Sejarah UiTM
Pusat Latehan Rida dengan slogan ‘Rebut ilmu dan amal’ atau ‘RIDA’ ditubuhkan sekitar tahun 1956, iaitu setahun sebelum Malaysia mengecapi kemerdekaan 1957. Jalan Othman di Petaling Jaya dipilih untuk menjadi tempat kepada pusat yang bercita-cita tinggi ini didirikan.
Idea ini datang ketika Tun Abdul Razak dan Dato Onn Jaafar mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Ceylon (kini Sri Lanka) untuk mengkaji program luar bandar sekitar tahun 1950. Daripada lawatan tersebut, satu kertas laporan kepada ‘Federal Legistive Council’ yang dinamakan ‘Paper no.10/1951’ telah dikemukakan. Kertas laporan itu merujuk kepada asas pembentukan RIDA.
Dewan Latehan Rida ditubuhkan secara rasmi pada November 1956 dengan menawarkan Kursus Persediaan golongan belia luar bandar. Jumlah pelajar ketika itu hanya seramai 25 orang. Kemudian, tahun demi tahun, kursus sudah mula ditambah dan dinaik taraf, begitu juga dengan penambahan kemasukan pelajar secara berperingkat-peringkat, dan pengetua Dewan Latehan Rida ini juga saling ditukar dalam misi membawa pembaharuan terhadap belia luar bandar. Dan pada 1964, majlis konvo pertama telah diadakan dan disampaikan oleh Tun Abdul Razak. Ketika itu 50 orang graduan telah berjaya menamatkan pelajaran.
Melalui Kongres Ekonomi Bumiputera, Dewan Latehan Rida bertukar kepada Maktab Mara. Ketika itu pengambilan pelajar luar semenanjung iaitu Sabah dan Sarawak mula dibuka. Dan pada 1967, sekali lagi, Maktab Mara telah ditukar kepada Institut Teknologi Mara (ITM) dengan memakai slogan ‘Usaha Jaya Mara’. Ketika itu kursus kejuruteraan diperkenalkan dan pelbagai kursus lagi ditawarkan seperti diploma undang-undang dan sebagainya. Cawangan ITM diperbanyakkan ke seluruh negara. Dan pada 1999, ITM telah dinaik taraf kepada universiti dan digelar Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Demonstrasi mahasiswa ITM
Mengingat kembali peristiwa bagaimana ITM pada awal cadangan untuk dinaik taraf kepada universiti, berlaku peristiwa yang diluar jangkaan tokoh-tokoh yang mahu ITM dinaik taraf kepada universiti. Pada tanggal 21 April 1974, sebuah demonstrasi tunjuk perasaan pelajar ITM dari Shah Alam telah diadakan untuk menuntut ITM TIDAK diberi taraf universiti. Pelajar-pelajar ITM ketika itu mempunyai alasan mereka yang tersendiri. Tindakkan tersebut telah menyebabkan ITM ditutup sementara waktu.
Pada Januari 1976 pula, ITM kembali ditutup selama 3 bulan kerana demonstrasi pelajar berkaitan peraturan pemakaian topi keledar dalam kampus 1975 yang diadakan oleh Kesatuan Siswa Siswi Institut Teknologi Mara (KSITM). Rentetan peristiwa terbabit, KSITM diharamkan dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar(JPP) serta Akta ITM diwujudkan. Dan JPP terus diguna sehingga hari ini.
Unit Kesatria
Peristiwa dua demonstrasi pelajar-pelajar institut pengajian tinggi di Malaysia termasuk ITM pada akhir tahun 1975 merupakan titik permulaan penubuhan Unit Kesatria kerana peristiwa itu telah menyebabkan lebih kurang 200 pelajar telah disingkirkan dari ITM. Pihak ITM telah memandang serius hal tersebut. Bagi mereka, demonstrasi itu menunjukkan keperluan meningkatkan disiplin dikalangan pelajar-pelajar ITM. Unit Kesatria diwujudkan secara rasmi pada tahun 1976. Dan pada 1978, ianya dijadikan satu kokurikulum dan juga adalah salah satu subjek yang wajib lulus, kerana Majlis ITM tidak akan mengeluarkan diploma untuk pelajar yang gagal subjek tersebut.
Cara mendisplin Mahasiswa ITM
Adakah Unit Kesatria digunakan untuk mengawal pelajar dari berdemonstrasi? Atau Unit Kesatria diguna untuk meningkatkan disiplin pelajar, dan kesannya, pelajar tidak akan berdemontrasi lagi. Adakah begitu?
Tulisan ini masih melihat method yang dipilih ITM untuk mendisplinkan pelajar melalui Unit Kesatria adalah tidak salah. Kerana ianya mengalakkan para pelajar menyertai persatuan sosial. Tetapi, adakah ITM benar-benar faham kenapa pelajar ketika itu berdemonstrasi? Kenapa pelajar ketika itu menghalang idea menaik taraf ITM ke universiti? Kenapa pelajar menghalang peraturan pemakaian topi keledar? Adakah ‘ibu bapa’ ini benar-benar faham kenapa ‘anak-anak’ mereka berdemontrasi dan memberontak?
Adakah kita hanya mahu pelajar memberontak apabila UiTM suatu ketika diancam akan dirampas oleh orang yang bukan Melayu? Seperti apa yang telah terjadi pada tahun 2008, dimana kita dapat lihat 5000 pelajar UiTM Shah Alam berdemonstrasi dan melaungkan kata-kata slogan memohon UiTM tidak dibuka kepada yang bukan Melayu/Bumiputera.
Demonstrasi tersebut adalah untuk bertindak balas terhadap kenyataan Menteri Besar Selangor yang ingin membuka UiTM kepada pelajar bukan Melayu/Bumiputera sebanyak 10 peratus. Seramai 5000 pelajar telah berarak dengan membawa sepanduk mempertahankan hak kaum peribumi tersebut. Demonstrasi tersebut telah merebak keseluruh cawangan UiTM seluruh Malaysia. Namun, yang pelik, TIADA pula tindakan diambil terhadap para mahasiswa yang terbabit di dalam demonstrasi jalanan tersebut. Sangat memeranjatkkan kerana suasananya sangat berbeza seperti mana yang berlaku ketika zaman 70an. Tiada pelajar yang dibuang.
Adakah kerana ‘ibu bapa’ telah merestui perberontakan ‘anak-anak’ mereka? Ini mungkin kerana isu yang diperjuangkan mahasiswa itu telah dipersetujui oleh pihak UiTM. Walaupun kepada golongan intelektual seperti ini sekalipun, tidak bermakna mereka boleh mencapai sesuatu matlamat dengan menghalalkan cara. Jika mahu menghalang mahasiswa berdemonstrasi, halanglah seluruhnya. Jika mahu benar mahasiswa berdemontrasi untuk menyatakan masalah atau isu, benarkanlah sepenuhnya. Itu barulah bersikap namanya.
Benarkanlah mahasiswa UiTM berorganisasi
Begitu juga di dalam hal untuk menghalang mahasiswa menyertai mana-mana organisasi bebas didalam atau di diluar universiti yang terdapat di dalam AUKU dan Akta 174. UiTM juga harus bersikap dalam hal ini. Lepaskan lah mahasiswa-mahasiswa UiTM agar mereka menjadi lebih peka dan aktif di dalam aktiviti-aktiviti sosial disamping mempunyai otak yang cerdas di dalam pengajian. UiTM harus berubah!
Mengapa perlu mewujudkan lagi pelbagai aktiviti yang mempunyai maksud untuk mendisplin, membentuk insaniah, melahirkan mahasiswa yang matang, melahirkan mahasiswa yang kental dari segi mental dan fizikal dengan hanya mengadakan ceramah-ceramah atau kem-kem yang akhirnya menjadikan para mahasiswa seperti ‘pak turut’? dan adakalanya ceramah dan kem tersebut adalah sia-sia.
Kenapa tidak lepaskan sahaja mahasiswa berorganisasi dengan cara mereka. Cara yang mereka suka. Cara orang muda. Cara yang lebih ‘cool’. Mahasiswa akan tampak lebih menyerlah dengan cara tersebut. Kenapa ‘ibu bapa’ masih suka menentukan dan menilai bahawa sesuatu itu adalah buruk untuk ‘anak-anak’ mereka dengan tidak membenarkan langsung ‘anak-anak’ merasa akan keburukan tersebut? Tidak akan faham anak itu akan rasa PEDAS jika tidak langsung dibenar untuk memakan LADA.
UiTM harus memberi mahasiswa kelonggaran untuk mengekspresi idea mereka melalui organisasi yang mereka suka sertai, organisasi yang sesuai dengan jiwa muda mereka. Sudah tiba masa UiTM melepaskan mahasiswa daripada AUKU dan Akta 174. Ramai golongan profesional yang hebat akan kita lihat di masa hadapan jika kita biarkan mereka berdikari di dalam organisasi seawal zaman mahasiswa lagi. Jika ingin lebih jauh berbicara mengenai nasib bangsa, pisahkan dahulu anak-anak bangsa kita dari dunia lesu ini. Ayoh UiTM, mari berubah!
P/S: ITM adalah nama lama UiTM. Kedua-duanya adalah institusi yang sama.