Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Wednesday 27 November 2013

BOIKOT BUKAN KERANA BENCI TAPI ATAS DASAR SAYANG PADA UiTM,DEMI UiTM.


Atas Nama Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Tulisan ini saya tulis atas rasa cinta pada UiTM, rasa sayang pada UiTM. Buruk- baik UiTM, ia sudah menjadi sebahagian dari saya, “alma-mater” saya. Dan kerana rasa sayang juga lah kita semua perlu boikot Pilihan Raya Kampus (PRK) UiTM. Kenapa?

SEJARAH

Teman teman semua, UiTM (dulunya ITM)  suatu ketika dulu cukup digeruni dalam pembawaan isu mahasiswa. Pemimpin pemimpin pelajar dari ITM seperti Ibrahim Ali dan Malek Hussin cukup lantang bersuara, kritis dan cakna.  Namun selepas akta 174 diguna pakai, mahasiswa ITM semakin lesu dan hingga sekarang, mahasiswa UiTM  sering dilabel sebagai mahasiswa yang “ignorant” terhadap isu semasa, sering dipandang enteng oleh masyarakat kerana dianggap pentingkan diri sendiri.

Malah kelesuan ini seolah olah diterajui oleh MPP sendiri.  MPP yang diberi amanat oleh kita semua,  untuk menjadi wakil kita, pelajar biasa, ke depan seolah lesu dalam membawa isu mahasiswa. Sehinggakan ada yang menggelar mereka Majlis Perwakilan Pentadbiran bukan Majlis Perwakilan Pelajar seperti yang sepatutnya. MPP sepatutnya menjadi entiti yang membawa masuk pembaharuan, progresif dan terbuka dalam mendengar suara kita semua tapi yang sebaliknya pula berlaku,mereka lah yang tertutup dalam menerima pembaharuan, mereka lah yang pertama melenting bila di kritik. Apa? Oh lupa, mengkritik bukan budaya kita dan pemimpin kita pantang di kritik!

Kenapa perlu boikot?

Umum mengetahui, MPP dilantik melalui proses Pilihanraya Kampus sepertimana universiti lain. Pernahkah teman-teman semua terfikir kenapa ia digelar pilihanraya bukan pemilihan? Bukan undian kampus? Kerana pada hemat saya, ianya mahu digambarkan seperti Pilihanraya Umum. Suatu proses pemilihanyang penting dalam menentukan hala tuju negara, proses  yang meriah, yang mendapat sambutan hangat tak kira haluan politik. Namun ianya hanya indah khabar dari rupa.

Kita semua tahu macam mana PRK berlangsung di UiTM dan betapa hambarnya PRK di UiTM dan malangnya  ia hanya berlaku di UiTM. Malah kalau ditanya pada mahasiswa, mungkin ada yang tidak tahu apa itu PRK. PRK sepatutnya menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh kita semua, kerana masa ini lah kita sebagai pelajar  boleh menggunakan kuasa kita untuk memilih. Ini lah masanya untuk kita sebagai mahasiswa untuk meraikan hak kita. Namun hak ini seakan ditarik atau dinafikan melalui beberapa kepincangan yang sengaja dicipta untuk mengekalkan hagemoni sesetengah pihak. Ini boleh dilihat apabila 13 fakulti menang tanpa bertanding untuk PRK kali ini, lebih separuh daripada jumlah fakulti yang dipertandingkan.

Kepincangan.

Teman-teman semua, PRK kali ini hadir dengan penuh kejutan. Daripada tarikh-tarikh penting PRK hinggalah kepada jumlah fakulti yang menang tanpa bertanding. Tiada siapa yang boleh menduga bila PRK akan diadakan hingga lah beberapa hari terakhir sebelum  borang diedarkan. Malah syarat-syarat am untuk bertanding juga tidak dihebahkan kepada umum. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu akan syarat syarat untuk bertanding. Itu belum diambil kira “keperluan khas” untuk menjadi calon yang “direstui” oleh HEP. Berapa ramai dikalangan kita, pelajar biasa yang tahu akan kem-kem yang diadakan untuk menapis bakal-bakal calon? Kalau tahu pun tidak, masakan kita boleh menyertai kem tersebut?

Teman-teman semua, HEP tidak sepatutnya menapis bakal-bakal calon melalui kem-kem seperti ini kerana ia seolah menafikan hak semua mahasiswa yang lepas syarat am untuk menjadi calon, walaupun berbeza aliran dengan HEP. Biar kita semua yang tentukan siapa yang akan dilantik. Bukan HEP! Demokrasi yang dimomokan ada di UiTM adalah “Selected Candidates Democracy” bukannya “Elected Representatives Democracy”. Itu belum diambil kira calon-calon yang “dinasihatkan” agar tidak bertanding oleh sesetengah pihak dan yang ‘tidak sempat’ untuk dapatkan tandatangan dekan sebelum tarikh akhir penyerahan borang. Malah ada juga beberapa suara yang mendakwa e-voting yang diguna pakai di ‘manipulate’ oleh sesetengah pihak dan belum diambil kira latar belakang jawatankuasa SPRK UiTM.

