Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Friday, 21 June 2013

Mahasiswa Peduli

Assalamualaikum wbt. 

Pertama sekali saya ingin memohon ampun beribu ampun pada pembaca yang mengharapkan penulisan kritis dan kreatif dari saya yang naïf dalam bidang penulisan ini. Maaf saya pinta kerana terus terang saya jelaskan penulisan ini bukanlah sebuah penulisan yang tinggi nilai sasteranya, namun saya berharap para pembaca terutamanya golongan Mahasiswa mampu memahami mesej dan nilai yang ingin saya sampaikan. 

Memegang gelaran Mahasiswa bukan perkara yang mudah. Mahasiswa bukan hanya tertumpu pada tugas belajar dan memahami pembelajaran. Namun Mahasiswa merupakan golongan yang amat penting dalam masyarakat. Mahasiswa sering diangkat sebagai “golongan harapan Negara”. Menjadi ayam tambatan sebuah Negara yang meningkat maju kini merupakan satu tanggungjawab yang besar. Justeru itu, memiliki keperibadian yang unggul merupakan kewajiban sebagai seorang Mahasiswa. Keperibadian yang ingin saya ketengahkan adalah sifat Mahasiswa yang peka terhadap masalah yang berlaku disekeliling mereka. Kepekaan terhadap peristiwa yang berlaku mampu meningkatkan kesedaran dan mematangkan Mahasiswa.

Peduli. Ambil tahu. Masuk campur. Tidak banyak beza antara istilah ini, saya cukup yakin para pembaca cukup memahami apakah maksud disebalik istilah yang saya nyatakan tadi. Namun, masalah kini, berapa ramai antara kita (saya khususkan kepada golongan mahsiswa) yang betul-betul peduli akan masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekeliling kita? Tanpa kita sedar, disekeliling kita terdapat pelbagai peristiwa yang memerlukan penglibatan Mahasiswa. Berdasarkan pemerhatian saya, Mahasiswa kini tidak mempunyai sifat “awareness”. Mereka lebih gemar menghabiskan masa menghadap game computer, melayari laman web social, dan bersosial di hujung minggu. Dimana hilangnya sifat Mahasiswa prihatin seperti yang terpupuk di jiwa Mahasiswa dizaman 60an dan 70an?

Suka untuk saya singkap beberapa sejarah Mahasiswa di zaman dahulu yang mana rata-ratanya, amat bersatu padu, prihatin terhadap isu-isu semasa, baik dari sudut politik, agama, dan ekonomi. Berdasarkan e-book Kalau Saya Mahasiswa tulisan Saifuddin Abdullah, pada tahun 1958, telah ditubuhkan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia (PKPM) yang menggabungkan pelajar-pelajar pelbagai kaum. Ia bertujuan untuk menjaga kepentingan-kepentingan pelajar dan memperbaiki kebajikan mereka dengan tanpa mengira jantina, bangsa, agama serta kedudukan sosial dan ekonomi. Bahkan, pada tahun 1965, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) sering mengadakan program-program bersama masyarakat, seperti ceramah, forum dan perbincangan. Mahasiswa Melayu ketika itu mula melibatkan diri dengan masalah penderitaan penoreh getah, petani dan nelayan. Kesedaran ini menjadi pembakar semangat Mahasiswa Melayu untuk memimpin bangsa Melayu yang mundur dan miskin itu ke arah kemakmuran, keadilan dan kebahagiaan. Selain itu, Pada tahun 1970, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya telah menganjurkan “Projek Perkhidmatan Masyarakat”. Dengan perbelanjaan sebanyak $8,000, 40 orang mahasiswa telah pergi ke-4 buah kampung iaitu: Pulau Kundur, Kota Bharu; Manek Urai, Kuala Krai; Gaong, Kuala Brang; dan Chalok di Terengganu. Objektif projek ini ialah untuk memahami masalah yang dihadapi penduduk desa dan membantu mereka menyelesaikan masalah itu. Bukti ini jelas menunjukkan satu ketika dahulu, Mahasiswa merupakan unit yang penting dalam penyelesaian masalah isu semasa. Namun kini, Mahasiswa lebih bersifat pasif, mengharapkan bantuan dan hanya pandai menerima arahan tanpa mahu membantu dalam mencari jalan penyelesaian.

Menurut Zul FIkri Zamir di dalam bukunya Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang, ilmu yang terbaik adalah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Seharusnya, Mahasiswa melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasakan masyarakat dengan melengkapkan diri dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal dan golongan mereka yang tertindas. Menurut beliau, Mahasiswa kini dilanda sydrom “ignorance state” keadaan dimana mahasiswa tidak mampu turun ke masyarakat untuk menyelesaikan masalah masyarakat, berpartisipasi secara aktif serta bersikap tegas. Ringkasnya, “ignorance state” merujuk kepada keadaan mahasiswa yang tidak prihatin dan hanya mementingkan diri sendiri.

Balik pada diri kita sebagai Mahasiswa, berapa ramai antara kita yang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan di sekeliling kita? Contoh mudah, pelajar Non-resident yang menetap di taman-taman perumahan, berapa ramai antara kita yang sering mengikuti aktiviti penduduk setempat? Berapa ramai yang peduli dengan masalah tetangga? Saya yakin, rata-rata antara kita menganggap perkara sebegini merupakan suatu yang remeh temeh, bukan tanggungjawab kita sebagai pelajar untuk masuk campur. Namun, sedar atau tidak kita sebagai Mahasiswa juga sebahagian dari masyarakat. Sedikit pertolongan dan kefahaman yang kita hulur kepada penduduk setempat secara tidak langsung memberi beribu manfaat. Imej kita sebagai Mahsiswa dianggap bersih, mewujudkan suasana yang harmoni dikalangan masyarakat bahkan kita menghidupkan semangat saling membantu.

Ramai antara kita yang tidak sedar terdapat pelbagai usaha yang mampu kita lakukan dalam membantu masyarakat setempat. Tidak perlu berdemonstrasi jalanan, tidak perlu mengangkat senjata bahkan tidak perlu menggadai nyawa. Percaya atau tidak, kerjasama antara kita Mahasiswa mampu meringankan beban masyarakat yang memerlukan tenaga muda kita. Justeru itu, saya ingin memberi beberapa cadangan;

1. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) meningkatkan aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contoh, mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah pendalaman, dan membantu pelajar-pelajar yang lemah dalam pelajaran. Saya percaya, sehingga kini masih ramai lagi kanak-kanak yang tidak mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengeja. Alangkah bagusnya andai kita sebagai Mahasiswa berganding bahu bersama guru-guru mendidik anak bangsa berbanding sibuk menganjurkan kursus kahwin.

2. Kelab dan Persatuan Pelajar yang menganjurkan majlis serta membuka tapak berniaga kepada penduduk setempat seeloknya mendahulukan peniaga-peniaga kecil yang memerlukan. Berdasarkan pemerhatian saya, kebiasaannya peniaga yang sama sering mendapat tapak berniaga di majlis-majlis yang dianjurkan. Mengikut kefahaman saya, majlis yang dianjurkan oleh pelajar didalam kampus (saya mengambil contoh uitm) tidak dikenakan bayaran oleh pihak Universiti. Namun penganjur dibenarkan untuk membuka tapak kepada peniaga luar (penduduk tempatan khususnya) dan mengenakan mereka bayaran sewaan tapak dan hasil kutipan sewa merupakan hak penganjur. Alangkah bagusnya, andai penganjur majlis (kelab dan persatuan pelajar) menyediakan beberapa buah tapak tanpa mengenakan bayaran kepada golongan yang memerlukan mata pencarian tambahan, contohnya ibu tunggal. Sudah pasti kita dapat membantu meringkan beban golongan sebegini tanpa mereka perlu menunggu bantuan dari kerajaan.

3. Mahasiswa sendiri hendaklah memupuk kesedaran terhadap diri masing-masing. Buat lah apa usaha sekali pun andai tiada kesedaran dalam diri kita, usaha yang dilakukan pasti sia-sia. Sebagai Mahasiswa kita harus sedar, tanggungjawab kita bukan hanya pada diri dan keluarga, namun pada bangsa dan Negara. Tiada guna kita mendapat 4.00 CGPA dalam peperikasaan andai kita tidak mampu mencari jalan penyelesaian dan terlibat sama dalam proses menyelesaikan masalah yang ada. Untuk menyumbang harta saya yakin ramai antara kita masih tidak mampu, apa lah salahnya andai kita menyumbang tenaga dan sedikit masa demi mereka yang memerlukan kita.

Saya percaya, terdapat pelbagai lagi usaha yang mampu kita lakukan tanpa memerlukan pengorbanan yang besar. Sebagai Mahasiswa seharusnya kita belajar berdikari, tidak perlu menunggu aktiviti anjuran kolej atau universiti untuk melibatkan diri dengan masyarakat. Seharusnya, zaman pengajian kita dipenuhi dengan aktiviti yang memberi faedah kepada insan lain bukan dipenuhi dengan hiburan dan aktiviti sosial yang tidak memberi sebarang manfaat. Sekiranya 227,000 Mahasiswa yang ada kini prihatin terhadap isu semasa, membantu masyarakat setempat sudah pasti kita mampu meringankan beban Kerajaan, seterusnya mampu mengekalkan kestabilan ekonomi bahkan mampu mengekalkan keamanan yang kita ada kini.

Petikan bait Buya Hamka:

Kalau hidup sekadar hidup,
Babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar kerja,
Kera di hutan juga berkerja.

Sambungan Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang, Zul Fikri Zamir;

Kalau Mahasiswa setakat belajar,
Lembu di padang juga belajar.
(selain belajar membuang air, lembu juga belajar untuk membiak)

Akhirkalam, apa guna Negara penuh bijak pandai andai masyarakat masih mundur ketinggalan.

Sekian.

Fatynbahrin
Fakulti Perakaunan.
UiTM Melaka.

1 comment: