Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Wednesday, 20 March 2013

Speaker Corner Angkara Siapa??


Semalam, sekali lagi, UiTM Shah Alam dikecohkan dengan insiden Speaker’s Corner yang saya gelar Speakers’ Corner 2.0. Poster telah disebarkan di twitter dan facebook sejak Ahad, sehari sebelum acara itu dijadualkan berlangsung. Isninnya pula, seperti yang dijangka, muncul pula flyers untuk acara itu di beberapa fakulti ‘terpilih’. Seperti tradisi, flyers ini seperti jatuh dari langit, kedua belah pihak mengaku tidak bertanggungjawab. Tapi yang waras dan arif dengan permainan politik kampus sudah boleh mengagak siapa dalang disebalik ‘hujan’ flyers ni. (bendera Pakatan Rakyat dan Academic Freedom juga dipaparkan pada flyers tersebut) .  Yang saya kesalkan apabila nama Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia (GAMUS) turut diletakkan sebagai salah satu front yang akan menghantar wakil berucap.  Pendedahan itu mengejutkan ramai student UiTM kerana mereka sememangnya tahu, GAMUS tidak pernah membuat sebarang kenyataan berkaitan penglibatan mereka dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).



GAMUS juga secara tegas menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyokong dalam isu penglibatan GM13 dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 namun tidak akan menghalang kerana itu hak sebagai rakyat Malaysia.  Berbalik kepada isu Speakers’ Corner 2.0, hakikatnya, SMM atau wakilnya tak pernah berhubung dengan GAMUS mengenai isu ini, sama ada untuk menyatakan hal ini atau pun meminta izin untuk menggunakan nama GAMUS.  KAMI (Kumpulan Anak Muda Indipendent) juga menafikan penglibatan dengan acara Speakers’ Corner tersebut. Apa yang lebih mengejutkan saya adalah, apabila ada antara wakil daripada SMM yang kononnya ‘terlibat’ dengan Speaker’s Corner sendiri menafikan penglibatan mereka dengan penyebaran poster yang turut mengheret GAMUS dalam acara tersebut.


Gambar : Penafian dari wakil SMM mengenai poster.

Pihak UiTM telah mengambil langkah memperketatkan kawalan dan melaksanakan sekatan jalan raya dalam kampus UiTM (kali ni hanya 4 sekatan setahu saya).  Setiap keluar masuk yang berlaku dicatatkan, malah mahasiswa disiasat seperti 'penjenayah'. Ramai pelajar mengadu keadaan ini menyusahkan mereka dan menyalahkan SMM.  Analisis peribadi saya terhadap sekatan tersebut, pertama, sekatan jalan itu adalah kegagalan HEP yang paling ketara. Secara logiknya, jika HEP merasakan penangkapan adalah tindakan yang perlu, ia seharusnya dilakukan di Dataran Cendekia (tempat acara itu berlaku), bukan dengan mengadakan sekatan jalan yang menyusahkan seluruh warga UiTM Shah Alam yang tidak terlibat.


Gambar :  Nama GAMUS turut digunakan di dalam poster tanpa persetujuan.

Bagaimanapun, saya tidak nafikan kemungkinan kedua,  juga sekatan jalanraya dijalankan bukan untuk menahan ahli SMM, tapi untuk menimbulkan kemarahan pelajar terhadap acara tersebut. Ya, segalanya mungkin.  Namun, keadaan ini juga menunjukkan sikap paranoid melampau pihak HEP yang sekaligus memberi gambaran buruk kepada pentadbiran Universiti yang menguruskan hal ehwal pelajar.  Dalam kata lain, HEP sudah termakan umpan SMM. Kenapa saya katakan HEP sudah termakan umpan? Jika kita lihat poster jelajah kampus yang dirangka SMM, UiTM menjadi university pertama yang menjadi sasaran.
Ahli –ahli SMM bukannya tidak bijak untuk menyedari hakikat yang mereka takkan dapat masuk dan memberi ucapan dalam UiTM berdasarkan pengalaman lalu.  

