Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK
Showing posts with label Artikel Ilmiah. Show all posts
Showing posts with label Artikel Ilmiah. Show all posts

Tuesday, 2 October 2012

Analisis sedekad Keputusan Pilihanraya Kampus IPTA

“Pilihan raya kampus tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya umum, jadi keputusannya juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya peringkat nasional itu. Melalui pilihan raya kampus ini, ia dapat menjadi sebahagian daripada latihan kepada pelajar yang bakal menjadi pemimpin kepada masa depan,” - Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan. 

Demam pilihan raya kampus bermula lagi. Pertembungan lama di kampus sejak 1960an antara mahasiswa nasionalis dan sosialis bersambung kembali. Episod baru pilihan raya kampus, bermula antara kumpulan reformis dan transformasi (perubahan) sejak 1999 lagi, ianya berlarutan hingga tahun 2012.

 Era aspirasi mahasiswa mengorak langkah seterusnya pada 2012 untuk mempertahankan kampus agar sentiasa berpihak kepada aspirasi mahasiswa. Bermula dengan pilihan raya kampus pada November 1999, di mana pada waktu itu hanya ada 9 universiti awam.

Arus reformasi begitu kuat pada November 1999, hinggakan pada waktu itu 8 buah IPTA jatuh ke tangan mahasiswa pembangkang kecuali satu universiti di utara yang mendapat kemenangan 13-8. Kemenangan yang sebenarnya mengejutkan sendiri Tun Mahathir yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

 Keputusan Pilihan Raya Kampus, PRK pada waktu itu adalah 1-8 dengan berpihak kepada front-front mahasiswa anti-establishment (Pro-Mahasiswa) . Hanya 11.1% dikuasai oleh Pro-aspirasi. UiTM dan UMS membuka kawasan putih baru untuk aspirasi mahasiswa bila menang pada November tahun 2000. Mengecilkan jurang penguasaan kepada 2-7, manakala di UUM tumpas akibat kurangnya peratus mengundi akibat hujan lebat.



1. Pada era pasca-Reformasi ’98 iaitu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, masyarakat kampus secara mutlak menolak front-front mahasiswa yang pro-Barisan Nasional dan memilih front-front anti-establishment. Ada juga kampus yang dimenangi tanpa bertanding kerana front-front utama melakukan persefahaman politik sesama sendiri.

2. Pada ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan para menteri gusar untuk turun ke kampus kerana takut diboo dan dimalukan. Kebangkitan front-front yang dilabelkan pro-pembangkang menyebabkan pemimpin Umno/BN tidak senang duduk. Mereka perlu melakukan sesuatu.

3. Hasilnya, grand design dilakar dengan penuh cermat. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diwujudkan pada 27 Mac 2004 bagi kononnya untuk memberikan tumpuan kepada hal ehwal pengajian tinggi, sebaliknya meningkatkan campur tangan parti politik dal hal ehwal kampus. Sebelum itu, Kementerian Pelajaran menaungi Jabatan Pengajian Tinggi.

4. Beberapa wakil Pemuda Umno dan Puteri Umno bergabung tenaga untuk mencari jalan memenangkan front pro-BN. Front pro-kerajaan dijenamakan sebagai Aspirasi menggambarkan mereka sebagai kelompok yang mendokong aspirasi kerajaan Umno/Barisan Nasional. Naib Canselor yang neutral dan tidak bersedia menurut perintah Umno ditukarkan satu persatu. Di UM, Prof Datuk Dr Annuar Zaini Mohd Zain ditamatkan dan digantikan dengan Prof Datuk Dr Hashim Yaacob. TNC HEP dilantik dari kalangan ahli akademik yang terlibat aktif dengan Umno/Alumni Kelab Umno Luar Negara. Antaranya Datuk Dr Razali Agus dan Datuk Dr Azarae Idris.

5. Calon Aspirasi dilatih dan ditaja secara bersepadu di semua kampus. Minggu orientasi pelajar baru diisi dengan proses indoktrinasasi agar membenci front-front yang dilabelkan pro-pembangkang. GAMIS, SMM dan PMI dipotretkan seperti kumpulan pengganas yang menakutkan. Pilihanraya jawatankuasa tindakan kolej (JTK) dimansuhkan dan digantikan dengan perlantikan terus. Pelajar yang tidak menyokong Aspirasi diugut, disabotaj dan dibuang dari kolej kediaman. Proses pengundian dijalankan di kolej kediaman. Pengetua kolej kediaman dilantik dari kalangan penyokong tegar Umno. Berbagai-bagai lagi tindakan zalim dilakukan.

