Rakyat Malaysia pelbagai golongan semua sedar bahawa PRU13
merupakan pilihan raya paling kritikal semenjak merdeka kerana ia akan
memperlihatkan pertempuran dua koalisi besar iaitu Barisan Nasional dan Pakatan
Rakyat.
Sekiranya kita menjenguk kembali garis masa politik di
Malaysia, buat pertama kalinya Barisan Nasional gagal mempertahankan dua
pertiga majoriti parlimen adalah pada tahun 1969 yang menyaksikan pertumpahan
darah apabila peristiwa 13 Mei berlaku.
Umum sedar bahawa perkara ini terjadi disebabkan undi protes
orang Melayu ketika itu yang marah terhadap pemerintahan Tunku Abdul Rahman.
Menurut catatan Dr. Mahathir, orang-orang Melayu ketika itu begitu marah
terhadap tindakan Tunku yang terlalu ‘memberi muka’ kepada orang-orang cina.
Namun begitu, sejarah juga memperlihatkan bahawa tanpa sedar
golongan mahasiswa juga memainkan peranan besar ketika pilihan raya 1969
sehingga Perikatan gagal dalam mempertahankan majoriti parlimen. Mahasiswa
ketika itu telah berkempen sekitar Malaysia sebagai golongan non-partisan.
Mereka kemudiannya mencanangkan manifesto mahasiswa dan calon yang bagaimana
sepatutnya diundi oleh rakyat.
Mungkin secara kebetulan, perjuangan dan manifesto mahasiswa
ketika itu selari dengan dasar yang dibawa oleh parti-parti pembangkang ketika
itu. Justeru, tindakan ini juga boleh dikira sebagai salah satu punca kekalahan
kerusi-kerusi kuat Perikatan pada tahun 1969. Maka, terjadilah peristiwa 13 Mei
yang sering dimain-mainkan oleh ahli politik konservatif hari ini.
Tindakan ini telah merungsingkan pihak kerajaan. Maka,
terciptalah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang dicanangkan oleh Dr.
Mahathir yang ketika itu bertindak sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1971
iaitu selepas dua tahun parlimen digantung.
Namun begitu, AUKU gagal meragut semangat mahasiswa untuk
berjuang bersama rakyat apabila mahasiswa terus aktif sebagai golongan pendesak
sehingga berlakunya Demonstrasi Baling 1974 apabila AUKU diperketat oleh pihak
kerajaan.
Mahasiswa hari ini.
Hari ini mahasiswa tidak seperti dahulu. Mood dan
partisipasi mahasiswa dalam politik juga berubah. Saya melihat bahawa AUKU
tidak boleh disalahkan sepenuhnya dalam proses ‘kemandulan’ dan kepekaan
mahasiswa pada hari ini. Mungkin buku tulisan Dato’ Saifuddin Abdullah “Kalau
Saya Mahasiswa” dapat menjelaskan perkara ini dengan lebih lanjut.
Menurut pemerhatian saya, senario politik mahasiswa dahulu
dan hari ini bagai langit dengan bumi. Jika dahulu, mereka bergerak dalam satu
misi yang jelas iaitu bersama rakyat.
Kini, mahasiswa terpecah kepada empat ; mahasiswa pro – kerajaan (sering dirujuk kepada
pro-aspirasi), pro – pembangkang (sering dirujuk kepada pro – mahasiswa ) ,
mahasiswa neutral (ambil jalan tengah) dan mahasiswa yang tidak mahu campur tangan
dalam hal-hal politik.
Peristiwa demi peristiwa memperlihatkan golongan kedua ; pro
– mahasiswa adalah paling vokal dalam membawa isu mirip rakyat. Dalam usaha
untuk membincangkan perkara ini, saya rujuk kepada satu koalisi iaitu
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang melibatkan beberapa fron mahasiswa.
SMM dilihat sebagai golongan yang radikal dan keras
menentang pemerintah ; United Malays National Organisation/Barisan Nasional
sehinggakan wujud kenyataan keterlaluan yang mengatakan SMM adalah ‘macai’
pembangkang, Pro – Anwar dan seumpamanya. Kenyataan seperti ini bukan perkara
asing apabila siri-siri perjuangan SMM jelas menentang dasar-dasar yang dibawa
oleh kerajaan hari ini.
Pindaan Seksyen 15
AUKU
Selepas terbentuknya Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik
(BEBAS), SMM lebih ‘jalang’ menentang Umno/BN apabila mendesak kerajaan
memansuhkan terus AUKU serta membebaskan mahasiswa daripada cengkaman pihak
pemerintah.
