Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK
Showing posts with label Hafizan Halim. Show all posts
Showing posts with label Hafizan Halim. Show all posts

Monday, 2 January 2012

Menginsafi Diriku Sebagai Seorang Mahasiswa

Menginsafi Diriku Sebagai Seorang Mahasiswa
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

            Tiada siapa pun mahu mendapat kesusahan. Tiada siapa pun mahu mendapat kesakitan. Tetapi apabila sudah menyebut tentang perjuangan, pastinya tidak dapat lari dari sebarang ujian. Itu sudah menjadi adat perjuangan. Cabaran dan ujian mendatang dari luar dan dalam. Dari luar sahaja sudah dihujani dengan pelbagai cemuhan dan sangkaan buruk. Dari dalam diri pula terpaksa bertarung dengan semangat yang turun naik. Hanya pada Allah SWT, Tuhan yang Maha Berkuasa sahaja sebaik-baik tempat menyerah segala urusan dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah.

            Di satu pihak sana sedang memperjuangkan kebebasan dalam beberapa lapangan. Di pihak sini sekadar memerhati dengan sabar disamping berdoa semoga perjuangan mereka diredhai dan dikurniakan kejayaan oleh Pemilik segala kejayaan. Dalam sabar menunggu, satu persatu usaha dipergiat dengan bersungguh-sungguh. Aku disini hanya mengimbangi perjuangan mereka disana. Masing-masing punya kemampuan yang tersendiri. 

            Mereka disana berjuang untuk membuka pintu kebebasan di dalam ruang yang sememangnya menjadi hak bagi seorang mahasiswa. Apabila pintu sudah dibuka, tatkala diri di sini sudah bersiap-siaga dengan persiapan kekuatan dan kemampuan ilmu, sudah pasti aku akan masuk kedalam untuk mengisi segenap ruang yang ada bagi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

            Semoga suatu masa kelak, tertonjollah segala manfaat yang dapat diperoleh dari ruang itu. Biar masyarakat di sana lihat dan merasainya sendiri isi perjuangan yang panjang ini. Agar usaha yang ada dalam perjuangan ini memahat sejarah yang membanggakan generasi mahasiswa kelak. Pada waktu itu, mereka sekadar perlu menjaganya dan menambahbaik apa yang perlu sahaja.

Thursday, 22 December 2011

Buat mahasiswa yang sayangkan negara...

Buat mahasiswa yang sayangkan negara...
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

Rentetan perjalanan negara yang dicapai oleh pemikiran mahasiswa telah membawanya kepada satu penterjemahan yang telus dan jujur. Dengan pendekatan yang lebih terbuka dan mereka sudah tidak lagi mahu menipu diri mereka hanya sekadar untuk menyedapkan mata yang melihat dan halwa telinga buat yang mendengar. Dengan rasa prihatin dalam diri, mereka bingkas bangun terlebih dahulu menyuarakan keperitan realiti kehidupan daripada menunggu realiti itu sendiri berkata-kata dengan bahana buat masyarakat dalam negara ini. 

            Tetapi dalam kelantangan menyuarakan realiti kehidupan yang sudah terbungkam buat sekian lama dalam diri berdarah muda ini, biarlah bijak menyusun langkah, tepat menghunus hujah dan bicara kata supaya tidak nanti " Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran." 

            Bagi yang punya jalan mereka sendiri untuk menyuarakan realiti kehidupan, jangan sesekali dicemuh jalan itu. Mereka punya sebab tersendiri yang lebih meyakinkan diri mereka untuk berjalan dengan jalan yang mereka pilih. Dan jika kita punya jalan tersendiri, berusahalah bersungguh-sungguh dengan jalan itu. Hormatilah jalan yang mereka pilih. Jangan sesekali mencemuh perbezaan jalan yang dilalui. 

            Tidak dinafikan ada dikalangan mahasiswa yang hanya mampu menyuarakan idea dan pandangan mereka terhadap persoalan kenegaraan melalui alam maya sahaja. Dan bagi yang menzahirkan idea dan pandangan mereka di alam realiti, janganlah pula dilabel pelbagai macam label negatif hanya disebabkan kita tidak mampu berbuat demikian. Masing-masing berjuang dengan ruang kemampuan yang mereka ada dan yakini.

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
 - Prof Ungku A. Aziz.