6. Kerana tekanan melampau, beberapa buah kampus akhirnya berjaya dirampas oleh Aspirasi satu persatu.

7. Pada PRK sesi 2001/02, front anti-establishment menguasai UM (36 – 12), UKM (30 – 2), UPM (36 – 3), UIAM (28 – 6), UTM(32 – 13), USM (21 – 16). Front Aspirasi pula menguasai UiTM (34 – 2), UPSI (9 – 8), UUM (27 – 0), UNIMAS (11 – 0), UMS (23 – 0), KUIM (11 – 0), KUITTHO (21 – 0). Daripada 13 kampus, front anti-establishment menguasai 6 kampus manakala Aspirasi menguasai 7 kampus. Kampus-kampus utama masih milik Pro Mahasiswa.

8. Pada PRK sesi 2002/03, front anti-establishment menguasai UM (34 – 5), UKM (23 – 9), UPM (31 – 14), UIAM (19 – 10), UPSI (13 – 11), USM (21 – 16). Front Aspirasi pula menguasai UiTM (36 – 0), UTM (27 – 15), UUM (20 – 7), UNIMAS (11 – 0), UMS (32 – 0), KUIM (8 – 3), KUITTHO (21-0), KUTKM (22 – 0) dan KUSTEM (12 – 3). Daripada 15 kampus, front anti-establishment menguasai 6 kampus manakala Aspirasi menguasai 9 kampus. Kampus-kampus utama masih milik front anti-establishment.

9. Pada PRK sesi 2003/04, front anti-establishment hanya berjaya menguasai UM (26 – 13) dan UIAM (21 – 1). Front Aspirasi berjaya merampas kampus-kampus utama yang lain seperti UKM (23 – 9), UPM (31 – 14), UTM (23 – 22), USM (20 – 19), UPSI (14 – 0). Di kampus-kampus yang lain, Aspirasi hampir membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan. Daripada 16 kampus, front anti-establishment hanya menguasai 2 kampus sahaja.

10. Pada PRK sesi 2004/05, kampus UM akhirnya berjaya dirampas oleh Aspirasi kerana Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya/Gagasan (nama lama bagi Pro Mahasiswa UM) memboikot PRK dengan tidak menghantar calon. Kesemua kampus dikuasai oleh aspirasi melainkan UIAM dan UPSI. Pada sesi ini, front anti-establishment hanya tewas tipis di kampus USM (18 – 19) dan UTM (20 – 25). Seorang perwakilan Umno dalam AGMnya mendesak agar kerajaan melakukan sesuatu bagi merampas kembali UPSI dan UIAM.

11. Pada PRK sesi 2005/06, Aspirasi menang mutlak di semua kampus kerana WUFI UIAM (nama lama bagi front anti-establishment UIAM) juga turut memboikot PRK. Aspirasi membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan melainkan 2 kerusi di UM, 5 di UKM dan 2 di UNIMAS.

12. Pada PRK sesi 2006/07, Aspirasi masih menang di semua kampus kecuali UIAM.

13. Pada PRK sesi 2007/08, nama Pro Mahasiswa mula digunakan di Universiti Malaya. Walaupun gagal merampas MPMUM, kerusi-kerusi yang dimenangi meningkat iaitu pertama kali memenangi kerusi Umum (2 kerusi) selepas gagal selama 3 tahun. Begitu juga dengan kampus lain. UIAM masih milik Pro Mahasiswa di sana (WUFI).

14. PRK tidak diadakan pada tahun 2008 sebaliknya dianjakkan ke tahun 2009. Ia dikaitkan dengan kesan ‘Tsunami Politik’ yang melanda Umno/Barisan Nasional.

15. Pada PRK sesi 2009/10, Pro Mahasiswa UM berjaya merampas MPMUM dengan kemenangan tipis (21 – 20) hasil sokongan dua ahli MPM bebas dari Fakulti Undang-Undang. Pada sesi ini semua kampus masih dikuasai Aspirasi melainkan UM dan UIAM.

16. Pada PRK sesi 2010/11, Aspirasi berjaya merampas MPMUM juga dengan kemenangan tipis (21 – 20). Aspirasi mendapat kelebihan daripada kerusi fakulti walaupun Aspirasi hanya memenangi satu daripada 9 kerusi Umum. UIAM masih satu-satunya milik Pro Mahasiswa.

17. Pada PRK sesi 2011/12, Pro Mahasiswa memecah dekad gelap apabila kembali menguasai UM, UKM, USIM, UPSI,UMK dan UMS . Manakala Aspirasi masih menguasai USM, UPM dan UiTM dan kampus-kampus baru yang lain.

18. Terbaru dalam PRK sesi 2012/13, Pro Mahasiswa mempertahankan kampus UM (Pro M 20, Bebas 2, Gerak 19 dan 2 kerusi seri) dan UKM (GMUKM 19, Aspirasi 8 dan Bebas 1) manakala UIAM terpaksa menjalankan pengundian semula akibat kegagalan sistem E-Voting. Kampus-kampus lain masih dikuasai oleh Aspirasi. Senario ini dikaitkan dengan Ops 20/20 yang kini sedang hangat diperkatakan.

19. Sokongan terhadap front anti-establishment di kampus-kampus utama seperti UM dan UKM ini sudah tentu menakutkan pimpinan Umno/Barisan Nasional kerana kampus utama menggambarkan mood rakyat Malaysia secara keseluruhan lebih-lebih lagi komposisi mahasiswa UM yang mirip komposisi rakyat Malaysia. Mereka pasti tidak berdiam diri kerana bagi mereka, Pro Mahasiswa tetap pro-Pakatan Rakyat walaupun hakikatnya tidak.

20. Selamat maju jaya Pro Mahasiswa! 

Nota : Pro Mahasiswa adalah nama bagi front anti-establishment yang digunakan mulai sesi 2007/08. Pro Mahasiswa UKM menggunakan nama Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) manakala Aspirasi UM menggunakan nama Pengerak Mahasiswa. Nama Aspirasi pula digunakan mulai sesi 2003/04. Sebelum ini, nama front adalah berbeza mengikut kampus.

Sumber : LINK

Friday, 9 December 2011

Suntikan Sekularisme dalam Sistem Pendidikan

Jika dilihat kembali pada aspek sejarah, pada awal penjajahan Barat ke atas dunia Islam adalah dengan memberi pengaruh pemikiran mereka kepada generasi muda melalui institusi pendidikan.  Terdapat beberapa proses yang disusun oleh pihak penjajah dengan mengasingkan sekolah agama dan sekolah ingeris diberi tempat-tempat yang mudah dicapai dan strategik serta diberi sokongan kewangan oleh pihak penjajah.  Dan pelajar lepasan sekolah Inggeris diberi peluang pekerjaan yang baik sehingga orang menganggap dengan pergi belajar di sekolah Inggeris, kehidupan mereka lebih terjamin dan lebih menguntungkan. 
           
            Di sini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pihak penjajah sengaja menampakkan skop sekolah Inggeris dalam bentuk yang lebih luas bagi menanggapi pemikiran umat Islam sebagai sesuatu yang menguntungkan. Manakala, sekolah agama pula diberikan satu skop yang kecil sehingga umat Islam sebahagiannya menganggap mereka tiada pekerjaan dan tiada peluang hidup yang lebih luas. 


Sedikit demi sedikit, umat Islam sendiri sudah hilang kepercayaan terhadap sekolah agama bagi membawa anak-anak mereka pergi belajar. Tambahan pula dengan pihak penjajah membatasi lepasan pelajar sekolah agama dengan hanya berada di masjid dan berfungsi sewaktu hari kebesaran sahaja. Penjajah tidak memberikan hak-hak yang sepatutnya sepertimana para lepasan pelajar sekolah inggeris dengan mana tidak diberi peluang menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran, berikutan golongan agama dihadkan pada hal ehwal ibadah dan adat sahaja.  Secara tidak langsung, pihak penjajah sedikit sebanyak telah Berjaya menyempitkan skop ajaran Islam sebagai ad-din dalam sistem pendidikan terhadap golongan pemuda yang mana merupakan satu golongan yang sangat bernilai bagi sesuatu masyarakat itu.  Inilah langkah awal dalam usaha pihak penjajah mempengaruhi pemikiran umat Islam terhadap fahaman sekularisme.

