segala jasa yang dilakukan itu adalah satu tanggungjawab kepada sesiapa jua yang naik menjadi kerajaan tidak kira dari aliran kanan mahupun kiri, kedua-duanya perlu untuk menjalankan tanggungjawab tersebut kepada rakyat.

Sebagai satu institusi pengajian awam, kita perlulah bebas dari segala anasir politik dimana sering dalam ucapan pemimpin2 negara yang tidak mahu mahasiswa menjadi kuda tunggangan mana-mana parti politik dan terlibat dalam politik sempit, bagi kami inilah politik sempit, dalam mengalas tanggungjawab sebagai sebuah institusi pengajian awam yang bebas dan neutral, kita perlulah bebas untuk menyuarakan pendapat walaupun bukan dari aliran yang sama, ini tidak, jika segala demostrasi yang membabitkan aliran kiri, mahasiswa dilarang keras untuk menyertai tetapi jika demostrasi melibatkan kepentingan aliran kanan, seperti mata ditutup segala akta yang disanjung entah lupa hilang ke mana

Kebanyakkan program yang diwajibkan di UiTM juga seperti modul, LDK, ceramah dan sebagainya jelas berunsurkan politik aliran kanan, di mana ketelusan yang dilaungkan selama ini? Jika melibatkan politik, kedua-duanya perlu dilibatkan, itulah konsep sebenar demokrasi.

Kita… jangan mudah terlupa pengorbanan, perjuangan anak bangsa
Kita… jangan mudah terleka kemajuan, keamanan yang ada
Kita… berterima kasih pada pemimpin-pemimpin negara
Kita… rasa penuh bersyukur kerahmatan, kemuliaan dariNya

Bersyukur bukan kepada makhluk, tetapi kita bersyukur kepada Tuhan yang Maha Esa yang memberikan kita keamanan dan sehingga saat ini UiTM masih berdiri gah untuk menjadi payung yang memayungi anak bangsa.

Tuesday 3 April 2012

Perihal PTPTN


OBJEKTIF PTPTN

PTPTN diwujudkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 untuk memastikan masalah kewangan bukan lagi menjadi halangan untuk melanjutkan pelajaran bagi warga Malaysia.

Benarkah begitu?

Purata mahasiswa/wi sudahpun mempunyai hutang sebanyak RM 30, 000, mengambil kira kos pembelajaran ketika Diploma dan Ijazah, walhal kita mampu untuk mempunyai sistem pendidikan percuma tanpa perlu kepada PTPTN. Lihat sahaja ketirisan yang berlaku dalam Laporan Audit Negara tahun ini sahaja, hampir RM 20 bilion bocor kerna salah guna kuasa dan rasuah berleluasa.

ISU PEMBERHENTIAN PINJAMAN PTPTN.

PTPTN berhasrat untuk menghentikan pinjaman dari tahun 2013 atas alasan untuk mengurangkan bebanan hutang tanggungan mereka, akibat dari keliatan peminjam untuk membayar balik pinjaman yang diberikan.

Adakah semata mata faktor begitu, hingga segera objektif PTPTN ditubuhkan segera dilanggar? Atau ekonomi Negara kita ini semakin terkesan akibat dari beban belanjawan yang menyebabkan hutang negara hampir RM 455.75 bilion?

Siapa yang akan menerima beban lanjutan dari cadangan pemberhentian PTPTN ini?

Kita, kita dan kita, lihat statistik di bawah.

MEREKA YANG TERKESAN DENGAN PEMBERHENTIAN PTPTN.

Ini seakan akan berlawanan dengan objektifnya, di mana warga Malaysia yang paling terkesan ialah mereka seperti :

2.5 juta bakal mahasiswa dan mahasiswi yang dijangka memohon PTPTN tahun hadapan melibatkan program sijil,ijazah dan diploma.Setakat ini, pinjaman diberikan berjumlah RM 41.6 bilion melibatkan 1.87 juta pelajar sejak 14 tahun lalu.

40% dari 28 juta rakyat Malaysia yang berumur 17-23 tahun yang masih memerlukan bantuan kewangan dalam pendidikan.

Mahasiswa/wi di 71 buah IPTA dan 630 IPTS seramai 731,698 dalam pelbagai bidang pengajian yang pastinya akan bertambah.(2006)

Keluarga berpendapatan kelas rendah dan menengah yang membentuk 70% rakyat Malaysia

i) dengan kadar kemiskinan tegar =gaji RM 500/sebulan

ii)masyarakat pertengahan =bergaji RM 1000/ sebulan dengan tanggungan seramai 5 orang.

PENDIDIKAN TINGGI DALAM BELANJAWAN NEGARA

Beberapa skop perlu diberi perhatian berkenaan pemberhentian pinjaman PTPTN ini,antaranya ialah :

1) Pengurangan peruntukan dalam belanjawan untuk sektor pendidikan tinggi yang makin lama, makin menurun, sebaliknya peruntukan untuk pertahanan meningkat beratus ratus kali ganda.
Yang mana lagi penting, pendidikan atau pertahanan?
Adakah kita ini di dalam landasan yang baik untuk mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dan berteraskan pengetahuan tinggi, jika fokus belanjawan kita celaru?