Pembaharuan.

Teman-teman semua, demi menyemarakkan lagi PRK di UiTM,segala kepincangan di atas perlu di atasi dan kita semua perlu mencadangkan agar Kerusi Umum dipertandingkan. Kerusi umum adalah satu kerusi yang melibatkan semua mahasiswa, kita semua, tanpa mengira fakulti akan diberi pilihan untuk mengundi orang yang sama. YDP MPP (sepatutnya JPP) dan beberapa Majlis Tertinggi JPP perlu dikhaskan untuk calon yang memenangi kerusi umum ini. Kenapa mereka ini perlu datang dari pemenang kerusi umum? Kerana ianya akan meningkatkan lagi rasa tanggungjawab mereka terhadap kita semua tanpa mengira fakulti, kerana mereka dipilih oleh kita semua, bukan mahasiswa fakulti mereka sahaja. Contohnya, YDP sebelum ini datang dari Fakulti Kejuruteraan, berapa ramai antara kita dari fakulti lain yang  pernah bertentang mata dengan YDP selain di majlis-majlis rasmi yang mewajibkan kehadiran YDP?

Keduanya, perlu ada satu slot khas untuk calon calon, membahaskan manifesto mereka, debat ala “US Presidential Debate” akan memberi ruang kepada kita semua untuk menilai kematangan calon calon, bukan sekadar membaca manifesto dari kertas tanpa tahu apa yang mereka ungkapkan. Kita perlu melangkah ke depan dan Rapat Umum yang selama 30 minit untuk empat calon tidak cukup untuk itu. Ini akan menggalakkan para calon untuk tampil dengan manifesto yang lebih matang, bukannya manifesto “budak sekolah” .



“Renaissance Age”.

Beberapa tahun kebelakangan ini, mahasiswa UiTM semakin lantang dan semakin berani dalam menyatakan pendapat mereka. Tidak kisah lah berpaksikan aliran apa, yang penting berani untuk bersuara. Kita semua perlu meraikan kepelbagaian pendapat kerana dari pendapat, lahirlah sepakat.Dan saya sifatkan perihal ini sebagai zaman kebangkitan mahasiswa UiTM yang telah lama ditidurkan dia ianya sesuatu yang amat positif dan dinantikan oleh kita semua.

Disebalik kelesuan MPP kita, kehambaran PRK UiTM, kepincangan pemilihan, saya percaya, kita semua masih ada harapan. Kita semua tidak seperti yang diperkatakan oleh orang luar, PRK UiTM berpotensi untuk jadi lebih baik. Setiap manusia dilahirkan hebat, dan kita, mahasiswa UiTM juga tidak terkecuali kerana menjadi mahasiswa UiTM, bukanlah satu dosa, tapi satu rahmat.

Akhir kata dari saya, kita semua sayangkan UiTM, “alma-mater” kita, dan kita semua ada cara masing masing dalam menunjukkan rasa sayang kita. Ingatlah teman, apa yang kita buat ini bukan untuk keburukan, tapi untuk kebaikan bersama. Boikot bukan kerana benci, tapi boikot lah kerana rasa sayang pada UiTM.


Karl

*Karl merupakan ahli Mara Rennaisance Front dan juga pengasas GAMUS.

Friday 22 November 2013

Pilihanraya Kampus UiTM 2013 #DemiUiTM


Musim Pilihanraya Kampus (PRK) kini kembali, kehangatan PRK di IPTA lain seperti UKM, UM dan UIA begitu dirasai apabila mendapat tempat di akhbar-akhbar tempatan, tetapi berbeza dengan apa yang berlaku pada PRK UiTM, ini kerana mahasiswa UiTM sendiri tidak mengetahui dan mendapat info tentang bila PRK akan dilaksanakan.

PRK UiTM dilihat seperti sekadar simbol bahawa Universiti ini masih demokratik dan menjunjung prinsip demokrasi, walhal yang berlaku di sebalik tabir, satu tangan ghaib ( dibaca : Hal Ehwal Pelajar - HEP ) mengawal dan mencorakkan PRK ini,  setiap calon MPP sebenarnya telah dipilih awal-awal lagi dan setiap calon yang ingin bertanding perlu melepasi beberapa saringan kem rahsia ( menurut sumber : terdapat 8 Kem sepanjang semester ) , setiap mereka yang mengikuti kem ini tidak dibenarkan membawa sebarang alat komunikasi seperti telefon bimbit, mereka akan ‘dibrainwash’ sepanjang kem dan didalam perjalanan menuju ke Kem-Kem rahsia ini, setiap peserta diwajibkan menutup mata mereka menggunakan kain hitam, di antara lokasi kem ini diadakan adalah di Pantai Remis, Perak.