            Walaupun pada awalnya usaha penjajah ini disedari oleh umat Islam, ianya sedikit demi sedikit mempengaruhi corak pemikiran masyarakat sehingga lepasan yang terhasil dari dua institusi pendidikan saling tuduh-menuduh.  Para lepasan sekolah inggeris mengecam para lepasan sekolah agama sebagai orang terbelakang, tradisional, tidak berdisiplin dan malas.  Sementara para lepasan sekolah agama menuduh para lepasan sekolah inggeris sebagai orang murtad, menjual dirinya kepada penjajah dan berpakat dengan penjajah untuk menghancurkan negara dan rakyat.  Di sini secara jelasnya kita boleh lihat suntikan bisa daripada penjajah telah membuatkan kesatuan umat Islam berpecah sedikit demi sedikit dengan sendiri tanpa mendapat serangan berbentuk fizikal daripada pihak penjajah.


Pertentangan antara kedua belah pihak semakin meruncing hingga puncaknya penjajah mengangkat para pejabat negara dari alumni sekolah akademik dan berkata alumni sekolah-sekolah agama bahawa politik itu penuh dengan kebohongan, kekurangan dan kemunafikan.  Maka oleh kerana itu, para alumni sekolah-sekolah agama tidak pantas terlibat di dalamnya.  Para penjajah menenangkan fikiran orang-orang yang berfikiran polos dengan alasan tersebut dan berhasil mewujudkan keinginannya iaitu memisahkan dari negara (sekularisme) dan menjauhkan orang-orang beragama dari lingkaran kekuasaan. Akhirnya, jawatan-jawatan penting oleh orang didikan penjajah dan lewat tangan merekalah menghidupkan benih-benih pertentangan di antara rakyat satu negara. Lihatlah, dari institusi pendidikan hingga ke dalam corak pentadbiran negara, fahaman sekularisme telah disuntik sedikit demi sedikit sehingga melahirkan satu kepincangan yang cukup seiring dalam kesatuan dan kekuatan umat Islam.

            Keupayaan pengaruh barat dalam memancing perhatian umat Islam yang kaca hasil bumi dengan menimbulkan segala macam kebanggaan terhadap dunia Barat.


Telah menjadi satu kelemahan yang dilihat jelas apabila umat Islam telah dipalingkan perhatian daripada kekayaan dan keistimewaan yang sedia ada di bumi umat Islam dengan melahirkan pelbagai kebanggaan terhadap dunia Barat yang sudah miskin dan mundur dalam beberapa aspek keperluan insan. Ketakjuban terhadap terus parah sehingga membuatkan sebahagian umat Islam secara terus menerus bangga dengan segala macam perkara yang datang dari Barat sampai terlupa apa yang telah Allah SWT anugerahkan di bumi mereka.  Pelajar-pelajar yang bijak pandai terus dihantar keluar negara dan ada sebahagian menyumbang di bumi bukan Islam.  Lalu, apa yang tinggal di bumi umat Islam gagal dipertahankan oleh golongan-golongan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan.  Lalu, keadaan ini telah membuka ruang kepada orang yang tidak berkelayakan mentadbir dan mengurus urusan-urusan penting yang menjadi kekuatan ummah.

            Secara ringkas keadaan ini dapat difahami dengan baik yang mana umat Islam dilekakan dengan perkara-perkara yang jauh daripada mereka sehingga lupa dan alpa bagi perkara-perkara yang sedia dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.  Sedangkan bagi setiap perkara yang ada pada mereka itu adalah sesuatu yang hebat dan sangat istimewa untuk direnungi, difikirkan dan disyukuri secara keseluruhannya.

            Walaupun pada zaman sekarang, umat Islam sudah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran, sehingga mampu menguruskan hasil buminya, tetapi ianya tidak diperkukuhkan dengan kesyukuran dan kebanggaan terhadap hasil bumi mereka bagi kemajuan umat Islam secara keseluruhannya.

Dalam erti kata lain, segala kemampuan dari segi kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam memanfaatkan sumber bumi yang sedia ada, ianya tidak dipusatkan kepada kemajuan umat Islam dalam memperkukuhkan kekuatan ekonomi umat Islam.  Tanpa kefahaman sebegini, segala usaha yang digemblengkan tiada akan berjaya digunakan bagi kemajuan umat Islam.  Oleh sebab itu, perlunya kepada pemahaman akan kepentingan usaha umat dalam menyumbang kepada beberapa aspek penting dalam mengukuhkan kembali kekuatan dan mempertahankan umat Islam daripada serangan golongan yang dengki terhadap kemurnian Islam.

Hafizan Halim
Fakulti Seni dan Grafik
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Teknologi Mara, Perak.