Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Sunday, 14 December 2014

Pilihan Raya Kampus (PRK): Untuk HEP atau Mahasiswa? (VIDEO)


Pilihan Raya Kampus (PRK): Untuk HEP atau Mahasiswa? 

Cerita Orang Muda terbitan Rakyat Times TV dengan dua panelis jemputan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hos Zharif Badrul bertanyakan isu-isu yang berkaitan dengan PRK di institut pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia baru-baru ini. Antara soalan-soalan yang ditujukan kepada kedua-dua panelis tersebut ialah kempen viral #BLACKUiTM serta pengagihan kerusi fakulti serta umum di universiti masing-masing. 

Selain itu, episod kali ini akan menjawab stigma yang dikenakan ke atas Mahasiswa Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa serta masih relevankah Majlis Perwakilan Pelajar ketika ini.

Dan lebih menarik lagi, kedua-dua panelis akan menyingkap rahsia proses PRK yang berlaku di universiti masing-masing yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.

Sunday, 7 December 2014

Sediakan Ruang, Paranoia Hilang (Audio)

Selama bertahun-tahun gerakan mahasiswa di UiTM wujud tetapi mereka tidak dapat mewariskan gerakan mereka pada generasi UiTM yang seterusnya. Kelemahan gerakan mahasiswa UiTM bukan hanya pada sekatan pihak universiti pada mereka, banyak di antara mereka gagal dari segi pembawaan ideologi.

GAMUS sedar, GAMUS bakal melakukan kesilapan yang sama sekiranya gerakan mahasiswa yang sekarang tidak membawa idealism yang kukuh untuk disambut generasi UiTM seterusnya. Gerakan mahasiswa macam GAMUS bukan berseorangan, gerakan mahasiswa adalah gerakan sesiapa sahaja yang bergelar mahasiswa yang menginginkan perubahan yang baik.

Apa sebenarnya yang gerakan mahasiswa perjuangkan? Gerakan mahasiswa yang baik ialah gerakan yang menolak ideologi-ideologi songsang di universiti. Pendek kata, yang salah kata salah, yang betul kata betul. Gerakan mahasiswa adalah suara penilai-dan-pengimbang dalam wacana akar umbi. Gerakan mahasiswa adalah dekat dengan pelajar, bukan dekat dengan aspirasi pentadbiran.

Selama berdekad lamanya, pentadbiran universiti menggunakan tampuk kuasa mereka untuk menentukan apa yang boleh dikatakan dan apa yang tidak boleh dikatakan. Mereka menentukan apa yang betul pada mereka dan mereka yang menentukan apa yang salah pada mereka - dan mereka menghukum sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan penentuan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, setiap pelajar dipaksa mendengar ceramah Kewarganegaraan dalam modul Kemahiran Insaniah. Mendengar ceramah tiada masalah, yang menjadi masalah ialah apabila ceramah itu bersifat rasis dan tidak benar dalam menyampaikan fakta. Tambahan lagi, pelajar tidak dibenarkan untuk memperbetulkan apa yang salah, apatah lagi menyatakan pendapat yang tidak padan dengan ideologi mereka.

Apabila mahasiswa ke depan dengan ideologi demokratik dan progresif - mewujudkan budaya wacana, mewujudkan sistem check-and-balance dalam universiti, menolak campur tangan pentadbiran universiti dalam Pilihanraya Kampus; pelajar-pelajar ini dikatakan tidak faham maksud demokrasi dan dimarahi kerana tidak bersyukur dengan apa yang ada.

Orang selalu bertanya, apa lagi yang kita mahu? Yuran dah paling murah. Dah bagi peluang belajar. Diberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup kepada yang lebih baik. Apa lagi yang nak?

Salahkah kalau kita tak mahu kebebasan akademik dikekang?

Salahkah kalau kita tidak mahu diugut buang universiti jika menolak PRK yang tidak adil?

Salahkah kalau kita ingin menolak ideologi-ideologi kolot dan keterbelakang yang akan merosakkan bangsa sendiri?

