Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Tuesday 30 April 2013

Catatan Buat Aktor Politik Negeri Ini.



Tulisan ringkas ini adalah sebagai peringatan dan dokongan buat pemimpin dan pemain politik sama ada yang berparti atau tidak berparti. Tinggal beberapa hari sahaja lagi akan tiba waktu kemuncak dalam proses kita meraikan demokrasi yang berjalan lima tahun sekali.

Kempen yang diadakan dalam beberapa hari lepas menunjukkan bahawa senario masih tak berubah seperti musim PRU yang dahulu. Mudahnya, pengamalan politik yang kita jalankan masih berada di tahap kematangan yang rendah. Seperti biasa, sentimen dan persepsi dijulang lebih tinggi daripada idea dan dasar.
Ramai orang berkata bahawa PRU kali ini milik anak muda dan rakyat kerana memperlihatkan partisipasi yang lebih lincah daripada sebelum ini. Kita sedar bahawa anak muda dan rakyat pada hari ini inginkan perubahan, tidak kurang juga ada yang mahu kekal dengan apa yang ada. Itu hak masing-masing dan ia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, apa yang tidak enak adalah apabila pemimpin-pemimpin politik memainkan drama sumbang di saat-saat genting pemilihan tampuk pemerintahan negeri ini.
Betul kata orang, kerana kuasa manusia sanggup lakukan apa sahaja termasuk membadutkan diri sendiri, menjual agama bahkan bercakap bohong tentang perkara-perkara penting pengurusan negeri ini.
Saya melihat bahawa dalam melalui bahagian-bahagian permainan kuasa ini, pemimpin politik harus sedar bahawa rakyat iaitu penyokong masing-masing telah bertungkus-lumus ‘bekerja’ selama beberapa tahun untuk pemimpin masing-masing.

Analisis sering juga menunjukkan bahawa PRU ini adalah paling kritikal disebabkan tempias gelombang kebangkitan sebelum ini. Dijangka akan berlaku pertempuran paling dahsyat antara dua koalisi ; Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Oleh sebab itu, aktor-aktor ini berusaha melakukan apa sahaja bagi menjamin kemenangan malah untuk memantapkan pengaruh parti dan blok masing-masing.Maka, jangan nanti dek kerana sikap pemimpin politik,  rakyat binasa dan derita kerana di akhirnya nanti rakyat yang akan menentukan..


KHAIRUL NAIM RAFIDI,
MAHASISWA UNDANG-UNDANG UiTM SHAH ALAM
PRESIDEN MAHASISWA MELAYU PROGRESIF (M.M.P)

Sunday 21 April 2013

Mahasiswa UiTM, Ubah!



Ramai yang menyangka mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sifatnya pasif dan ‘lemau’ di dalam sudut pengetahuan isu-isu semasa terutamanya isu yang melibatkan politik dan tadbir urus negara. Apabila sebut sahaja UiTM, kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan UiTM ini universiti United Malay National Organization. Bagaikan isi dengan kuku, berpisah tiada. Mahsiswa UiTM hari ini, tidak lagi seperti zaman Mat Sabu dan Ibrahim Ali di mana sewaktu zaman mahasiswa mereka, lantang menyatakan hak dan menentang kezaliman pemerintah.

Sangkaan ramai itu mungkin ada benarnya. Hanya segelintir sahaja yang cakna dan sudi untuk menelaah isu-isu yang berlaku dalam negara ini. Bahkan isu melibatkan saudara kita yang ditindas di Palestin, Syira dan Rohingya pun ada diantara mereka yang tidak tahu.
Hal ini berlaku kerana pelbagai program-program yang ada kaitan dengan United Malay National Organization kerap dianjurkan di sini, di setiap cawangan UiTM. Mahasiswa semester satu yang baru mendaftar dan barisan kepimpinan yang ada di UiTM kebiasaannya akan dihantar ke Biro Tata Negara di mana program ini bertujuan untuk ‘basuh’ minda pelajar supaya menjadi seorang mahasiswa yang taat setia kepada United Malay National Organization dan juga menanam rasa benci kepada kaum cina dan india. Saya sendiri telah menyertai Biro Tata Negara sebanyak dua kali. Sahabat saya yang dahulunya neutral tidak bersama-sama dengan mana-mana parti politik hari ini sudah menjadi OKU ataupun ‘Orang Kuat UMNO’. Biro Tata Negara hakikatnya sebuah program yang baik untuk memupuk rasa cinta kepada negara, semangat patriotik dan semangat perpaduan namun hari ini telah disalah guna oleh United Malays National Organization.

