Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Monday, 27 February 2012

8hb Mac Pilihanraya Kampus UiTM?



Di kala kesibukan warga Kampus di kalangan pelajar Diploma untuk menghadapi Peperiksaan akhir dan kekusutan pelajar Degree untuk memulakan semester baru, terdapat ura-ura mengatakan Pilihanraya Kampus pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM akan diadakan pada 8 Mac ini, adakah releven diadakan pada waktu tersebut?

Jika ini berlaku peratusan keluar mengundi akan merundum jatuh dimana pada waktu itu pelajar2 Diploma sedang dalam cuti study week! pelajar2 degree juga baru sahaja memulakan kuliah mereka, adakah perkara2 seperti ini dipandang ringan oleh pihak atasan? (jika benar pilihanraya pada 8 mac) Di mana demokrasi kampus yang sebenarnya? Malah, calon2 MPP juga telah dipilih sebelum pekeliling mengenai hari penamaan calon atau pilihanraya dikeluarkan!

Adakah Calon2 bebas bukan pilihan HEP turut dibenarkan bertanding untuk kali ini? jika tidak, ini merupakan satu percabulan hak dan demokrasi kampus itu sendiri, calon2 bebas dari kalangan pelajar sendiri harus perlu diberi peluang untuk bertanding, bukan hanya calon2 tapisan HEP, jika ini berlaku, tukar saja nama Majlis Perwakilan Pelajar kepada Majlis Perwakilan HEP, lebih tepat bukan? sudahlah dengan perlaksanaan E-Voting yang dibantah oleh Mahasiswa tetap diteruskan, walaupun dengan sistem itu ketelusan pilihanraya kampus dipersoalkan.

Tarikh yang diura-urakan juga sangat tidak tepat kerana faktor-faktor diatas, dimana waktu untuk calon berkempen? dimana waktu untuk pengundi mengenali calon mereka? kerana masing2 sedang sibuk dengan peperiksaan akhir dan kelas-kelas yang baru sahaja bermula, adakah perkara ini boleh dilihat sebagai satu propaganda atasan untuk mengekalkan suara pilihan dan calon robot mereka sahaja yang tidak berani bersuara secara lantang bagi hak-hak mahasiswa?

Tidak hairan jika pihak-pihak luar mengatakan bahawa pelajar-pelajar UiTM tidak cakna dalam isu-isu semasa mahupun isu-isu politik kerana sedari kampus telah diajar sebegitu rupa, hanya menjadi pak turut walaupun kadangkala sesuatu isu itu terkena pada batang hidung sendiri, bak kata pepatah "sudah terantuk baru terngadah".

Wednesday, 1 February 2012

Puisi Anak muda untuk penguasa.



Ini zaman telitinya anak muda menilai bangsa itu siapa.
Ini zaman tekunnya anak muda merisik politikus itu apa.
Ini zaman khusyuknya anak muda melihat parti itu bagaimana.
Ini zaman tulusnya anak muda melambak kebebasan itu di mana.

Ini kata paling syahdu buat generasi-ku,
yang semakin hilang di bilang sayang dan gersang.

Ini kata paling rindu buat generasi-ku,
yang semakin pupus ghaib dalam penjara yang ter-aib.

Jika anak muda ini bilang bahawa bangsa itu salah,
mereka akan di-anggap penderhaka.

Jika anak muda ini bilang bahawa politikus itu korup,
mereka akan di-anggap musuh dalam selimut.

Jika anak muda ini bilang bahawa parti itu penindas,
mereka akan di-anggap pemijak parti lainnya.

Jika anak muda ini bilang bahawa kebebasan itu sepatutnya perlu,
mereka akan di-anggap pemberontak negara tercinta.

Ini zaman telitinya anak muda menilai bangsa itu siapa.
Ini zaman tekunnya anak muda merisik politikus itu apa.
Ini zaman khusyuknya anak muda melihat parti itu bagaimana.
Ini zaman tulusnya anak muda melambak kebebasan itu di mana.

Ini sebuah puisi lara,
untuk ku tujukan,
pada sang penguasa,
anak muda - terutamanya.

Kerana sang penguasa itu ;
sudah lama hancur,
ditelan sikap anak muda luhur.

Karya : Petak Daud.

Sunday, 29 January 2012

Relevenkah AUKU menurut Perlembagaan Malaysia?


Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971)  pernahkah kita terfikir mengapa terdapat segolongan Mahasiswa yang menentang AUKU mahupun Akta 174 UiTM?  Menurut kajian, kita mendapati bahawa AUKU dan Akta 174 bercanggah dengan perkara 4,5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, turut menyalahi hak asasi manusia memandangkan Perkara-Perkara tersebut mengandungi peruntukan hak asasi manusia.

Apabila diteliti semula pada seksyen 15B (3) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, terdapat beberapa perkara yang boleh dikrititk dan dibahas mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Malaysia.
Antara lain yang diterangkan di dalam seksyen ini adalah peruntukan kepada Naib Canselor/Rektor yang mempunyai bidangkuasa hal ehwal pelajar mewakilkan kuasa tersebut kepada Timbalan Naib Canselor. Kemudian, membentuk Jawatankuasa Tatatertib/Pihak Berkuasa TatatertibUniversiti. Kuasa yang digagaskan oleh AUKU untuk Jawatankuasa ini amat luas meliputi kuasa menyiasat, menjalankan pendakwaan, mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut dan membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman kepada pelajar yang di pertuduh didapati bersalah.