Gambar : Poster rasmi Jelajah SMM dan GM13, UiTM universiti pertama, untuk apa? Kenapa?

Tetapi yang menjadi persoalan disini kenapa mereka tetap meletakkan UiTM sebagai 'open cage' atau pembuka gelanggang jelajah mereka? Adakah ini bertujuan untuk mendapat publisiti? Publisiti untuk ‘kickstart’ jelajah mereka.  Memang diakui, perhatian masyarakat sekarang terarah pada mereka dan yang tampak ‘jahat’ disini adalah HEP dan golongan yang pertahankan bangsa (Unless, they are not).  Tuntasnya, , heboh dikatakan SMM dihalang masuk ke UiTM oleh pelajar yang didakwa didalangi oleh HEP. Dalam kata lain, SMM menang publisiti, jadi golongan teraniaya, Pelajar dapat susah, “Pejuang Bangsa”  digelar  sebagai “hooligans” yang langsung tidak menggambarkan mahasiswa berintelek dan HEP sebagai ‘anti-demokrasi.  Tanyalah diri anda sendiri, siapa yang untung, siapa yang rugi dan kenapa?

 Karl.





-- Speakers's Corner 1.0 atau #Occupy UiTM yang pernah cuba diadakan di UiTM Shah Alam pada 8 Disember 2011 [ LINK ]

Tuesday, 2 October 2012

Analisis sedekad Keputusan Pilihanraya Kampus IPTA

“Pilihan raya kampus tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya umum, jadi keputusannya juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya peringkat nasional itu. Melalui pilihan raya kampus ini, ia dapat menjadi sebahagian daripada latihan kepada pelajar yang bakal menjadi pemimpin kepada masa depan,” - Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan. 

Demam pilihan raya kampus bermula lagi. Pertembungan lama di kampus sejak 1960an antara mahasiswa nasionalis dan sosialis bersambung kembali. Episod baru pilihan raya kampus, bermula antara kumpulan reformis dan transformasi (perubahan) sejak 1999 lagi, ianya berlarutan hingga tahun 2012.

 Era aspirasi mahasiswa mengorak langkah seterusnya pada 2012 untuk mempertahankan kampus agar sentiasa berpihak kepada aspirasi mahasiswa. Bermula dengan pilihan raya kampus pada November 1999, di mana pada waktu itu hanya ada 9 universiti awam.

Arus reformasi begitu kuat pada November 1999, hinggakan pada waktu itu 8 buah IPTA jatuh ke tangan mahasiswa pembangkang kecuali satu universiti di utara yang mendapat kemenangan 13-8. Kemenangan yang sebenarnya mengejutkan sendiri Tun Mahathir yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

 Keputusan Pilihan Raya Kampus, PRK pada waktu itu adalah 1-8 dengan berpihak kepada front-front mahasiswa anti-establishment (Pro-Mahasiswa) . Hanya 11.1% dikuasai oleh Pro-aspirasi. UiTM dan UMS membuka kawasan putih baru untuk aspirasi mahasiswa bila menang pada November tahun 2000. Mengecilkan jurang penguasaan kepada 2-7, manakala di UUM tumpas akibat kurangnya peratus mengundi akibat hujan lebat.



1. Pada era pasca-Reformasi ’98 iaitu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, masyarakat kampus secara mutlak menolak front-front mahasiswa yang pro-Barisan Nasional dan memilih front-front anti-establishment. Ada juga kampus yang dimenangi tanpa bertanding kerana front-front utama melakukan persefahaman politik sesama sendiri.

2. Pada ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan para menteri gusar untuk turun ke kampus kerana takut diboo dan dimalukan. Kebangkitan front-front yang dilabelkan pro-pembangkang menyebabkan pemimpin Umno/BN tidak senang duduk. Mereka perlu melakukan sesuatu.