Bukan sekadar itu, program-program dan aktiviti-aktiviti yang ingin dianjurkan oleh mahasiswa perlu ditapis oleh Hal Ehwal Pelajar terlebih dahulu. Proses penapisan kertas kerja pesatuan dan kelab berlaku dengan sangat tidak adil terutamanya melibatkan program yang berbentuk kerohanian dan ilmiah. Hal Ehwal Pelajar tentu dan pasti akan perhati, meneliti dan menyelidik sedalam-dalamnya siapakah penceramah yang bakal dijemput. Biodata penceramah perlu diserahkan terlebih dahulu. Sekiranya didapati penceramah itu ada sedikit unsur-unsur yang boleh dikaitkan dengan mana-mana parti pembangkang, maka akan terbatal-lah program itu atau diarahkan untuk mencari penceramah lain.

Sudah banyak kali berlaku, sahabat saya menganjurkan program dakwah dengan menjemput saudara Sham Kamikaze lalu permohonan beliau terbatal kerana kononnya Hal Ehwal Pelajar dapati penceramah yang dijemput ada kaitan dengan Parti Islam Se-Malaysia. Pengalaman seorang sahabat lagi, Nabilah daripada UiTM Cawangan Machang merupakan ketua projek bagi program ‘Cinta Remaja’ dan penceramahnya adalah novelis terkenal saudara Hilal Ashraf juga ditolak kerana alasan Hal Ehwal Pelajar penceramah itu ada kaitan dengan pembangkang.

Tetapi hal sebegini ini tidak berlaku kepada persatuan yang pro aspirasi atau senang kata pro kepada kerajaan. Salah satu contoh terdekat adalah persatuan KARISMA JASA. Mereka boleh menjemput siapa sahaja pemimpin dan ustaz daripada United Malay National Organization untuk menyampaikan ceramah. Di UiTM Induk Shah Alam dan UiTM Cawangan Jengka, Ustaz Fathul Bari mendapat lesen daripada  pihak pengurusan untuk masuk dan beri ceramah. Di UiTM Cawangan Segamat pula, Forum Hudud diluluskan atas nama akademik. Percayalah, jika persatuan lain mahu anjurkan program penerangan Hudud dan menjemput pemimpin atau ulama daripada PAS, pasti akan ditolak mentah-mentah oleh Hal Ehwal Pelajar atas alasan ‘mahasiswa tidak boleh berpolitik’. Jemput Ustaz Azhar Idrus? Lagi lah jangan bermimpi.

Hal Ehwal Pelajar tidak sepatutnya bertindak sedemikian rupa, tindakan seperti ini tidak adil kepada mahasiswa sedangkan Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Chanselor UiTM pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, sesiapa sahaja daripada mana-mana parti politik dalam negara, luar negara tidak dibenarkan masuk UiTM bagi menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Mahasiswa. Kenyataan yang dibuat oleh Naib Chanselor bertujuan untuk membersihkan mahasiswa UiTM daripada dipengaruhi oleh politikus-politikus di luar sana.
Sebab itu program dakwah, program agama di UiTM tampak sedikit terbantut. Bahkan ada juga pemimpin mahasiswa, salah seorang daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar di UiTM yang mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya menggubal sahsiah rupa diri yang sedia ada kepada yang lebih Islamik dengan tujuan agar dapat membendung siswi daripada memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan menjolok mata. Cadangan ini juga ditolak walaupun mahasiswa UiTM 90 peratus adalah Melayu Islam.