Pelajar- pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut tidak akan ada jaminan untuk mendapat perbicaraan yang adil. Ini adalah kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri daripada orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang. Ini bermakna kebarangkalian berlaku penindasan dan keputusan yang berat sebelah adalah tidak mustahil. Hal ini jelas sekali bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persukutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undan-undang. Selain itu, hal ini juga amatlah bertentangan dengan rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (natural justice) yang menjadi dasar utama kepada mana-mana badan pengadilan termasuklah mahkamah dan tribunal.

Di samping itu, AUKU memepunyai unsur diskriminasi yang sangat ketara. Jika dikaji seksyen-seksyen di dalam AUKU secara mendalam, didapati tiada sebarang provisi pun yang memperuntukkan hak kepada pelajar yang didakwa untuk mendapatkan khidmat Peguambela atau Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan kakitangan universiti termasuk pensyarah yang didakwa atas satu pertuduhan tatatertib dibenarkan untuk diwakili oleh peguam. Ini jelas membuktikan ketidakadilan AUKU dan sama sekali bercanggah dengan perkara 8 (1),(2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang secara rumusnya tidak membenarkan diskriminasi dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Selain daripada itu, seksyen 15 AUKU 1971 bersalahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Merujuk kepada syeksen 15 (1) dan (2) AUKU yang tidak membenarkan setiap pelajar di universiti atau kolej universiti menyertai mana-mana parti politik ataupun kesatuan sekerja atau pertububahan kecuali dengan kelulusan Naib Canselor. Seksyen ini jelas bertentangan dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan. Sesuatu perkara itu tidak lagi dikira sebagai bebas jika perlu meminta izin atau kelulusan daripada seseorang. Jika dilihat populasi mahasiswa di setiap universiti di seluruh negera, mereka kebanyakannya berusia 21 tahun ke atas. Mereka telah pun mencapai usia majoriti(age of majority) Section 10. dan layak untuk mengundi seperti yang lain. Maka mereka perlu diberi hak kebebasan berpolitik dan berpersatuan sepertimana yang dinikmati oleh masyarakat umum.Oleh itu, ternyata di sini hak mahasiswa untuk berpersatuan atau berpolitik telah disekat oleh provisi yang terdapat di dalam akta ini.

Seterusnya, seksyen 15 (3) dan (4) AUKU 1971 pula tidak sejajar dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Provisi ini antara lain menyekat mahasiswa daripada menyatakan sokongan atau memberi simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau keatuan sekerja atau pertubuhan yang tidak diluluskan oleh pihak universiti. Sedangkan dalam Perkara 15(1)(a) Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan setiap warganegara berhak menyuarakan pendapat.

Manakala peruntukan dalam Syeksen 15D AUKU1971 pula menjadi ancaman utama kepada pelajar,terutamanya kepada pelajar universiti yang mengalami pertuduhan sebarang kesalahan jenayah untuk digantung pengajian dengan serta-merta sehingga kesnya selesai.Peruntukan ini ternyata jelas berlawanan dengan prinsip ”a man is innocent until proven guilty”kerana pelajar terbabit telahpun dihukum sedangkan kesalahannya belum dibutikan lagi.Syeksen 15D(2) pula memeruntukkan,jika mahkamah telah membuktikan pertuduhan yang dikenakan,pelajar terbabit secara automatik akan dipecat dan sekiranya didapati tidak bersalah,akan diterima kembali menyambung pengajian.Tetapi kita semua maklum bahawa sesuatu kes di mahkamh akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.Tempoh pengajian pelajar tenyata terjejas disebabkan perkara ini.Atas alasan inilah mahasiswa merasakan bahawa syeksen ini perlu dimansuhkan serta-merta.

Merujuk kepada Pelembagaan Persekutuan,Perkara 4 menyatakan bahawa perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi dalam Persekutuan dan menjadi undang-undang yang digunapakai dalam negara.Oleh itu,mana-mana perlembagaan yang bertentangan dengannya adalah tidak sah.Di sinilah terbukti relevan untuk memansuhkan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Dan AUKU ternyata bertentangan dengan Perlembagan Persekutuan kerana jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang. Terdapat banyak percanggahan antara AUKU dan Perlembagaan Persekutuan menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa AUKU tidak relevan kepada Perlembagaan Persekutuan, sekaligus menggambarkan terdapat kelompongan dalam sistem undang-undang di Malaysia. Seharusnya sebagai sebuah negara yang sudah lebih 50 Tahun merdeka, kebebasan kita tidak sepatutnya disekat. Seolah-olah kita masih lagi terjajah dalam negara sendiri dan tidak bebas bertindak sebagai seorang rakyat yang merdeka.

. . . . . . . . . . 
p/s: Mengikut Undang-undang AUKU, Akta 155 dan Akta 174 UiTM adalah PARI MATERIA dimana berlainan akta tetapi sama dari segi intipati dan kandungan, jika AUKU dipinda mahupun dimansuhkan, AKTA 174 juga akan turut sama - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.