Ramai yang menyangka mahasiswa Universiti
Teknologi Mara (UiTM) itu sifatnya pasif dan ‘lemau’ di dalam sudut pengetahuan
isu-isu semasa terutamanya isu yang melibatkan politik dan tadbir urus negara.
Apabila sebut sahaja UiTM, kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan UiTM
ini universiti United Malay National Organization. Bagaikan isi dengan kuku,
berpisah tiada. Mahsiswa UiTM hari ini, tidak lagi seperti zaman Mat Sabu dan
Ibrahim Ali di mana sewaktu zaman mahasiswa mereka, lantang menyatakan hak dan
menentang kezaliman pemerintah.
Sangkaan ramai itu mungkin ada
benarnya. Hanya segelintir sahaja yang cakna dan sudi untuk menelaah isu-isu
yang berlaku dalam negara ini. Bahkan isu melibatkan saudara kita yang ditindas
di Palestin, Syira dan Rohingya pun ada diantara mereka yang tidak tahu.
Hal ini berlaku kerana pelbagai
program-program yang ada kaitan dengan United Malay National Organization kerap
dianjurkan di sini, di setiap cawangan UiTM. Mahasiswa semester satu yang baru
mendaftar dan barisan kepimpinan yang ada di UiTM kebiasaannya akan dihantar ke
Biro Tata Negara di mana program ini bertujuan untuk ‘basuh’ minda pelajar
supaya menjadi seorang mahasiswa yang taat setia kepada United Malay National
Organization dan juga menanam rasa benci kepada kaum cina dan india. Saya
sendiri telah menyertai Biro Tata Negara sebanyak dua kali. Sahabat saya yang
dahulunya neutral tidak bersama-sama
dengan mana-mana parti politik hari ini sudah menjadi OKU ataupun ‘Orang Kuat
UMNO’. Biro Tata Negara hakikatnya sebuah program yang baik untuk memupuk rasa
cinta kepada negara, semangat patriotik dan semangat perpaduan namun hari ini
telah disalah guna oleh United Malays National Organization.
Bukan sekadar itu, program-program dan
aktiviti-aktiviti yang ingin dianjurkan oleh mahasiswa perlu ditapis oleh Hal
Ehwal Pelajar terlebih dahulu. Proses penapisan kertas kerja pesatuan dan kelab
berlaku dengan sangat tidak adil terutamanya melibatkan program yang berbentuk
kerohanian dan ilmiah. Hal Ehwal Pelajar tentu dan pasti akan perhati, meneliti
dan menyelidik sedalam-dalamnya siapakah penceramah yang bakal dijemput.
Biodata penceramah perlu diserahkan terlebih dahulu. Sekiranya didapati
penceramah itu ada sedikit unsur-unsur yang boleh dikaitkan dengan mana-mana
parti pembangkang, maka akan terbatal-lah program itu atau diarahkan untuk
mencari penceramah lain.
Sudah banyak kali berlaku, sahabat
saya menganjurkan program dakwah dengan menjemput saudara Sham Kamikaze lalu
permohonan beliau terbatal kerana kononnya Hal Ehwal Pelajar dapati penceramah
yang dijemput ada kaitan dengan Parti Islam Se-Malaysia. Pengalaman seorang
sahabat lagi, Nabilah daripada UiTM Cawangan Machang merupakan ketua projek
bagi program ‘Cinta Remaja’ dan penceramahnya adalah novelis terkenal saudara
Hilal Ashraf juga ditolak kerana alasan Hal Ehwal Pelajar penceramah itu ada
kaitan dengan pembangkang.
Tetapi hal sebegini ini tidak berlaku
kepada persatuan yang pro aspirasi atau senang kata pro kepada kerajaan. Salah
satu contoh terdekat adalah persatuan KARISMA JASA. Mereka boleh menjemput
siapa sahaja pemimpin dan ustaz daripada United Malay National Organization
untuk menyampaikan ceramah. Di UiTM Induk Shah Alam dan UiTM Cawangan Jengka,
Ustaz Fathul Bari mendapat lesen daripada pihak pengurusan untuk masuk dan beri ceramah.
Di UiTM Cawangan Segamat pula, Forum Hudud diluluskan atas nama akademik.
Percayalah, jika persatuan lain mahu anjurkan program penerangan Hudud dan menjemput
pemimpin atau ulama daripada PAS, pasti akan ditolak mentah-mentah oleh Hal
Ehwal Pelajar atas alasan ‘mahasiswa tidak boleh berpolitik’. Jemput Ustaz
Azhar Idrus? Lagi lah jangan bermimpi.