Sekiranya mahasiswa mahu edar risalah Islam, makanya isi kandungan risalah perlu ditapis terlebih dahulu agar tidak menyentuh isu-isu politik. Tidak menyentuh soal hudud. Tidak menyentuh isu yang boleh dikaitkan dengan salah laku pemerintah. Maklumlah, United Malays National Organization tidak melaksanakan Islam sepenuhnya. Mereka takut. Orang lain mahu laksana Islam, dihalang dan ditentang habis-habisan. Seperti biasa, program-program menyanyi dan menari sangat mudah untuk diluluskan. Konsert, pertandingan menyanyi dan sewaktu dengannya sangat banyak dianjurkan di seluruh UiTM.

Mahasiswa UiTM juga dihalang daripada menyertai apa-apa demonstrasi jalanan. Saudara Khalid Ismath daripada fakulti undang-undang UiTM Shah Alam digantung 3 semester kerana menyertai demonstrasi mansuh PTPTN tetapi didakwa atas dakwaan berpolitk dan memalukan nama UiTM. Saya hairan hanya saudara Khalid Ismath sahaja dikenakan tindakan, tetapi tidak mahasiswa lain. Bagaimana dengan mahasiswa yang menyertai demo ‘We Love PM’? Mahasiswa yang menyertai Pehimpunan Agong United Malays National Organization? Bukankah mereka juga telah berkecimpung dalam aktiviti politik? Saya tidak hairan apabila mahasiswa anti-kerajaan dikenakan tindakan kerana UiTM sendiri banyak bekerjasama dengan United Malays National Organization apabila menganjurkan program atas nama program khidmat masyarakat.

Begitulah ‘sebahagian’ cara United Malays National Organization menindas pemikiran mahasiswa UiTM. Saya rasa bertanggungjawab untuk tampil menceritakan kepada orang ramai sebahagian isu yang berlaku dalam UiTM dan ianya berdasarkan pengalaman 2 tahun saya menjadi salah seorang ahli daripada organisasi mahasiswa tertinggi dalam UiTM iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Tujuan tulisan ini dihasilkan bukan untuk memburukkan UiTM tetapi untuk menyedarkan masyarakat terutamanya mahasiswa UiTM itu sendiri.

Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa UiTM agar bangkit daripada lena dan mimpi ngeri ini. Buang istilah takut dalam diri kalian. Anda perlu sedar hak anda, hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat walaupun ianya jauh berbeza dengan pendapat pemerintah. Kita perlu menghidupkan kembali sejarah mahasiswa ITM hebat zaman Mat Sabu dan Ibrahim Ali yang lantang menyatakan hak dan membantah kezaliman. Gunakan speaker corners sebaik mungkin untuk sebarkan berita yang benar, edar risalah dan anjurkan program yang beri manfaat kepada mahasiswa agar mahasiswa kembali sedar dan bangkit. Selagi mahasiswa UiTM tidur, selagi itulah mereka akan menindas pemikiran mahasiswa sekalian.

Yang sayangkan UiTM,

Zuddin 
-Mahasiswa UiTM Machang 2013 -


Sunday 14 April 2013

POLITIK MAHASISWA DAN PRU13



Rakyat Malaysia pelbagai golongan semua sedar bahawa PRU13 merupakan pilihan raya paling kritikal semenjak merdeka kerana ia akan memperlihatkan pertempuran dua koalisi besar iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Sekiranya kita menjenguk kembali garis masa politik di Malaysia, buat pertama kalinya Barisan Nasional gagal mempertahankan dua pertiga majoriti parlimen adalah pada tahun 1969 yang menyaksikan pertumpahan darah apabila peristiwa 13 Mei berlaku.
Umum sedar bahawa perkara ini terjadi disebabkan undi protes orang Melayu ketika itu yang marah terhadap pemerintahan Tunku Abdul Rahman. Menurut catatan Dr. Mahathir, orang-orang Melayu ketika itu begitu marah terhadap tindakan Tunku yang terlalu ‘memberi muka’ kepada orang-orang cina.