Pilihanraya Kampus (PRK) UiTM juga sebenarnya bersifat ekslusif dan dalaman apabila hari pengambilan borang Calon MPP, tidak diwar-warkan kepada umum, malahan kelibat Dekan Fakulti juga amat sukar untuk dijumpai oleh calon-calon bebas yang bukan dari calon pilihan HEP.  Tanpa pengesahan Dekan, maka kelayakan untuk bertanding telah gugur, hal ini dapat menjawab tomahan bahawa mahasiswa UiTM tidak peka dengan politik kampus apabila banyak Fakulti calonnya menang tanpa bertanding, tetapi hal sebenarnya, calon-calon yang bukan pilihan telah digugurkan dan yang dibenarkan bertanding hanyalah calon-calon mereka sahaja.

Seusai penamaan calon,  Calon-calon MPP yang mendapat kelayakan untuk bertanding ini akan dikuarantinkan dari pelajar-pelajar lain, jika di Kampus Induk, mereka akan dikuarantinkan di INTEKMA Resort, Shah Alam.  Sepanjang tempoh kuarantin, mereka sekali lagi akan ‘dibrainwash’ oleh beberapa pihak dan sewaktu kuarantin ini dilaksanakan, kelibat ahli politik UMNO juga dapat dilihat memasuki kawasan INTEKMA.  

Hari kempen calon juga amat minima, mahasiswa tidak mempunyai cukup masa untuk mengenali calon  dan apa manifesto yang dibawa mereka ( manifesto kebanyakkan calon MPP ini adalah agak sama dan terlalu umum ) , calon- calon seharusnya perlu untuk berdebat diantara mereka bagi mahasiswa atau para pengundi dapat melihat ciri kepimpinan yang ada pada seseorang calon tersebut selain mahasiswa dapat berfikir secara kritis terhadap sesuatu isu yang dibawa. 
  
Apabila tiba hari mengundi, semangat untuk mengundi dikalangan mahasiswa sendiri amat kurang dan merasakan ianya tidak penting, kerana seawal lagi PRK ini telah dinisbatkan kepada sesuatu yang tidak perlu bagi mahasiswa apabila tarikh-tarikh dan info penting untuk PRK tidak dihebahkan, sekadar menjadi hal bualan orang dalaman sahaja.  Apa perlunya untuk mengundi jika calon-calon ini telah dipilih?  Satu faktor yang menyebabkan PRK UiTM dilihat lesu adalah apabila kerusi yang dipertandingkan hanya lah kerusi Fakulti, PRK UiTM tidak mempertandingkan Kerusi Umum untuk calon-calon yang bakal merebut Ahli Majlis Tertinggi dalam Majlis Perwakilan Pelajar, MT MPP ini juga hanyalah dipilih melalui sesi undian angkat tangan sesama calon yang menang, tidak ubah seperti kanak-kanak Sekolah Rendah memilih ketua kelas bagi menjadi wakil mereka.

Selesai sahaja penamaan calon, terpampang di media cetak mahupun elektronik bahawa Pro-Aspirasi menang besar di UiTM, tetapi realitinya di dalam syarat untuk bertanding, calon JPP ini tidak boleh mengadakan satu pakatan, jadi bagaimana mereka boleh dilabelkan kepada Pro-Aspirasi? Jika benar hal ini dibolehkan, maka wajar sekali Pro-Mahasiswa atau Pro-Demokrasi diberikan hak mereka untuk bertanding.

Kesimpulannya, PRK UiTM ini hanyalah sekadar simbolik bahawa universiti masih demokratik, calon-calon MPP ini hanyalah boneka kepada tangan ghaib ini,  apabila mereka menjadi MPP, kebanyakkan manifesto tidak ditunaikan, aduan Mahasiswa mengenai sesuatu perkara juga dipandang enteng, dengan menggunakan skema jawapan yang sama supaya “bersyukur” , jadi apa relevennya mereka membuka kotak aduan? MPP juga dikatakan sebagai Majlis Perwakilan Pentadbiran, ini kerana jika terdapat kritikan dan cadangan tentang penambahbaikan sesuatu perkara, skema jawapan sama akan diberikan seperti “kami telah ajukan kepada pihak atasan”, “kami tidak boleh buat apa-apa kerana itu keputusan pihak atasan”.  Jadi apa objektif kami mengundi anda sebagai MPP jika anda hanya mengikut tanpa prinsip, anda mewakili siapa? Menjadi jurucakap pihak pentadbiran atau Wakil kepada Mahasiswa? Jika anda merasakan MPP ini adalah wakil mahasiswa maka buktikan dan jangan lah hanya menjadi “bagai Langau dibelakang Gajah ”.