Monday, 12 December 2011

Politik dan Mahasiswa

Politik dan Mahasiswa
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

Buat sekian lama pemerhatian saya melalui keadaan semasa, pembacaan, serta terlibat sama dalam perbincangan umum, timbul satu persoalan dan mungkin juga satu luahan pendapat yang terbungkam di dada selama ini : Kenapa sebahagian daripada masyarakat sentiasa menganggap pemuda tidak boleh terlibat dengan sesuatu perkara yang berbaur politik, sedangkan di satu tempat lain pula dilaungkan pemuda generasi emas negara, pemuda tulang belakang negara dan seumpamanya yang memuji kekuatan yang ada pada golongan pemuda. Saya setuju pemuda yang tidak berkelayakan tidak boleh terlibat dengan politik kerana majoriti golongan pemuda merupakan pelajar yang masih menimba ilmu pengetahuan di setiap institusi pengajian. Tetapi lantaran kita menyedari bahawa generasi pemuda sekarang bakal menerajui tampuk kepimpinan pada masa hadapan. Oleh sebab itu, generasi pemuda perlu berada dalam satu ruang pra kepimpinan supaya lebih bersedia menggalas tanggungjawab yang sangat besar itu. 

            Jangan pula masyarakat yang sedia ada merasa lebih selesa dengan membiarkan generasi muda bergelumang dengan maksiat daripada menyentuh dan menjenguk hal-hal politik. Ini merupakan satu penyakit yang nyata. Jika kita semua terus berada dalam keselesaan ini tanpa mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, kelak kita akan ketandusan pemimpin yang berkaliber dan bijaksana yang mana datang daripada generasi pemuda itu sendiri. Jangan pula kelak kita menangis dan menyesal negara kita diambil orang yang tidak adil dan kejam sehingga agama Islam yang murni ini tergadai maruahnya. 

            Apabila membicarakan hal ini, saya merujuk kembali ucapan daripada Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi yang saya ambil daripada sebuah buku yang bertajuk Menjadi Belia Cemerlang yang ditulis oleh Mohd. Ismail Mustari. Beliau menyatakan, " Perlu segera disedari, bahawa pemuda kebangkitan Islam adalah generasi termahal dan paling berharga yang terdapat di negeri-negeri kaum Muslimin. Dalam khutbah Aidil Adha di Iskandariah, Mesir, beberapa tahun yang lalu, saya tegaskan kepada jemaah, " Sesungguhnya yang termahal di Mesir bukanlah kapas, minyak dan terusan Suez, tetapi para pemudanya." Pemuda mukmin yang lurus merupakan potensi termahal dalam masyarakat. Mereka adalah kekayaan masyarakat yang sebenarnya, mereka tabungan masa depan ummah. Oleh kerana itu, sewajarnya kita memberi perhatian yang besar kepadanya. jika anda meninggalkan mereka, maka dengan siapa lagi mereka mahu membangun dan memajukan ummah."

            Ya! Kita sering diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan unsur yang negatif yang dimainkan oleh pihak pembangkang ataupun pihak berhaluan kiri, tidak dinafikan usaha kita berkempen akan peringatan terhadap cabaran itu sangat hebat. Tetapi tidak pula hebat dalam usaha dalam menerangkan modul politik yang sebenar tanpa dipengaruhi ataupun cenderung terhadap mana-mana sentimen parti dan membiarkanmereka sendiri memilih. Sebab pada usia ini mereka sudah tahu memilih yang mana lebih baik untuk dipilih memimpin negara setelah menyedari keperluan bagi kepimpinan melalui penerangan yang sudah diterangkan dalam modul politik yang sebenar itu. Lalu, apa yang tinggal, masing-masing pemimpin pula berusaha menonjolkan keadilan dan kebijaksanaan pemikiran dalam tampuk kepimpinan yang mereka sedia galas sekarang. Itulah keseimbangan yang diharapkan wujud dalam ruang demokrasi yang sepatutnya, tambahan pula di sebuah negara yang majoritinya Melayu yang beragama Islam .

            Menjadi harapan semua pihak agar dapat bernaung dibawah kepimpinan yang bersifat adil dan saksama. Yang mana setiap perkara itu berada pada yang haq.