Ini abad ke-21. Ceremah-ceramah seperti ini, ini dan ini yang berlaku saban semester, saban hari tidak patut dibiarkan tanpa pengadilan. Sebab inilah wujudnya pelajar-pelajar yang tidak mahu terus dimomokkan dengan paranoia-paranoia tidak berasas tanpa peluang untuk menambaikkan wacana. Sebab inilah perlunya gerakan mahasiswa yang progresif untuk memajukan pendapat bahawa sistem demokrasi sedia ada tidak mewakili demokrasi. Kita hanya mahukan ruang untuk menjelaskan pada pelajar-pelajar macam Abang M Hafizie bahawa "demokrasi terancang" bukan demokrasi namanya, itu namanya autokrasi.

Ya, ruang - itu sahaja yang perlu wujud di UiTM. Ruang untuk berpendapat, ruang untuk berselisih pendapat dan ruang untuk mendebatkan pendapat untuk mendapatkan pendapat yang paling telus dan bersih. Kalau akhirnya tidak dapat sampai kepada konklusi pun tidak apa, yang penting ruang itu ada.

Ruang - ruang untuk demokrasi yang sebenar-benar demokrasi. Bukan servis mulut di tebing mulu-mulut MPP yang kata "ruang itu ada, tapi..." macam-macam tapi - "tapi kena minta kebenaran HEP", "tapi kena check dulu dengan HEP", "tapi jangan cakap pasal politik", "tapi ada air kotak dan makanan free tak?" Ruang yang sedia ada bukan setakat ditutup rapat, malah dangkal sehingga di akhirnya orang hanya kisah pasal air kotak dan nasi free sahaja.

Ruang - ini perlu diadakan dan perlu dibukakan seluas-luasnya. Inilah manifesto kami.

Klip audio di dalam artikel ini boleh didapati di sini:
Audio 1
Audio 2
Audio 3

Sumber audio ini adalah rakaman daripada modul Kemahiran Insaniah di UiTM.

Friday, 5 December 2014

PRK UiTM 2014 : Menang Tanpa Bertanding, demokrasi kampus mati. #BlackUiTM


PRK 2014 : Statistik Menang Tanpa Bertanding 

1. Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan (FHTM)
2. Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR)
3. Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM)
4. Fakulti Pergigian
5. Fakulti Pendidikan
6. Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE)
7. Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK)
8. Fakulti Sains Kesihatan (FSK)
9. Akademi Pengajian Bahasa (APB)
10. Fakulti Undang-Undang (FUU)
11. Fakulti Perubatan
12. Fakulti Muzik
13. Fakulti Farmasi
14. Fakulti Sukan & Rekreasi (FSR)
15. Fakulti Teater Filem & Animasi (FiTA)
16. Fakulti Senibina & Perancangan Ukur (FSPU)

16/25 Fakulti, 64% dari peratusan keseluruhan kerusi yang dipertandingkan telah dimenangi secara percuma, ini bermakna hanya 9 Fakulti sahaja terlibat dengan pemilihan, demokrasi makin parah, banyak calon-calon yang tidak mesra HEP disekat dari bertanding. 

Dengan ini, kami di pihak GAMUS menyeru supaya mahasiswa tidak terlibat langsung dengan Pilihan Raya Kampus yang hanya memenangkan satu pihak dan mengikut acuan serta aturan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang menjadikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hanya sebagai boneka mereka.  Tidak ada gunanya jika kita membuang masa untuk pergi mengundi jika aturan-nya sedari awal telah ditetapkan, apa yang kita boleh lakukan adalah kita perlu untuk memboikot sistem yang sedia rosak ini. 

Sekian.
Dari Meja Admin.
Gabungan Mahasiswa UiTM Se-Malaysia (GAMUS)
Kampus Induk, UiTM Shah Alam, Malaysia.

Merdekah kita? (Artikel November 2013)



Cemburu dengan suasana pilihan raya kampus IPTA yang lain, yang lebih terbuka dan mengamalkan sistem demokrasi.

Saya merasa terpanggil untuk bicara seminimum mungkin perihal PRK di UiTM, sebuah universiti hak milik kekal UMNO Barisan Nasional.. Apa yang boleh saya simpulkan, manipulasi, percaturan dan campur tangan penuh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) begitu menekan pelajar.. Tidak ada ruang untuk para mahasiswa bertanding secara sihat dalam PRK UiTM.

