Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Wednesday, 27 November 2013

BOIKOT BUKAN KERANA BENCI TAPI ATAS DASAR SAYANG PADA UiTM,DEMI UiTM.


Atas Nama Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Tulisan ini saya tulis atas rasa cinta pada UiTM, rasa sayang pada UiTM. Buruk- baik UiTM, ia sudah menjadi sebahagian dari saya, “alma-mater” saya. Dan kerana rasa sayang juga lah kita semua perlu boikot Pilihan Raya Kampus (PRK) UiTM. Kenapa?

SEJARAH

Teman teman semua, UiTM (dulunya ITM)  suatu ketika dulu cukup digeruni dalam pembawaan isu mahasiswa. Pemimpin pemimpin pelajar dari ITM seperti Ibrahim Ali dan Malek Hussin cukup lantang bersuara, kritis dan cakna.  Namun selepas akta 174 diguna pakai, mahasiswa ITM semakin lesu dan hingga sekarang, mahasiswa UiTM  sering dilabel sebagai mahasiswa yang “ignorant” terhadap isu semasa, sering dipandang enteng oleh masyarakat kerana dianggap pentingkan diri sendiri.

Malah kelesuan ini seolah olah diterajui oleh MPP sendiri.  MPP yang diberi amanat oleh kita semua,  untuk menjadi wakil kita, pelajar biasa, ke depan seolah lesu dalam membawa isu mahasiswa. Sehinggakan ada yang menggelar mereka Majlis Perwakilan Pentadbiran bukan Majlis Perwakilan Pelajar seperti yang sepatutnya. MPP sepatutnya menjadi entiti yang membawa masuk pembaharuan, progresif dan terbuka dalam mendengar suara kita semua tapi yang sebaliknya pula berlaku,mereka lah yang tertutup dalam menerima pembaharuan, mereka lah yang pertama melenting bila di kritik. Apa? Oh lupa, mengkritik bukan budaya kita dan pemimpin kita pantang di kritik!

Kenapa perlu boikot?

Umum mengetahui, MPP dilantik melalui proses Pilihanraya Kampus sepertimana universiti lain. Pernahkah teman-teman semua terfikir kenapa ia digelar pilihanraya bukan pemilihan? Bukan undian kampus? Kerana pada hemat saya, ianya mahu digambarkan seperti Pilihanraya Umum. Suatu proses pemilihanyang penting dalam menentukan hala tuju negara, proses  yang meriah, yang mendapat sambutan hangat tak kira haluan politik. Namun ianya hanya indah khabar dari rupa.

Kita semua tahu macam mana PRK berlangsung di UiTM dan betapa hambarnya PRK di UiTM dan malangnya  ia hanya berlaku di UiTM. Malah kalau ditanya pada mahasiswa, mungkin ada yang tidak tahu apa itu PRK. PRK sepatutnya menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh kita semua, kerana masa ini lah kita sebagai pelajar  boleh menggunakan kuasa kita untuk memilih. Ini lah masanya untuk kita sebagai mahasiswa untuk meraikan hak kita. Namun hak ini seakan ditarik atau dinafikan melalui beberapa kepincangan yang sengaja dicipta untuk mengekalkan hagemoni sesetengah pihak. Ini boleh dilihat apabila 13 fakulti menang tanpa bertanding untuk PRK kali ini, lebih separuh daripada jumlah fakulti yang dipertandingkan.

Kepincangan.

Teman-teman semua, PRK kali ini hadir dengan penuh kejutan. Daripada tarikh-tarikh penting PRK hinggalah kepada jumlah fakulti yang menang tanpa bertanding. Tiada siapa yang boleh menduga bila PRK akan diadakan hingga lah beberapa hari terakhir sebelum  borang diedarkan. Malah syarat-syarat am untuk bertanding juga tidak dihebahkan kepada umum. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu akan syarat syarat untuk bertanding. Itu belum diambil kira “keperluan khas” untuk menjadi calon yang “direstui” oleh HEP. Berapa ramai dikalangan kita, pelajar biasa yang tahu akan kem-kem yang diadakan untuk menapis bakal-bakal calon? Kalau tahu pun tidak, masakan kita boleh menyertai kem tersebut?