Sunday, 11 December 2011

Pengajaran Daripada al-Jazari

Pengajaran Daripada al-Jazari 

Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

Dalam program Ilmuwan Islam terbitan TV3 yang diacarakan oleh Dr. Maszlee Malik. Ianya menceritakan tentang ilmuwan Islam yang terkenal dalam bidang kejuruteraan terutamanya mekanikal iaitu al-Jazari. Apabila al-Jazari mencipta alat mekanikal automatik untuk mengangkutkan air bagi tujuan pengairan, dia berwaspada dengan persepsi masyarakat ketika itu. Ini disebabkan pada ketika itu, sesiapa yang menggerakkan sesuatu peralatan tanpa menggunakan tenaga manusia dan binatang akan dianggapkan sebagai magik atau menggunakan sihir. Jadi bagi mengelakkan dia dituduh mengamalkan sihir, beliau telah meletakkan seekor keldai diatas alat mekanikal tersebut bagi menunjukkan alat tersebut berfungsi menggunakan kuasa binatang manakala bahagian bawahnya berfungsi secara automatik. 

            Di dalam program itu turut menyatakan bahawa tamadun Islam bertuah kerana al-Jazari yang meneroka teknologi tersebut. Ini kerana ilmu mekanik sebelum zamannya dikenali sebagai sains muslihat. Dan sesiapa yang yang mempunyai niat serong akan menggunakan ilmu tersebut bagi menjadikan diri mereka dipandang hebat. Selain itu, mereka akan menggunakannya untuk menunjukkan bahawa itu adalah magik dan lebih teruk lagi, mengatakan diri mereka Tuhan. Ini dibuktikan pada zaman Firaun. Ketika itu, pintu gerbang dibuka dengan menggunakan kuasa hidraulik dan berfungsi secara automatik. Lalu, Firaun menggunakannya untuk mengatakan dirinya adalah Tuhan dengan cara apabila dia menunjukkan jarinya ke arah pintu gerbang, ianya akan terbuka dengan sendiri. Itu membuatkan sesiapa yang melihatnya akan mengatakan bahawa Firaun mempunyai kuasa yang hebat dan mengakui dia sebagai Tuhan. Berlainan dengan al-Jazari. Beliau merupakan seorang ilmuwan Islam yang beriman. Segala kemahiran dan ilmu kejuteraan tersebut digunakan untuk masyarakat ketika itu bagi mengairi saliran air. Dan ilmu ini apabila semakin diterokai, semakin membuatkan dirinya sedar sebagai seorang hamba kepada Maha Pencipta.

            Selepas menyorot kembali sejarah kehidupan dan hasil inovasi al-Jazari. Ianya membuat saya berfikirkan akan perbandingan zamannya dengan zaman sekarang. Menyedari kembali akan semua itu, kecanggihan teknologi sepatutnya dikuasai oleh manusia yang beriman. Jika ianya dikuasai oleh manusia yang mempunyai pelbagai sifat buruk, ianya akan membuatkan kecanggihan teknologi dan manfaat darinya akan kabur dan pelbagai persepsi negatif akan diberikan kepada teknologi tersebut. Seperti kebanyakkan teknologi yang kita ada sekarang. Antara teknologi yang paling jelas yang boleh dibuat contoh adalah teknologi nuklear. Lihat sahaja apabila teknologi nuklear dikuasai oleh Amerika. Sungguhpun mereka menjadikannya sebagai kuasa untuk menjana tenaga bagi dimanfaatkan oleh masyarakat dinegara itu tetapi ianya lebih banyak dijadikan bom. Dan digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang mereka musuhi. Walaupun Iran menuju kearah untuk membina kemudahan loji tenaga nuklear di negaranya bagi dimanfaatkan sepenuh untuk kegunaan kearah kebaikan seperti menjana elektrik. Tetapi persepsi masyarakat dunia yang sudah tertanam dalam pemikiran mereka bahawa nuklear itu merupakan suatu yang buruk dek kerana tangan-tangan yang menguasai teknologi itu menggunakannya kearah kemusnahan. Dengan mudahnya dunia menerima provokasi daripada Amerika yang menuduh Iran mahu mambangunkan teknologi pemusnah daripada teknologi nuklear tersebut. Lalu, Iran yang berniat mahu menggunakannya bagi tujuan yang baik pun  turut disalah anggap oleh masyarakat dunia dengan pelbagai tuduhan yang mengatakan Iran mahu membangunkan teknologi pemusnah secara besar-besaran. Walaupun Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad telah menyatakan berulang kali bahawa teknologi nuklear tersebut dibangunkan untuk dimanfaatkan oleh negara Iran bagi menjana tenaga elektrik.

