Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Sunday, 29 January 2012

Relevenkah AUKU menurut Perlembagaan Malaysia?


Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971)  pernahkah kita terfikir mengapa terdapat segolongan Mahasiswa yang menentang AUKU mahupun Akta 174 UiTM?  Menurut kajian, kita mendapati bahawa AUKU dan Akta 174 bercanggah dengan perkara 4,5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, turut menyalahi hak asasi manusia memandangkan Perkara-Perkara tersebut mengandungi peruntukan hak asasi manusia.

Apabila diteliti semula pada seksyen 15B (3) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, terdapat beberapa perkara yang boleh dikrititk dan dibahas mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Malaysia.
Antara lain yang diterangkan di dalam seksyen ini adalah peruntukan kepada Naib Canselor/Rektor yang mempunyai bidangkuasa hal ehwal pelajar mewakilkan kuasa tersebut kepada Timbalan Naib Canselor. Kemudian, membentuk Jawatankuasa Tatatertib/Pihak Berkuasa TatatertibUniversiti. Kuasa yang digagaskan oleh AUKU untuk Jawatankuasa ini amat luas meliputi kuasa menyiasat, menjalankan pendakwaan, mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut dan membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman kepada pelajar yang di pertuduh didapati bersalah.

Pelajar- pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut tidak akan ada jaminan untuk mendapat perbicaraan yang adil. Ini adalah kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri daripada orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang. Ini bermakna kebarangkalian berlaku penindasan dan keputusan yang berat sebelah adalah tidak mustahil. Hal ini jelas sekali bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persukutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undan-undang. Selain itu, hal ini juga amatlah bertentangan dengan rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (natural justice) yang menjadi dasar utama kepada mana-mana badan pengadilan termasuklah mahkamah dan tribunal.

Di samping itu, AUKU memepunyai unsur diskriminasi yang sangat ketara. Jika dikaji seksyen-seksyen di dalam AUKU secara mendalam, didapati tiada sebarang provisi pun yang memperuntukkan hak kepada pelajar yang didakwa untuk mendapatkan khidmat Peguambela atau Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan kakitangan universiti termasuk pensyarah yang didakwa atas satu pertuduhan tatatertib dibenarkan untuk diwakili oleh peguam. Ini jelas membuktikan ketidakadilan AUKU dan sama sekali bercanggah dengan perkara 8 (1),(2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang secara rumusnya tidak membenarkan diskriminasi dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Selain daripada itu, seksyen 15 AUKU 1971 bersalahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Merujuk kepada syeksen 15 (1) dan (2) AUKU yang tidak membenarkan setiap pelajar di universiti atau kolej universiti menyertai mana-mana parti politik ataupun kesatuan sekerja atau pertububahan kecuali dengan kelulusan Naib Canselor. Seksyen ini jelas bertentangan dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan. Sesuatu perkara itu tidak lagi dikira sebagai bebas jika perlu meminta izin atau kelulusan daripada seseorang. Jika dilihat populasi mahasiswa di setiap universiti di seluruh negera, mereka kebanyakannya berusia 21 tahun ke atas. Mereka telah pun mencapai usia majoriti(age of majority) Section 10. dan layak untuk mengundi seperti yang lain. Maka mereka perlu diberi hak kebebasan berpolitik dan berpersatuan sepertimana yang dinikmati oleh masyarakat umum.Oleh itu, ternyata di sini hak mahasiswa untuk berpersatuan atau berpolitik telah disekat oleh provisi yang terdapat di dalam akta ini.

Seterusnya, seksyen 15 (3) dan (4) AUKU 1971 pula tidak sejajar dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Provisi ini antara lain menyekat mahasiswa daripada menyatakan sokongan atau memberi simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau keatuan sekerja atau pertubuhan yang tidak diluluskan oleh pihak universiti. Sedangkan dalam Perkara 15(1)(a) Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan setiap warganegara berhak menyuarakan pendapat.

Manakala peruntukan dalam Syeksen 15D AUKU1971 pula menjadi ancaman utama kepada pelajar,terutamanya kepada pelajar universiti yang mengalami pertuduhan sebarang kesalahan jenayah untuk digantung pengajian dengan serta-merta sehingga kesnya selesai.Peruntukan ini ternyata jelas berlawanan dengan prinsip ”a man is innocent until proven guilty”kerana pelajar terbabit telahpun dihukum sedangkan kesalahannya belum dibutikan lagi.Syeksen 15D(2) pula memeruntukkan,jika mahkamah telah membuktikan pertuduhan yang dikenakan,pelajar terbabit secara automatik akan dipecat dan sekiranya didapati tidak bersalah,akan diterima kembali menyambung pengajian.Tetapi kita semua maklum bahawa sesuatu kes di mahkamh akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.Tempoh pengajian pelajar tenyata terjejas disebabkan perkara ini.Atas alasan inilah mahasiswa merasakan bahawa syeksen ini perlu dimansuhkan serta-merta.

Merujuk kepada Pelembagaan Persekutuan,Perkara 4 menyatakan bahawa perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi dalam Persekutuan dan menjadi undang-undang yang digunapakai dalam negara.Oleh itu,mana-mana perlembagaan yang bertentangan dengannya adalah tidak sah.Di sinilah terbukti relevan untuk memansuhkan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Dan AUKU ternyata bertentangan dengan Perlembagan Persekutuan kerana jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang. Terdapat banyak percanggahan antara AUKU dan Perlembagaan Persekutuan menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa AUKU tidak relevan kepada Perlembagaan Persekutuan, sekaligus menggambarkan terdapat kelompongan dalam sistem undang-undang di Malaysia. Seharusnya sebagai sebuah negara yang sudah lebih 50 Tahun merdeka, kebebasan kita tidak sepatutnya disekat. Seolah-olah kita masih lagi terjajah dalam negara sendiri dan tidak bebas bertindak sebagai seorang rakyat yang merdeka.

. . . . . . . . . . 
p/s: Mengikut Undang-undang AUKU, Akta 155 dan Akta 174 UiTM adalah PARI MATERIA dimana berlainan akta tetapi sama dari segi intipati dan kandungan, jika AUKU dipinda mahupun dimansuhkan, AKTA 174 juga akan turut sama - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

No comments:

Post a Comment