Idea ini memercik sehingga tercetusnya fenomena apabila Adam
Adli (Aktivis Legasi Mahasiswa Progesif) menurunkan bendera Najib Razak dan
menaikkan bendera BEBAS ketika usaha menyerahkan memorandum di PWTC.
Akhirnya, atas desakan ini AUKU telah dipinda apabila
mahasiswa diberi sedikit ruang untuk berpolitik. Mahasiswa dibenarkan menyertai
mana-mana parti politik dengan syarat tidak membawa pengaruh politik kepartian
di dalam kampus.
Malangnya, apa yang saya dapat lihat kepekaan dan
partisipasi mahasiswa dalam politik masih di tahap yang lemah. Ia tidak memberi
impak kerana kebenaran berpolitik itu dirujuk kepada ‘masuk parti’ walhal kita
sedia maklum bahawa tindakan menyertai parti politik itu tidak begitu populis
dalam kalangan mahasiswa.
Menjelang “Hari
Penentuan”
Menjelang PRU13 pada 5 Mei ini, pelbagai persoalan bermain
di benak saya. Negara kita adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Seperti
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka yang menang serta
mendapat kepercayaan rakyat boleh membentuk sebuah kerajaan.
Justeru, tidak hairan juga ada kemungkinan PRU kali ini
menyaksikan perubahan besar sama ada BN terus menjadi jaguh atau PR menang buat
pertama kalinya.
Antara persoalan yang bermain di fikiran saya adalah apakah
nasib politik mahasiswa selepas PRU13 ini andai kata PR memerintah?
Maksud saya adalah mahasiswa selepas AUKU. Berkemungkinan
besar impian mahasiswa ingin hidup tanpa AUKU itu menjadi kenyataan. Tetapi,
adakah mahasiswa bersedia untuk menghadapi situasi tersebut kerana menurut
hemat saya, SMM sendiri ditubuh sebagai simbol protes mahasiswa terhadap AUKU
yang menjerut leher anak mahasiswa selepas 1971.
Dalam menghadapi transisi ini, saya kira mahasiswa perlu
merenung semula garis perjuangan selepas ini. Tindakan GM13 untuk bertanding
pada saya tidak menyelesaikan masalah yang mendatang.
Ini jelas apabila ramai anak muda seolah tidak sepakat dan
bersetuju dalam isu ini. Bukan saya kata, mereka kata.
Peranan Mahasiswa
Selepas AUKU.
Harus diingat bahawa andai PR memerintah, mereka akan
menjadi sebuah kerajaan yang sangat kuat berdasarkan siri kecaman dan
pengalaman-pengalaman lepas. Menumbangkan PR selepas kemenangannya bukan
semudah itu sahaja.
Di sudut yang lain, Umno/BN pula berkemungkinan besar akan
menjadi pembangkang yang sangat lemah selepas lebih lima dekad selesa menjadi
pemerintah.
Dalam menghadapi saat ini, Umno/BN mungkin memerlukan masa
yang sangat lama untuk menyediakan diri sebagai satu pihak yang memberi ‘check
and balance’.
Justeru, mahasiswa harus mempunyai perancangan yang baru
dalam menghadapi saat ini. Sudah menjadi lumrah, apabila satu badan atau
organisasi itu sudah begitu lama dan ‘selesa’, kadang-kala perjalanan itu
sedikit tersasar. Itu lumrah!
Kemungkinan alternatif lain perlu dibentuk bagi
menyelesaikan masalah ‘kemandulan’ ini. Saya melihat bahawa terdapat golongan
bahawa yang begitu peka dan rancak dalam melayan isu politik semasa. Tetapi,
mereka tidak melibatkan diri kerana mungkin tidak bersetuju dengan pembawakan
dan idea platform semasa.
Oleh itu, saya berharap supaya satu solusi dapat dibentuk
demi pencerahan dan kepentingan masyarakat sivil. Jika tidak saya percaya
perjuangan akan tinggal ‘perjuangan’.
KHAIRUL NAIM RAFIDI,
PENULIS ADALAH
MAHASISWA UNDANG-UNDANG UiTM DAN PEMIMPIN MAHASISWA MELAYU PROGRESIF (M.M.P) dan GABUNGAN MAHASISWA UiTM SeMALAYSIA (GAMUS)
No comments:
Post a Comment