            Apa yang saya cuba huraikan di sini bukanlah satu kesimpulan yang ringkas tanpa memahaminya dengan baik. Tetapi ianya merupakan satu pengajaran yang jelas daripada apa yang berlaku kepada al-Jazari dalam usahanya untuk meneroka dan melestarikan kembali satu teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh umat manusia bagi tujuan kebaikan. Oleh sebab itu, perlunya pada zaman sekarang orang yang beriman dan mampu menguasai pelbagai cabang teknologi. Supaya dapatlah dimurnikan kembali pelbagai teknologi yang disalahguna untuk tujuan keburukan yang memudaratkan umat manusia dan juga alam sekitar. 

            Keadaan ini merujuk kembali akan kesejahteraan dan kemurniaan yang dituntut dalam ajaran Islam dan ianya hanya dapat dizahirkan oleh umat Islam yang beriman sahaja. Umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan dan sentiasa berusaha kearahnya. Oleh sebab itu, kedatangan Islam adalah untuk membebaskan umat manusia daripada cengkaman kuasa teknologi yang telah disalahgunakan oleh sebahagian kelompok manusia yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat keatas manusia yang lain.

            Sesungguhnya golongan profesional dalam bidang-bidang penting perlu diberi kefahaman yang sebenar akan tuntutan Islam supaya wujud pemurniaan dalam  bidang keilmuan lantas membawa kepada pemurniaan bidang teknologi yang akan berkembang kelak bagi generasi seterusnya. Besar sungguh tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mahasiswa Islam. Satu pengajaran penting buat mahasiswa Islam seluruh dunia. Terharu rasanya kerana saya sendiri mempunyai bahagian yang perlu dilaksanakan dalam tuntutan tanggungjawab itu.

            Alhamdulillah. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT yang menyedarkan saya akan tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk umat manusia sekeliannya melalui program Ilmuwan Islam yang saya tonton pada jam 6.30 petang Jumaat, 11 November 2011. TV3 sememangnya akan menjadi pendorong inspirasi, pengislahkan pemikiran masyarakat dan memcambahkan pelbagai idea perubahan yang lebih baik jika pengisian programnya lebih berkonsepkan ilmu pengetahuan dan perbincangan sejarah kegemilangan Islam.

" Generalisation "

" Generalisation "
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

Istilah ini saya peroleh daripada ucapan Timbalan Rektor HEP UiTM, Kampus Seri Iskandar iaitu Prof. Madya Mohd Fisal bin Ishak yang berucap dalam Majlis Beramah mesra Bahagian Keselamatan Bersama Pelajar anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Beliau merujuk akan sikap sebahagian pelajar yang secara terus menyalahkan pihak Bahagian Keselamatan apabila menghadapi masalah dengan Pengawal Keselamatan sehingga memburukkan semua pihak yang berada dalam bahagian tersebut. 

            Pengkhususan dalam beberapa perkara yang dibincangkan amatlah perlu bagi mengelakkan ianya bersifat umum lantas melibatkan semua pihak. Dalam erti kata lain sesuatu lontaran pendapat ataupun kritikan perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin dengan menyatakan pengkhususan pihak yang terlibat bagi mengelakkan pihak lain turut terkena tempiasnya. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sedangkan dalam al-Quran sendiri pun mengkhususkan dan memperincikan setiap perkara mengikut ukuran ataupun klasifikasinya, Perkara ini saya merujuk buku Adab Dialog Dalam Islam, tulisan Dr. Muhammad Sayyid Tantawi yang menyatakan dalam mukasurat 57, perenggan ketiga : "Kita dapati Allah SWT tidak menafikan kesyukuran, keimanan, jihad dan kebajikan daripada seluruh manusia, tetapi ia dikaitkan dengan bilangan yang sedikit sahaja, iaitu mereka yang beriman dan bersyukur serta berjhad dengan ikhlas". Dalam erti kata lain, dalam al-Quran itu sendiri dikhususkan hukum dan peringatan dengan menggunakan ayat seperti "sebahagian","sedikit" dan "kebanyakkan". 

