Sunday, 11 December 2011
'Speaker Corner UiTM Kecoh" : 8 Disember 2011 (video)
Speaker’s Corner di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 8 Disember lalu bertukar kecoh apabila berlaku provokasi melampau dipercayai dilakukan mahasiswa pro-aspirasi dan berlaku campur tangan pihak polis bantuan universiti itu sehingga lima aktivis mahasiswa ditangkap.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Razab dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku apabila datang sekumpulan mahasiswa membuat kecoh dan menarik aktivis UiTM, Khalid Ismath serta rakannya, Ehsan dari UniSEL. Manakala antara aktivis lain ditahan termasuk dua siswa Universiti Malaya, Nasrul Alam dan Haziq Abdullah serta Syukri sendiri. Kumpulan aspirasi ‘naik angin’ Menurut maklumat yang diperoleh, situasi itu (kekecohan) berlaku ketika pemidato pertama, Haziq sedang menyampaikan ucapannya.
Namun, akibat isinya yang dikatakan ‘pedas’ dan menempelak mahasiwa UiTM yang menjadi ‘pak turut’ HEP Universiti, mereka (kumpulan Aspirasi UiTM) dikatakan berang dan hilang sabar lalu berlaku tarik-menarik dan kekecohan. Melihat keadaan tersebut, beberapa anggota polis bantuan datang dan bertindak menahan aktivis SMM lalu membawa mereka ke pejabat polis bantuan di UiTM Shah Alam.
Kesemua mereka dilepaskan tidak lama kemudian setelah keterangan diambil.
Kecewa UiTM tidak terbuka
Sementara itu, Ahmad Syukri dalam kenyataannya turut kecewa dengan apa yang berlaku.
“Saya kecewa kerana pihak universiti tidak bersikap terbuka dalam memberi peluang demokrasi mahasiswa. Ia sepatutnya seperti yang termaktub dalam pindaan Auku 2009 di mana menunjukkan kerajaan mengiktiraf hak perlembagaan untuk mahasiswa terlibat dalam politik seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah”, ujarnya yang juga ‘sedih’ berikutan tidak sempat menyampaikan pidato semalam. Diberitakan hanya seorang aktivis sempat berpidato sebelum dibawa ke balai polis bantuan.
Dalam komen terbaru di facebook rasmi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin, secara sinis turut mempersoalkan tangkapan dan gangguan yang dilakukan pihak tertentu. Pada amatan saya, terdapat mahasiswa berpidato. “Lepas tu ada orang datang ganggu. Maka berlaku sedikit kecoh. Maknanya, kalau tak diganggu, tak kecoh. Yang berpidato ditahan sekejap untuk disiasat. Yang mengganggu ada ditahan?”, soalnya yang menganggap pihak pentadbiran UiTM seakan-akan tidak serius dalam mewujudkan kembali pentas sudut pidato di universiti berkenaan.
UiTM Shah Alam keluar amaran, polis bantuan buat sepuluh sekatan
Selain itu, menurut sumber yang sahih, UiTM semalam diberitakan telah membuat sepuluh sekatan jalan di dalam kampus itu. Sekatan yang dibuat oleh polis bantuan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku seketika berikutan beberapa pemeriksaan dilakukan. Pihak pentadbiran UiTM Shah Alam sebelum itu dikhabarkan telah pun memberi amaran kepada pihak penganjur agar membatalkan hasrat ingin menganjurkan ‘Speaker Corner’ sehari sebelum program. Namun, amaran itu sedikit pun tidak diendahkan barisan aktivis mahasiswa yang telah menjemput ramai wakil pemidato untuk turut sama memanaskan pentas.
Dan hanya IPT dari sekitar Lembah Klang sahaja yang memberi respon untuk hadir. – GZDaily
disunting semula oleh Admin GAMUS.
Labels:
Dari Meja Admin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment