Atas Nama Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Tulisan ini saya tulis atas rasa cinta pada UiTM, rasa sayang
pada UiTM. Buruk- baik UiTM, ia sudah menjadi sebahagian dari saya, “alma-mater”
saya. Dan kerana rasa sayang juga lah kita semua perlu boikot Pilihan Raya
Kampus (PRK) UiTM. Kenapa?
SEJARAH
Teman teman semua, UiTM (dulunya ITM) suatu ketika dulu cukup digeruni dalam
pembawaan isu mahasiswa. Pemimpin pemimpin pelajar dari ITM seperti Ibrahim Ali
dan Malek Hussin cukup lantang bersuara, kritis dan cakna. Namun selepas akta 174 diguna pakai, mahasiswa
ITM semakin lesu dan hingga sekarang, mahasiswa UiTM sering dilabel sebagai mahasiswa yang
“ignorant” terhadap isu semasa, sering dipandang enteng oleh masyarakat kerana
dianggap pentingkan diri sendiri.
Malah kelesuan ini seolah olah diterajui oleh MPP
sendiri. MPP yang diberi amanat oleh
kita semua, untuk menjadi wakil kita,
pelajar biasa, ke depan seolah lesu dalam membawa isu mahasiswa. Sehinggakan
ada yang menggelar mereka Majlis Perwakilan Pentadbiran bukan Majlis Perwakilan
Pelajar seperti yang sepatutnya. MPP sepatutnya menjadi entiti yang membawa
masuk pembaharuan, progresif dan terbuka dalam mendengar suara kita semua tapi
yang sebaliknya pula berlaku,mereka lah yang tertutup dalam menerima
pembaharuan, mereka lah yang pertama melenting bila di kritik. Apa? Oh lupa,
mengkritik bukan budaya kita dan pemimpin kita pantang di kritik!
Kenapa perlu boikot?
Umum mengetahui, MPP dilantik melalui proses Pilihanraya
Kampus sepertimana universiti lain. Pernahkah teman-teman semua terfikir kenapa
ia digelar pilihanraya bukan pemilihan? Bukan undian kampus? Kerana pada hemat
saya, ianya mahu digambarkan seperti Pilihanraya Umum. Suatu proses
pemilihanyang penting dalam menentukan hala tuju negara, proses yang meriah, yang mendapat sambutan hangat
tak kira haluan politik. Namun ianya hanya indah khabar dari rupa.
Kita semua tahu macam mana PRK berlangsung di UiTM dan
betapa hambarnya PRK di UiTM dan malangnya
ia hanya berlaku di UiTM. Malah kalau ditanya pada mahasiswa, mungkin
ada yang tidak tahu apa itu PRK. PRK sepatutnya menjadi satu acara yang
dinanti-nantikan oleh kita semua, kerana masa ini lah kita sebagai pelajar boleh menggunakan kuasa kita untuk memilih.
Ini lah masanya untuk kita sebagai mahasiswa untuk meraikan hak kita. Namun hak
ini seakan ditarik atau dinafikan melalui beberapa kepincangan yang sengaja
dicipta untuk mengekalkan hagemoni sesetengah pihak. Ini boleh dilihat apabila
13 fakulti menang tanpa bertanding untuk PRK kali ini, lebih separuh daripada
jumlah fakulti yang dipertandingkan.
Kepincangan.
Teman-teman semua, PRK kali ini hadir dengan penuh kejutan.
Daripada tarikh-tarikh penting PRK hinggalah kepada jumlah fakulti yang menang
tanpa bertanding. Tiada siapa yang boleh menduga bila PRK akan diadakan hingga
lah beberapa hari terakhir sebelum
borang diedarkan. Malah syarat-syarat am untuk bertanding juga tidak
dihebahkan kepada umum. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu akan syarat
syarat untuk bertanding. Itu belum diambil kira “keperluan khas” untuk menjadi
calon yang “direstui” oleh HEP. Berapa ramai dikalangan kita, pelajar biasa
yang tahu akan kem-kem yang diadakan untuk menapis bakal-bakal calon? Kalau
tahu pun tidak, masakan kita boleh menyertai kem tersebut?
Teman-teman semua, HEP tidak sepatutnya menapis bakal-bakal
calon melalui kem-kem seperti ini kerana ia seolah menafikan hak semua
mahasiswa yang lepas syarat am untuk menjadi calon, walaupun berbeza aliran
dengan HEP. Biar kita semua yang tentukan siapa yang akan dilantik. Bukan HEP!
Demokrasi yang dimomokan ada di UiTM adalah “Selected Candidates Democracy”
bukannya “Elected Representatives Democracy”. Itu belum diambil kira
calon-calon yang “dinasihatkan” agar tidak bertanding oleh sesetengah pihak dan
yang ‘tidak sempat’ untuk dapatkan tandatangan dekan sebelum tarikh akhir
penyerahan borang. Malah ada juga beberapa suara yang mendakwa e-voting yang
diguna pakai di ‘manipulate’ oleh sesetengah pihak dan belum diambil kira latar
belakang jawatankuasa SPRK UiTM.
Pembaharuan.
Teman-teman semua, demi menyemarakkan lagi PRK di UiTM,segala
kepincangan di atas perlu di atasi dan kita semua perlu mencadangkan agar
Kerusi Umum dipertandingkan. Kerusi umum adalah satu kerusi yang melibatkan
semua mahasiswa, kita semua, tanpa mengira fakulti akan diberi pilihan untuk
mengundi orang yang sama. YDP MPP (sepatutnya JPP) dan beberapa Majlis
Tertinggi JPP perlu dikhaskan untuk calon yang memenangi kerusi umum ini.
Kenapa mereka ini perlu datang dari pemenang kerusi umum? Kerana ianya akan
meningkatkan lagi rasa tanggungjawab mereka terhadap kita semua tanpa mengira
fakulti, kerana mereka dipilih oleh kita semua, bukan mahasiswa fakulti mereka
sahaja. Contohnya, YDP sebelum ini datang dari Fakulti Kejuruteraan, berapa ramai
antara kita dari fakulti lain yang
pernah bertentang mata dengan YDP selain di majlis-majlis rasmi yang
mewajibkan kehadiran YDP?
Keduanya, perlu ada satu slot khas untuk calon calon,
membahaskan manifesto mereka, debat ala “US Presidential Debate” akan memberi
ruang kepada kita semua untuk menilai kematangan calon calon, bukan sekadar
membaca manifesto dari kertas tanpa tahu apa yang mereka ungkapkan. Kita perlu
melangkah ke depan dan Rapat Umum yang selama 30 minit untuk empat calon tidak
cukup untuk itu. Ini akan menggalakkan para calon untuk tampil dengan manifesto
yang lebih matang, bukannya manifesto “budak sekolah” .
“Renaissance Age”.
Beberapa tahun kebelakangan ini, mahasiswa UiTM semakin
lantang dan semakin berani dalam menyatakan pendapat mereka. Tidak kisah lah
berpaksikan aliran apa, yang penting berani untuk bersuara. Kita semua perlu
meraikan kepelbagaian pendapat kerana dari pendapat, lahirlah sepakat.Dan saya
sifatkan perihal ini sebagai zaman kebangkitan mahasiswa UiTM yang telah lama
ditidurkan dia ianya sesuatu yang amat positif dan dinantikan oleh kita semua.
Disebalik kelesuan MPP kita, kehambaran PRK UiTM,
kepincangan pemilihan, saya percaya, kita semua masih ada harapan. Kita semua
tidak seperti yang diperkatakan oleh orang luar, PRK UiTM berpotensi untuk jadi
lebih baik. Setiap manusia dilahirkan hebat, dan kita, mahasiswa UiTM juga
tidak terkecuali kerana menjadi mahasiswa UiTM, bukanlah satu dosa, tapi satu
rahmat.
Akhir kata dari saya, kita semua sayangkan UiTM, “alma-mater” kita, dan kita semua ada
cara masing masing dalam menunjukkan rasa sayang kita. Ingatlah teman, apa yang
kita buat ini bukan untuk keburukan, tapi untuk kebaikan bersama. Boikot bukan
kerana benci, tapi boikot lah kerana rasa sayang pada UiTM.
Karl
*Karl merupakan ahli
Mara Rennaisance Front dan juga pengasas GAMUS.