2) Yang sistem pendidikan tinggi sedang melalui proses pengswastaan yang serius.
Di dalam Rancangan Malaysia ke-9, 20% daripada RM 20 bilion diletakkan di bawah projekPrivate Finance Initiative( PFI), di mana pihak swasta akan bertindak mengurus dan membina pusat pengajian tinggi, kesannya ialah, pasti akan ada peningkatan yuran dan kos pentadbiran.

3) Isu di dalam belanjawan tahun 2012 yang lepas.
Hampir tiada langsung peruntukan penambahan bagi sektor pendidikan tinggi yang mewakili 40% populasi penduduk Malaysia, sebaliknya fokus hanya diberikan kepada pendidikan menengah dan rendah yang hanya bersifat populis dan sementara.

BEBANAN HUTANG DAN KOS SARA HIDUP YANG DITANGGUNG OLEH ANDA:

Berdasarkan gaji purata iaitu sebanyak RM 2000/ sebulan oleh seorang graduan lepasan ijazah, (jika anda bernasib baik)!

di bawah merupakan beberapa perkara asas hidup yang ditanggung oleh anda, seorang bujang dan berangan angan untuk kahwin, fikirkan semula!

Perkara
Kos
Makanan Asas
RM 15/ sehari x 30 hari = RM 450

Tempat Tinggal
RM 250 / sebulan

Ansuran kenderaan (paling asas, Perodua VIVA)
Rm 450/ sebulan

Telekomunikasi
RM 100

Pakaian
RM 100

Belanja Am ( Barangan seperti sabun, minyak kereta)
RM 400

Belanja Am Perkhidmatan ( Servis kenderaan , Bil Elektrik, etc)
RM 150

JUMLAH
RM 1900

dan ini sebelum berlaku kecemasan atau apa apa perkara yang melibatkan duit, jadinya, di mana ruang untuk kita, pelajar yang baru memasuki alam pekerjaan untuk membayar semula hutang pinjaman PTPTN ?

dan ini sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan kelak yang melibatkan semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai sebanyak 6%.
Dan ya, gaji dan pinjaman graduan kita masih akan berada pada takuk yang sama.
Jadi apakah cukup berbaki RM 100 dari gaji pokok RM 2000 untuk membayar hutang pinjaman secara terus menerus dengan kadar servis caj perkhidmatan yang meningkat dari tahun ke tahun.
Fikirkan!

CADANGAN DARI PIHAK KAMI UNTUK DIKONGSI BERSAMA :


1) Kos pentadbiran yang perlu diselaraskan, bukannya berubah rubah dan tidak sekata. Semua pinjaman harus diberikan kadar yang sama. Semua pinjaman wajib diselaraskan hanya 1 %.

2) Penetapan gaji minima sebanyak RM 1500 seperti yang dirangka oleh kerajaan Negeri Selangor untuk menggalakkan keupayaan untuk membayar hutang PTPTN.

3) Urus tadbir serta tata kelola kerajaan dalam menguruskan wang rakyat serta implementasi belanjawan yang baik. Setiap tahun, melalui Laporan Audit Negara yang dikeluarkan, ketirisan wang sebanyak hampir RM 20 Bilion akibat dari rasuah dan urus tadbir yang lemah.

4) Masa pembayaran semula pinjaman PTPTN, bukan 6 bulan selepas habis pembelajaran, sebaliknya dilanjutkan sehingga mahasiswa/ mahasiswi mencapai kestabilan dalam pekerjaan, iaitu kira kira setahun selepas habis belajar.

5) Keutamaan pendidikan tinggi dalam belanjawan negara perlulah diberi tumpuan, bukannya hanya peruntukan untuk pertahanan, yang mencatatkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 722% dari tahun 2000-04 dan di dalam Rancangan Malaysia ke-10, perbelanjaan pertahanan ialah sebanyak RM 23 bilion.

Pada April 2010 sahaja, pihak kerajaan berbelanja RM10 billion di Ekspo Persenjataan Kuala Lumpur. Dengan nilai duit yang sedemikian, kita boleh membina memberi pembiayaian pendidikan yang percuma kepada hampir beratus ratus ribu pelajar!

Mahasiswa/wi sekalian, sedar dan fikirkanlah kesan dari sistem pendidikan tinggi kita ini. Marilah kita merasa bertanggungjwab untuk menyampaikan dan membincangkan perkara ini, agar beroleh oleh kita satu kesedaran, bahwa kita punyai tanggungjawab untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik!

Sampaikan dan berkongsilah makalah ini bersama rakan rakan yang lain. Terima kasih daun keladi.

Rujukan :
1) Laporan Belanjawan 2011 dan 2012
2) Laporan Rancangan Malaysia ke-9
3) Laporan akhbar Utusan Malaysia, portal akhbar The Malaysian Insider dan Malaysiakini.com
4) Laporan Stockholm International Peace Research Institute (Sipri) 2009
5) Laporan dari Majalah TIME


Disediakan Oleh: Ahmad Albab.