3. Hasilnya, grand design dilakar dengan penuh cermat. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diwujudkan pada 27 Mac 2004 bagi kononnya untuk memberikan tumpuan kepada hal ehwal pengajian tinggi, sebaliknya meningkatkan campur tangan parti politik dal hal ehwal kampus. Sebelum itu, Kementerian Pelajaran menaungi Jabatan Pengajian Tinggi.

4. Beberapa wakil Pemuda Umno dan Puteri Umno bergabung tenaga untuk mencari jalan memenangkan front pro-BN. Front pro-kerajaan dijenamakan sebagai Aspirasi menggambarkan mereka sebagai kelompok yang mendokong aspirasi kerajaan Umno/Barisan Nasional. Naib Canselor yang neutral dan tidak bersedia menurut perintah Umno ditukarkan satu persatu. Di UM, Prof Datuk Dr Annuar Zaini Mohd Zain ditamatkan dan digantikan dengan Prof Datuk Dr Hashim Yaacob. TNC HEP dilantik dari kalangan ahli akademik yang terlibat aktif dengan Umno/Alumni Kelab Umno Luar Negara. Antaranya Datuk Dr Razali Agus dan Datuk Dr Azarae Idris.

5. Calon Aspirasi dilatih dan ditaja secara bersepadu di semua kampus. Minggu orientasi pelajar baru diisi dengan proses indoktrinasasi agar membenci front-front yang dilabelkan pro-pembangkang. GAMIS, SMM dan PMI dipotretkan seperti kumpulan pengganas yang menakutkan. Pilihanraya jawatankuasa tindakan kolej (JTK) dimansuhkan dan digantikan dengan perlantikan terus. Pelajar yang tidak menyokong Aspirasi diugut, disabotaj dan dibuang dari kolej kediaman. Proses pengundian dijalankan di kolej kediaman. Pengetua kolej kediaman dilantik dari kalangan penyokong tegar Umno. Berbagai-bagai lagi tindakan zalim dilakukan.

6. Kerana tekanan melampau, beberapa buah kampus akhirnya berjaya dirampas oleh Aspirasi satu persatu.

7. Pada PRK sesi 2001/02, front anti-establishment menguasai UM (36 – 12), UKM (30 – 2), UPM (36 – 3), UIAM (28 – 6), UTM(32 – 13), USM (21 – 16). Front Aspirasi pula menguasai UiTM (34 – 2), UPSI (9 – 8), UUM (27 – 0), UNIMAS (11 – 0), UMS (23 – 0), KUIM (11 – 0), KUITTHO (21 – 0). Daripada 13 kampus, front anti-establishment menguasai 6 kampus manakala Aspirasi menguasai 7 kampus. Kampus-kampus utama masih milik Pro Mahasiswa.

8. Pada PRK sesi 2002/03, front anti-establishment menguasai UM (34 – 5), UKM (23 – 9), UPM (31 – 14), UIAM (19 – 10), UPSI (13 – 11), USM (21 – 16). Front Aspirasi pula menguasai UiTM (36 – 0), UTM (27 – 15), UUM (20 – 7), UNIMAS (11 – 0), UMS (32 – 0), KUIM (8 – 3), KUITTHO (21-0), KUTKM (22 – 0) dan KUSTEM (12 – 3). Daripada 15 kampus, front anti-establishment menguasai 6 kampus manakala Aspirasi menguasai 9 kampus. Kampus-kampus utama masih milik front anti-establishment.

9. Pada PRK sesi 2003/04, front anti-establishment hanya berjaya menguasai UM (26 – 13) dan UIAM (21 – 1). Front Aspirasi berjaya merampas kampus-kampus utama yang lain seperti UKM (23 – 9), UPM (31 – 14), UTM (23 – 22), USM (20 – 19), UPSI (14 – 0). Di kampus-kampus yang lain, Aspirasi hampir membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan. Daripada 16 kampus, front anti-establishment hanya menguasai 2 kampus sahaja.