Teman-teman semua, HEP tidak sepatutnya menapis bakal-bakal calon melalui kem-kem seperti ini kerana ia seolah menafikan hak semua mahasiswa yang lepas syarat am untuk menjadi calon, walaupun berbeza aliran dengan HEP. Biar kita semua yang tentukan siapa yang akan dilantik. Bukan HEP! Demokrasi yang dimomokan ada di UiTM adalah “Selected Candidates Democracy” bukannya “Elected Representatives Democracy”. Itu belum diambil kira calon-calon yang “dinasihatkan” agar tidak bertanding oleh sesetengah pihak dan yang ‘tidak sempat’ untuk dapatkan tandatangan dekan sebelum tarikh akhir penyerahan borang. Malah ada juga beberapa suara yang mendakwa e-voting yang diguna pakai di ‘manipulate’ oleh sesetengah pihak dan belum diambil kira latar belakang jawatankuasa SPRK UiTM.

Pembaharuan.

Teman-teman semua, demi menyemarakkan lagi PRK di UiTM,segala kepincangan di atas perlu di atasi dan kita semua perlu mencadangkan agar Kerusi Umum dipertandingkan. Kerusi umum adalah satu kerusi yang melibatkan semua mahasiswa, kita semua, tanpa mengira fakulti akan diberi pilihan untuk mengundi orang yang sama. YDP MPP (sepatutnya JPP) dan beberapa Majlis Tertinggi JPP perlu dikhaskan untuk calon yang memenangi kerusi umum ini. Kenapa mereka ini perlu datang dari pemenang kerusi umum? Kerana ianya akan meningkatkan lagi rasa tanggungjawab mereka terhadap kita semua tanpa mengira fakulti, kerana mereka dipilih oleh kita semua, bukan mahasiswa fakulti mereka sahaja. Contohnya, YDP sebelum ini datang dari Fakulti Kejuruteraan, berapa ramai antara kita dari fakulti lain yang  pernah bertentang mata dengan YDP selain di majlis-majlis rasmi yang mewajibkan kehadiran YDP?

Keduanya, perlu ada satu slot khas untuk calon calon, membahaskan manifesto mereka, debat ala “US Presidential Debate” akan memberi ruang kepada kita semua untuk menilai kematangan calon calon, bukan sekadar membaca manifesto dari kertas tanpa tahu apa yang mereka ungkapkan. Kita perlu melangkah ke depan dan Rapat Umum yang selama 30 minit untuk empat calon tidak cukup untuk itu. Ini akan menggalakkan para calon untuk tampil dengan manifesto yang lebih matang, bukannya manifesto “budak sekolah” .



“Renaissance Age”.

Beberapa tahun kebelakangan ini, mahasiswa UiTM semakin lantang dan semakin berani dalam menyatakan pendapat mereka. Tidak kisah lah berpaksikan aliran apa, yang penting berani untuk bersuara. Kita semua perlu meraikan kepelbagaian pendapat kerana dari pendapat, lahirlah sepakat.Dan saya sifatkan perihal ini sebagai zaman kebangkitan mahasiswa UiTM yang telah lama ditidurkan dia ianya sesuatu yang amat positif dan dinantikan oleh kita semua.

Disebalik kelesuan MPP kita, kehambaran PRK UiTM, kepincangan pemilihan, saya percaya, kita semua masih ada harapan. Kita semua tidak seperti yang diperkatakan oleh orang luar, PRK UiTM berpotensi untuk jadi lebih baik. Setiap manusia dilahirkan hebat, dan kita, mahasiswa UiTM juga tidak terkecuali kerana menjadi mahasiswa UiTM, bukanlah satu dosa, tapi satu rahmat.

Akhir kata dari saya, kita semua sayangkan UiTM, “alma-mater” kita, dan kita semua ada cara masing masing dalam menunjukkan rasa sayang kita. Ingatlah teman, apa yang kita buat ini bukan untuk keburukan, tapi untuk kebaikan bersama. Boikot bukan kerana benci, tapi boikot lah kerana rasa sayang pada UiTM.


Karl

*Karl merupakan ahli Mara Rennaisance Front dan juga pengasas GAMUS.

No comments:

Post a Comment