            Dari sini kita dapat lihat, al-Quran mengajak manusia supaya berfikir secara teliti dan berhati-hari dalam sebarang urusan terutamanya perkara yang melibatkan orang lain dengan mengkaji dan menganalisis terlebih dahulu. Ini perlu bagi menyuarakan sesuatu pendapat secara tepat dan jelas. Jika tidak, ianya akan menyusahkan pihak yang tidak terlibat dalam sesuatu masalah itu. Keadaan ini secara jelas saya merujuk kepada mahasiswa sekarang apabila menghadapi sebarang masalah ataupun kesulitan, kebanyakkannya akan secara terus menuding jari kepada semua orang dalam sesuatu pihak itu tanpa mengkhususkannya dengan baik. Secara tidak langsung, ia bukannya dapat menyelesaikan masalah tetapi memburuk lagi keadaan dan sesebuah pihak yang dituduh itu.

            Menjadi satu keperluan yang penting bagi mahasiswa untuk merenung kembali penulisan ini dalam usaha membuang sejauh mungkin permikiran sebegini supaya kita dapat menjadi mahasiswa yang tepat dan jelas dalam menyuarakan sesuatu masalah kepada pihak yang bertanggungjawab. Sebagai mahasiswa Islam, marilah kita melihat kembali pendekatan yang al-Quran bawa dalam membimbing manusia kearah jalan yang benar, supaya tidak terbabas dari landasan yang sebenar dalam menghadapi cabaran yang mendatang hari demi hari sepanjang kita menuntut ilmu. 

Friday, 9 December 2011

Suntikan Sekularisme dalam Sistem Pendidikan

Jika dilihat kembali pada aspek sejarah, pada awal penjajahan Barat ke atas dunia Islam adalah dengan memberi pengaruh pemikiran mereka kepada generasi muda melalui institusi pendidikan.  Terdapat beberapa proses yang disusun oleh pihak penjajah dengan mengasingkan sekolah agama dan sekolah ingeris diberi tempat-tempat yang mudah dicapai dan strategik serta diberi sokongan kewangan oleh pihak penjajah.  Dan pelajar lepasan sekolah Inggeris diberi peluang pekerjaan yang baik sehingga orang menganggap dengan pergi belajar di sekolah Inggeris, kehidupan mereka lebih terjamin dan lebih menguntungkan. 
           
            Di sini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pihak penjajah sengaja menampakkan skop sekolah Inggeris dalam bentuk yang lebih luas bagi menanggapi pemikiran umat Islam sebagai sesuatu yang menguntungkan. Manakala, sekolah agama pula diberikan satu skop yang kecil sehingga umat Islam sebahagiannya menganggap mereka tiada pekerjaan dan tiada peluang hidup yang lebih luas. 


Sedikit demi sedikit, umat Islam sendiri sudah hilang kepercayaan terhadap sekolah agama bagi membawa anak-anak mereka pergi belajar. Tambahan pula dengan pihak penjajah membatasi lepasan pelajar sekolah agama dengan hanya berada di masjid dan berfungsi sewaktu hari kebesaran sahaja. Penjajah tidak memberikan hak-hak yang sepatutnya sepertimana para lepasan pelajar sekolah inggeris dengan mana tidak diberi peluang menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran, berikutan golongan agama dihadkan pada hal ehwal ibadah dan adat sahaja.  Secara tidak langsung, pihak penjajah sedikit sebanyak telah Berjaya menyempitkan skop ajaran Islam sebagai ad-din dalam sistem pendidikan terhadap golongan pemuda yang mana merupakan satu golongan yang sangat bernilai bagi sesuatu masyarakat itu.  Inilah langkah awal dalam usaha pihak penjajah mempengaruhi pemikiran umat Islam terhadap fahaman sekularisme.