10. Pada PRK sesi 2004/05, kampus UM akhirnya berjaya dirampas oleh Aspirasi kerana Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya/Gagasan (nama lama bagi Pro Mahasiswa UM) memboikot PRK dengan tidak menghantar calon. Kesemua kampus dikuasai oleh aspirasi melainkan UIAM dan UPSI. Pada sesi ini, front anti-establishment hanya tewas tipis di kampus USM (18 – 19) dan UTM (20 – 25). Seorang perwakilan Umno dalam AGMnya mendesak agar kerajaan melakukan sesuatu bagi merampas kembali UPSI dan UIAM.

11. Pada PRK sesi 2005/06, Aspirasi menang mutlak di semua kampus kerana WUFI UIAM (nama lama bagi front anti-establishment UIAM) juga turut memboikot PRK. Aspirasi membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan melainkan 2 kerusi di UM, 5 di UKM dan 2 di UNIMAS.

12. Pada PRK sesi 2006/07, Aspirasi masih menang di semua kampus kecuali UIAM.

13. Pada PRK sesi 2007/08, nama Pro Mahasiswa mula digunakan di Universiti Malaya. Walaupun gagal merampas MPMUM, kerusi-kerusi yang dimenangi meningkat iaitu pertama kali memenangi kerusi Umum (2 kerusi) selepas gagal selama 3 tahun. Begitu juga dengan kampus lain. UIAM masih milik Pro Mahasiswa di sana (WUFI).

14. PRK tidak diadakan pada tahun 2008 sebaliknya dianjakkan ke tahun 2009. Ia dikaitkan dengan kesan ‘Tsunami Politik’ yang melanda Umno/Barisan Nasional.

15. Pada PRK sesi 2009/10, Pro Mahasiswa UM berjaya merampas MPMUM dengan kemenangan tipis (21 – 20) hasil sokongan dua ahli MPM bebas dari Fakulti Undang-Undang. Pada sesi ini semua kampus masih dikuasai Aspirasi melainkan UM dan UIAM.

16. Pada PRK sesi 2010/11, Aspirasi berjaya merampas MPMUM juga dengan kemenangan tipis (21 – 20). Aspirasi mendapat kelebihan daripada kerusi fakulti walaupun Aspirasi hanya memenangi satu daripada 9 kerusi Umum. UIAM masih satu-satunya milik Pro Mahasiswa.

17. Pada PRK sesi 2011/12, Pro Mahasiswa memecah dekad gelap apabila kembali menguasai UM, UKM, USIM, UPSI,UMK dan UMS . Manakala Aspirasi masih menguasai USM, UPM dan UiTM dan kampus-kampus baru yang lain.

18. Terbaru dalam PRK sesi 2012/13, Pro Mahasiswa mempertahankan kampus UM (Pro M 20, Bebas 2, Gerak 19 dan 2 kerusi seri) dan UKM (GMUKM 19, Aspirasi 8 dan Bebas 1) manakala UIAM terpaksa menjalankan pengundian semula akibat kegagalan sistem E-Voting. Kampus-kampus lain masih dikuasai oleh Aspirasi. Senario ini dikaitkan dengan Ops 20/20 yang kini sedang hangat diperkatakan.

19. Sokongan terhadap front anti-establishment di kampus-kampus utama seperti UM dan UKM ini sudah tentu menakutkan pimpinan Umno/Barisan Nasional kerana kampus utama menggambarkan mood rakyat Malaysia secara keseluruhan lebih-lebih lagi komposisi mahasiswa UM yang mirip komposisi rakyat Malaysia. Mereka pasti tidak berdiam diri kerana bagi mereka, Pro Mahasiswa tetap pro-Pakatan Rakyat walaupun hakikatnya tidak.

20. Selamat maju jaya Pro Mahasiswa! 

Nota : Pro Mahasiswa adalah nama bagi front anti-establishment yang digunakan mulai sesi 2007/08. Pro Mahasiswa UKM menggunakan nama Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) manakala Aspirasi UM menggunakan nama Pengerak Mahasiswa. Nama Aspirasi pula digunakan mulai sesi 2003/04. Sebelum ini, nama front adalah berbeza mengikut kampus.

Sumber : LINK