Menginsafi Diriku Sebagai Seorang Mahasiswa
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim
Tiada siapa pun mahu mendapat kesusahan. Tiada siapa pun mahu mendapat kesakitan. Tetapi apabila sudah menyebut tentang perjuangan, pastinya tidak dapat lari dari sebarang ujian. Itu sudah menjadi adat perjuangan. Cabaran dan ujian mendatang dari luar dan dalam. Dari luar sahaja sudah dihujani dengan pelbagai cemuhan dan sangkaan buruk. Dari dalam diri pula terpaksa bertarung dengan semangat yang turun naik. Hanya pada Allah SWT, Tuhan yang Maha Berkuasa sahaja sebaik-baik tempat menyerah segala urusan dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah.
Di satu pihak sana sedang memperjuangkan kebebasan dalam beberapa lapangan. Di pihak sini sekadar memerhati dengan sabar disamping berdoa semoga perjuangan mereka diredhai dan dikurniakan kejayaan oleh Pemilik segala kejayaan. Dalam sabar menunggu, satu persatu usaha dipergiat dengan bersungguh-sungguh. Aku disini hanya mengimbangi perjuangan mereka disana. Masing-masing punya kemampuan yang tersendiri.
Mereka disana berjuang untuk membuka pintu kebebasan di dalam ruang yang sememangnya menjadi hak bagi seorang mahasiswa. Apabila pintu sudah dibuka, tatkala diri di sini sudah bersiap-siaga dengan persiapan kekuatan dan kemampuan ilmu, sudah pasti aku akan masuk kedalam untuk mengisi segenap ruang yang ada bagi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Semoga suatu masa kelak, tertonjollah segala manfaat yang dapat diperoleh dari ruang itu. Biar masyarakat di sana lihat dan merasainya sendiri isi perjuangan yang panjang ini. Agar usaha yang ada dalam perjuangan ini memahat sejarah yang membanggakan generasi mahasiswa kelak. Pada waktu itu, mereka sekadar perlu menjaganya dan menambahbaik apa yang perlu sahaja.
No comments:
Post a Comment