Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Tuesday, 7 May 2013

Catatan Hari Rusuhan


Setelah sekian lama menunggu akhirnya pada 5 Mei tiba hari penentuan iaitu kemuncak perayaan demokrasi yang berlangsung lima tahun sekali. Setiap rakyat sama ada yang cakna politik atau tidak pasti turut sama mengisi warna dan ritma perayaan ini. Benarlah kata Aristotle, ‘man is by nature a political animal’.
Malam tadi saya bersama beberapa teman ; Faris, Farid, Shah dan Syazmeer, kami singgah ke beberapa kawasan bagi melihat dengan mata kepala sendiri perilaku masyarakat Malaysia untuk PRU13 ini. Kami singgah ke kawasan Shah Alam, Sri Muda, Selat Klang, Bandar Klang, Pendamar, Teluk Gong serta beberapa kawasan lagi yang diwartakan ‘panas’. Bukan senang hendak melihat ragam yang berlangsung lima tahun sekali.

Di serata tempat begitu meriah dengan kebanjiran rakyat menunjukkan sokongan kepada parti politik masing-masing. Kenderaan kecil dan besar berpusu-pusu berada di atas jalan raya bertemankan panji politik dan juga hon bagi menyambut hari esok. Paling menarik ialah apabila berada di Teluk Gong, puas kami berbual dengan masyarakat di tempat bersejarah perjuangan mahasiswa itu. Sampai satu tahap seorang daripada mereka menyebut tentang cerita rusuhan 13 Mei yang popular itu. Beberapa hari lepas, saya agak terkejut apabila rakan sekelas terutamanya perempuan sibuk bercakap tentang rusuhan. Kata mereka ibu bapa masing-masing asyik mengingatkan supaya usah keluar rumah selepas keputusan PRU nanti. Bimbang perkara buruk atau rusuhan berlaku. Saya terkejut! Tulisan sebelum ini saya ada mengingatkan tentang isu-isu sentimen yang tidak sepatutnya dimainkan oleh pemimpin politik dan juga rakyat.

Hakikatnya, tanpa sedar masih ramai rakyat kita dibayangi peristiwa hitam yang lepas itu. Bukan saya kata kita harus melupai sejarah, benar sejarah perlu sentiasa diingati supaya kita tidak mengulang semula. Tetapi, zaman dan keadaan kadang-kala merobah dan dengan sejarah kita dapat membaiki perkara buruk yang pernah terjadi.
13 Mei terjadi disebabkan resah orang Melayu tentang ‘kuasa politik’ mereka. Sikap bangsa Malaysia ketika itu jauh berbeda dengan keadaan sekarang. Paling tidak masing-masing masih menyimpan syak wasangka antara satu sama lain. Tambahan pula ketika itu masih belum wujud ‘Pak Haji Google’ dan adik beradik maka maklumat mereka hanya berpaksi pada yang wahid. Jadi, mudah bagi sesetengah orang terpengaruh dengan dakyah orang berkepentingan. PRU kali ini menyaksikan bahawa sikap dan pembawakan politik di Malaysia semakin baik. Walaupun masih belum berada di tahap yang benar-benar matang, perubahan itu nampak jelas apabila masing-masing sudah mula menerima antara satu sama lain.

Isu perkauman bukanlah satu isu yang utama dalam PRU kali ini. Rakyat mahukan idea, nilai dan dasar yang  jelas supaya dapat memacu kearah kestabilan, kesaksamaan dan keadilan. Bagi mengelak sejarah berulang, rakyat haruslah membuang sikap taksub pada sentimen. Kali ini masing-masing sama ada dari pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat harus menghormati keputusan yang bakal diumumkan kelak. Tidak salah jika rakyat ingin meraikan kemenangan parti politik masing-masing. Tetapi ia haruslah disulam dengan kematangan dan sikap menghormati antara satu sama lain. Kata orang lain tempat lain ragam. Justeru, rakyat haruslah bertindak dengan bijak serta mengikut keadaan bagi mengelak kejadian ‘hati terbakar’ antara dua pihak.
Catatan menjelang terbit fajar ini dilakar sebagai harapan kepada PRU13 yang paling kritikal ini. Semoga hari esok membawa sinar kepada seluruh rakyat Malaysia  


KHAIRUL NAIM RAFIDI,
PENULIS MERUPAKAN MAHASISWA UNDANG -UNDANG UiTM SHAH ALAM DAN PEMIMPIN MAHASISWA MELAYU PROGRESIF (M.M.P)

Analisis Pilihan Raya Umum - 13

Pilihanraya Umum ke - 13 (PRU13) telah melabuhkan tirainya, walaupun berlangsung dengan lancar terdapat pelbagai insiden yang direkodkan oleh pengundi antaranya kes pengundi hantu, peti undi dibawa keluar, bekalan elektrik terputus dan banyak lagi yang perlu dibuktikan kesahihannya. PRU 13 ini telah menobatkan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan untuk 5 tahun lagi selepas berjaya memenangi 133 kerusi pada jam 12.45 pagi 6 Mei 2013. Pakatan Rakyat (PR) pula terus menjadi pembangkang di Dewan Rakyat apabila mereka hanya berjaya mendapat 89 kerusi parlimen.  Umumnya, PR telah menambah hampir 7 kerusi Dewan Rakyat berbanding PRU 12. Jika mengikut Undi Popular atau undi majoriti rakyat, Barisan Nasional hanya mendapat 5,237,033 undi dan Pakatan Rakyat mendapat 5,623,984 undi, kekuatan undi rakyat apabila diterjemahkan menjadi 46.66% untuk Barisan Nasional (BN) dan 50.10% untuk Pakatan Rakyat (PR).


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan PRU13 sebagai "tsunami masyarakat Cina".Sabah dan Sarawak banyak membantu memenangkan BN di peringkat Persekutuan seterusnya membentuk semula kerajaan.  Walaupun ramai yang menyebut Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) adalah "peperangan" untuk pengundi Cina yang inginkan perubahan namun kemaraaan mereka masih gagal merobohkan benteng Umno-BN di Putrajaya. Analisis awal pemerhati mendapati, Melayu bandar juga menolak BN sama seperti pengundi Cina.


Sumber : Wikipedia 

Kita dikatakan sudah mengalami politik polarisasi, masyarakat Cina menyokong pembangkang, Melayu sokong Barisan Nasional. Ini tidak tepat.  Buktinya, Kelantan masih kekal dibawah Pakatan Rakyat (PR) dan Terengganu cuma beza dua kerusi dari Barisan Nasional (BN), P48 Bukit Bendera, DAP vs Gerakan (74% Cina 14% Melayu) Calon DAP, Zairil Khir Johari berbangsa MELAYU menang melawan Gerakan Teh Leong Meng di kerusi majoriti CINA. Manakala di P80 Raub, DAP vs MCA (50% M, 40% C)Calon DAP, Ariff Sabri berbangsa MELAYU menang melawan MCA Ho Khai Mun di kerusi majoriti MELAYU. Di Parlimen Pandan juga berlaku perkara sedemikian, Rafizi Ramli menewaskan Gary Lim dengan majoriti 26,700 undi dimana peratusan pecahan mengikut bangsa dikawasan Pandan adalah majoriti Cina dengan 45% Melayu dan 7% India.

Trend pengundi Bandar kali ini lebih memilih kepada Pakatan Rakyat (PR) dan kebanyakkan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) adalah di luar bandar. Akhir kata, sebenarnya ini bukannya perlawanan Melayu lawan bukan Melayu, ini adalah mereka yang beraliran liberal menentang konservatif. Ini yang sebenarnya berlaku.