            Walaupun pada awalnya usaha penjajah ini disedari oleh umat Islam, ianya sedikit demi sedikit mempengaruhi corak pemikiran masyarakat sehingga lepasan yang terhasil dari dua institusi pendidikan saling tuduh-menuduh.  Para lepasan sekolah inggeris mengecam para lepasan sekolah agama sebagai orang terbelakang, tradisional, tidak berdisiplin dan malas.  Sementara para lepasan sekolah agama menuduh para lepasan sekolah inggeris sebagai orang murtad, menjual dirinya kepada penjajah dan berpakat dengan penjajah untuk menghancurkan negara dan rakyat.  Di sini secara jelasnya kita boleh lihat suntikan bisa daripada penjajah telah membuatkan kesatuan umat Islam berpecah sedikit demi sedikit dengan sendiri tanpa mendapat serangan berbentuk fizikal daripada pihak penjajah.


Pertentangan antara kedua belah pihak semakin meruncing hingga puncaknya penjajah mengangkat para pejabat negara dari alumni sekolah akademik dan berkata alumni sekolah-sekolah agama bahawa politik itu penuh dengan kebohongan, kekurangan dan kemunafikan.  Maka oleh kerana itu, para alumni sekolah-sekolah agama tidak pantas terlibat di dalamnya.  Para penjajah menenangkan fikiran orang-orang yang berfikiran polos dengan alasan tersebut dan berhasil mewujudkan keinginannya iaitu memisahkan dari negara (sekularisme) dan menjauhkan orang-orang beragama dari lingkaran kekuasaan. Akhirnya, jawatan-jawatan penting oleh orang didikan penjajah dan lewat tangan merekalah menghidupkan benih-benih pertentangan di antara rakyat satu negara. Lihatlah, dari institusi pendidikan hingga ke dalam corak pentadbiran negara, fahaman sekularisme telah disuntik sedikit demi sedikit sehingga melahirkan satu kepincangan yang cukup seiring dalam kesatuan dan kekuatan umat Islam.

            Keupayaan pengaruh barat dalam memancing perhatian umat Islam yang kaca hasil bumi dengan menimbulkan segala macam kebanggaan terhadap dunia Barat.


Telah menjadi satu kelemahan yang dilihat jelas apabila umat Islam telah dipalingkan perhatian daripada kekayaan dan keistimewaan yang sedia ada di bumi umat Islam dengan melahirkan pelbagai kebanggaan terhadap dunia Barat yang sudah miskin dan mundur dalam beberapa aspek keperluan insan. Ketakjuban terhadap terus parah sehingga membuatkan sebahagian umat Islam secara terus menerus bangga dengan segala macam perkara yang datang dari Barat sampai terlupa apa yang telah Allah SWT anugerahkan di bumi mereka.  Pelajar-pelajar yang bijak pandai terus dihantar keluar negara dan ada sebahagian menyumbang di bumi bukan Islam.  Lalu, apa yang tinggal di bumi umat Islam gagal dipertahankan oleh golongan-golongan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan.  Lalu, keadaan ini telah membuka ruang kepada orang yang tidak berkelayakan mentadbir dan mengurus urusan-urusan penting yang menjadi kekuatan ummah.

            Secara ringkas keadaan ini dapat difahami dengan baik yang mana umat Islam dilekakan dengan perkara-perkara yang jauh daripada mereka sehingga lupa dan alpa bagi perkara-perkara yang sedia dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.  Sedangkan bagi setiap perkara yang ada pada mereka itu adalah sesuatu yang hebat dan sangat istimewa untuk direnungi, difikirkan dan disyukuri secara keseluruhannya.

            Walaupun pada zaman sekarang, umat Islam sudah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran, sehingga mampu menguruskan hasil buminya, tetapi ianya tidak diperkukuhkan dengan kesyukuran dan kebanggaan terhadap hasil bumi mereka bagi kemajuan umat Islam secara keseluruhannya.

Dalam erti kata lain, segala kemampuan dari segi kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam memanfaatkan sumber bumi yang sedia ada, ianya tidak dipusatkan kepada kemajuan umat Islam dalam memperkukuhkan kekuatan ekonomi umat Islam.  Tanpa kefahaman sebegini, segala usaha yang digemblengkan tiada akan berjaya digunakan bagi kemajuan umat Islam.  Oleh sebab itu, perlunya kepada pemahaman akan kepentingan usaha umat dalam menyumbang kepada beberapa aspek penting dalam mengukuhkan kembali kekuatan dan mempertahankan umat Islam daripada serangan golongan yang dengki terhadap kemurnian Islam.

Hafizan Halim
Fakulti Seni dan Grafik
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Teknologi Mara, Perak.