Hal Ehwal Pelajar tidak sepatutnya
bertindak sedemikian rupa, tindakan seperti ini tidak adil kepada mahasiswa
sedangkan Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Chanselor UiTM pernah
mengeluarkan kenyataan bahawa, sesiapa sahaja daripada mana-mana parti politik dalam
negara, luar negara tidak dibenarkan masuk UiTM bagi menyertai aktiviti-aktiviti
yang dianjurkan Mahasiswa. Kenyataan yang dibuat oleh Naib Chanselor bertujuan
untuk membersihkan mahasiswa UiTM daripada dipengaruhi oleh politikus-politikus
di luar sana.
Sebab itu program dakwah, program
agama di UiTM tampak sedikit terbantut. Bahkan ada juga pemimpin mahasiswa, salah
seorang daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar di UiTM yang mencadangkan
kepada pihak pengurusan supaya menggubal sahsiah rupa diri yang sedia ada
kepada yang lebih Islamik dengan tujuan agar dapat membendung siswi daripada
memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan menjolok mata. Cadangan ini juga
ditolak walaupun mahasiswa UiTM 90 peratus adalah Melayu Islam.
Sekiranya mahasiswa mahu edar risalah
Islam, makanya isi kandungan risalah perlu ditapis terlebih dahulu agar tidak
menyentuh isu-isu politik. Tidak menyentuh soal hudud. Tidak menyentuh isu yang
boleh dikaitkan dengan salah laku pemerintah. Maklumlah, United Malays National
Organization tidak melaksanakan Islam sepenuhnya. Mereka takut. Orang lain mahu
laksana Islam, dihalang dan ditentang habis-habisan. Seperti biasa,
program-program menyanyi dan menari sangat mudah untuk diluluskan. Konsert,
pertandingan menyanyi dan sewaktu dengannya sangat banyak dianjurkan di seluruh
UiTM.
Mahasiswa UiTM juga dihalang daripada
menyertai apa-apa demonstrasi jalanan. Saudara Khalid Ismath daripada fakulti
undang-undang UiTM Shah Alam digantung 3 semester kerana menyertai demonstrasi
mansuh PTPTN tetapi didakwa atas dakwaan berpolitk dan memalukan nama UiTM.
Saya hairan hanya saudara Khalid Ismath sahaja dikenakan tindakan, tetapi tidak
mahasiswa lain. Bagaimana dengan mahasiswa yang menyertai demo ‘We Love PM’?
Mahasiswa yang menyertai Pehimpunan Agong United Malays National Organization?
Bukankah mereka juga telah berkecimpung dalam aktiviti politik? Saya tidak
hairan apabila mahasiswa anti-kerajaan dikenakan tindakan kerana UiTM sendiri
banyak bekerjasama dengan United Malays National Organization apabila
menganjurkan program atas nama program khidmat masyarakat.
Begitulah ‘sebahagian’ cara United
Malays National Organization menindas pemikiran mahasiswa UiTM. Saya rasa
bertanggungjawab untuk tampil menceritakan kepada orang ramai sebahagian isu
yang berlaku dalam UiTM dan ianya berdasarkan pengalaman 2 tahun saya menjadi salah
seorang ahli daripada organisasi mahasiswa tertinggi dalam UiTM iaitu Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP). Tujuan tulisan ini dihasilkan bukan untuk memburukkan UiTM
tetapi untuk menyedarkan masyarakat terutamanya mahasiswa UiTM itu sendiri.
Justeru itu, saya menyeru kepada
seluruh mahasiswa UiTM agar bangkit daripada lena dan mimpi ngeri ini. Buang
istilah takut dalam diri kalian. Anda perlu sedar hak anda, hak untuk bersuara
dan menyatakan pendapat walaupun ianya jauh berbeza dengan pendapat pemerintah.
Kita perlu menghidupkan kembali sejarah mahasiswa ITM hebat zaman Mat Sabu dan
Ibrahim Ali yang lantang menyatakan hak dan membantah kezaliman. Gunakan
speaker corners sebaik mungkin untuk sebarkan berita yang benar, edar risalah
dan anjurkan program yang beri manfaat kepada mahasiswa agar mahasiswa kembali
sedar dan bangkit. Selagi mahasiswa UiTM tidur, selagi itulah mereka akan
menindas pemikiran mahasiswa sekalian.
Yang sayangkan UiTM,
Zuddin
-Mahasiswa UiTM Machang 2013 -