Namun begitu, sejarah juga memperlihatkan bahawa tanpa sedar golongan mahasiswa juga memainkan peranan besar ketika pilihan raya 1969 sehingga Perikatan gagal dalam mempertahankan majoriti parlimen. Mahasiswa ketika itu telah berkempen sekitar Malaysia sebagai golongan non-partisan. Mereka kemudiannya mencanangkan manifesto mahasiswa dan calon yang bagaimana sepatutnya diundi oleh rakyat.
Mungkin secara kebetulan, perjuangan dan manifesto mahasiswa ketika itu selari dengan dasar yang dibawa oleh parti-parti pembangkang ketika itu. Justeru, tindakan ini juga boleh dikira sebagai salah satu punca kekalahan kerusi-kerusi kuat Perikatan pada tahun 1969. Maka, terjadilah peristiwa 13 Mei yang sering dimain-mainkan oleh ahli politik konservatif hari ini.
Tindakan ini telah merungsingkan pihak kerajaan. Maka, terciptalah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang dicanangkan oleh Dr. Mahathir yang ketika itu bertindak sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1971 iaitu selepas dua tahun parlimen digantung.
Namun begitu, AUKU gagal meragut semangat mahasiswa untuk berjuang bersama rakyat apabila mahasiswa terus aktif sebagai golongan pendesak sehingga berlakunya Demonstrasi Baling 1974 apabila AUKU diperketat oleh pihak kerajaan.



Mahasiswa hari ini.
Hari ini mahasiswa tidak seperti dahulu. Mood dan partisipasi mahasiswa dalam politik juga berubah. Saya melihat bahawa AUKU tidak boleh disalahkan sepenuhnya dalam proses ‘kemandulan’ dan kepekaan mahasiswa pada hari ini. Mungkin buku tulisan Dato’ Saifuddin Abdullah “Kalau Saya Mahasiswa” dapat menjelaskan perkara ini dengan lebih lanjut.
Menurut pemerhatian saya, senario politik mahasiswa dahulu dan hari ini bagai langit dengan bumi. Jika dahulu, mereka bergerak dalam satu misi yang jelas iaitu bersama rakyat.
Kini, mahasiswa terpecah kepada empat ; mahasiswa pro –  kerajaan (sering dirujuk kepada pro-aspirasi), pro – pembangkang (sering dirujuk kepada pro – mahasiswa ) , mahasiswa neutral (ambil jalan tengah) dan mahasiswa yang tidak mahu campur tangan dalam hal-hal politik.
Peristiwa demi peristiwa memperlihatkan golongan kedua ; pro – mahasiswa adalah paling vokal dalam membawa isu mirip rakyat. Dalam usaha untuk membincangkan perkara ini, saya rujuk kepada satu koalisi iaitu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang melibatkan beberapa fron mahasiswa.
SMM dilihat sebagai golongan yang radikal dan keras menentang pemerintah ; United Malays National Organisation/Barisan Nasional sehinggakan wujud kenyataan keterlaluan yang mengatakan SMM adalah ‘macai’ pembangkang, Pro – Anwar dan seumpamanya. Kenyataan seperti ini bukan perkara asing apabila siri-siri perjuangan SMM jelas menentang dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan hari ini.



Pindaan Seksyen 15 AUKU
Selepas terbentuknya Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), SMM lebih ‘jalang’ menentang Umno/BN apabila mendesak kerajaan memansuhkan terus AUKU serta membebaskan mahasiswa daripada cengkaman pihak pemerintah.
Idea ini memercik sehingga tercetusnya fenomena apabila Adam Adli (Aktivis Legasi Mahasiswa Progesif) menurunkan bendera Najib Razak dan menaikkan bendera BEBAS ketika usaha menyerahkan memorandum di PWTC.
Akhirnya, atas desakan ini AUKU telah dipinda apabila mahasiswa diberi sedikit ruang untuk berpolitik. Mahasiswa dibenarkan menyertai mana-mana parti politik dengan syarat tidak membawa pengaruh politik kepartian di dalam kampus.
Malangnya, apa yang saya dapat lihat kepekaan dan partisipasi mahasiswa dalam politik masih di tahap yang lemah. Ia tidak memberi impak kerana kebenaran berpolitik itu dirujuk kepada ‘masuk parti’ walhal kita sedia maklum bahawa tindakan menyertai parti politik itu tidak begitu populis dalam kalangan mahasiswa.

Menjelang “Hari Penentuan”
Menjelang PRU13 pada 5 Mei ini, pelbagai persoalan bermain di benak saya. Negara kita adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka yang menang serta mendapat kepercayaan rakyat boleh membentuk sebuah kerajaan.
Justeru, tidak hairan juga ada kemungkinan PRU kali ini menyaksikan perubahan besar sama ada BN terus menjadi jaguh atau PR menang buat pertama kalinya.
Antara persoalan yang bermain di fikiran saya adalah apakah nasib politik mahasiswa selepas PRU13 ini andai kata PR memerintah?
Maksud saya adalah mahasiswa selepas AUKU. Berkemungkinan besar impian mahasiswa ingin hidup tanpa AUKU itu menjadi kenyataan. Tetapi, adakah mahasiswa bersedia untuk menghadapi situasi tersebut kerana menurut hemat saya, SMM sendiri ditubuh sebagai simbol protes mahasiswa terhadap AUKU yang menjerut leher anak mahasiswa selepas 1971.
Dalam menghadapi transisi ini, saya kira mahasiswa perlu merenung semula garis perjuangan selepas ini. Tindakan GM13 untuk bertanding pada saya tidak menyelesaikan masalah yang mendatang.
Ini jelas apabila ramai anak muda seolah tidak sepakat dan bersetuju dalam isu ini. Bukan saya kata, mereka kata.



Peranan Mahasiswa Selepas AUKU.
Harus diingat bahawa andai PR memerintah, mereka akan menjadi sebuah kerajaan yang sangat kuat berdasarkan siri kecaman dan pengalaman-pengalaman lepas. Menumbangkan PR selepas kemenangannya bukan semudah itu sahaja.
Di sudut yang lain, Umno/BN pula berkemungkinan besar akan menjadi pembangkang yang sangat lemah selepas lebih lima dekad selesa menjadi pemerintah.
Dalam menghadapi saat ini, Umno/BN mungkin memerlukan masa yang sangat lama untuk menyediakan diri sebagai satu pihak yang memberi ‘check and balance’.
Justeru, mahasiswa harus mempunyai perancangan yang baru dalam menghadapi saat ini. Sudah menjadi lumrah, apabila satu badan atau organisasi itu sudah begitu lama dan ‘selesa’, kadang-kala perjalanan itu sedikit tersasar. Itu lumrah!
Kemungkinan alternatif lain perlu dibentuk bagi menyelesaikan masalah ‘kemandulan’ ini. Saya melihat bahawa terdapat golongan bahawa yang begitu peka dan rancak dalam melayan isu politik semasa. Tetapi, mereka tidak melibatkan diri kerana mungkin tidak bersetuju dengan pembawakan dan idea platform semasa.
Oleh itu, saya berharap supaya satu solusi dapat dibentuk demi pencerahan dan kepentingan masyarakat sivil. Jika tidak saya percaya perjuangan akan tinggal ‘perjuangan’.

KHAIRUL NAIM RAFIDI,
PENULIS ADALAH MAHASISWA UNDANG-UNDANG UiTM DAN PEMIMPIN MAHASISWA MELAYU PROGRESIF (M.M.P) dan GABUNGAN MAHASISWA UiTM SeMALAYSIA (GAMUS)