UiTM kononnya tidak mengamalkan sistem dwi-parti kerana dikatakan mampu memporak perandakan perpaduan.. Sehinggakan, ada sebilangan pelajar yang mengambil kata putus untuk tidak mahu terlibat langsung sehinggakan menjalankan protest.. Petikan dari kata kata; Ali Shariati, “in the age of ignorance, awareness is itself a crime.”

Buat apa mahu diadakan PRK sekiranya 13 daripada 25 fakulti (PRK 2013) telah pon menang tanpa bertanding.. Gerakan rahsia ini telah lama cuba dibongkari, namun HEP bijak membersihkan sisa kotoran mereka.
Tindakan memanipulasi sistem demokrasi seperti sekat calon, merahsiakan tarikh-tarikh penting, aktiviti kem rahsia HEP, sistem e-voting dan pemilihan calon “tertentu” sahaja untuk bertanding adalah sesuatu yang tidak munasabah dalam sebuah universiti terutamanya yang memartabatkan bangsa Melayu itu sendiri.

Lebih parah lagi ada pelajar mengadu yang mereka diugut supaya turun mengundi. Jika tidak markah untuk peperiksaan akhir dan kehadiran akan dipotong. Demokrasi jenis apakah yang dipraktiskan ini? Universiti adalah tempat ulung dan sepatutnya idealisme, intelektualisme dan aktivisme pelajar tidak harus disekat. Jika begini sampai bila pun orang-orang Melayu tidak dapat lahirkan masyarakat minda kelas pertama.
Akhir sekali, pembodohan ini harus dihentikan. 

Martabat mahasiswa itu tinggi, jangan sampai nanti terjadi satu keadaan yang Hamka katakan kita punyai keadaan fizikal yang hebat tetapi jiwa masyarkatnya kering dan kontang. UiTM harus merdeka! "SAPERE AUDE"

Haidhar Auni Dzolkapli
Bachelor of Mass Communication (HONS) Public Relations, UiTM
November 28th, 2013

Tuesday, 4 November 2014

Pencarian Kredibiliti MPP

Di sini ada satu teka teki:

Di manakah letaknya kredibiliti seorang MPP?
Di kerisnya kah?
Di songkoknya kah?
Atau di mulutnya kah?

MPP sering bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka sebagai entiti yang membawa suara pelajar. Tidak dilupakan MPP seringkali mengambil kedudukan defensive ketika dipersoalkan pendapat mereka mengenai isu-isu negara.

Bila ada media alternatif yang memberi pencerahan mengenai Student Union, MPP cepat berasa terancam dan terus ingin mensenyapkan pihak-pihak yang datang dengan bukti kebenaran.

HEP tidak mahu pelajar yang tidak tunduk tanpa soal, HEP tidak mahu pelajar yang berdebat soal tindak-tanduk pentadbiran. Setiap kali ada mahasiswa yang tampil dengan isu-isu yang memerlukan keterbukaan, terus diletak label "ini kuda pembangkang!" Pendapat ini adalah dangkal sama sekali. Kita semua perlu sedar bahawa tidak bersetuju dengan kerajaan tidak semestinya bersetuju dengan pembangkang.

Ianya bukanlah rahsia lagi, anda semua mengalaminya sendiri. Setiap batch MPP adalah golongan pelajar yang hanya tunduk tanpa soal kepada arahan pentadbiran universiti. Mereka berselindung di sebalik "mempertahankan keharmonian" dan "menjaga keamanan". Mereka bersembunyi di sebalik "tidak perlu masuk campur urusan politik tanah air".

Pada hakikatnya, mereka hanya mempertahankan peranan mereka sebagai proksi (alat) HEP. 'P' yang kedua pada MPP bukan 'Pelajar' tetapi 'Pentadbiran'!

Setiap semester pelajar diingatkan, malahan diugut, supaya tidak berpolitik dalam kampus. Sesiapa sahaja tokoh yang tidak mendokong aspirasi kerajaan Barisan Nasional, tidak dibenarkan masuk ke kampus-kampus UiTM - atas alasan: "TIDAK BOLEH BERPOLITIK DALAM KAMPUS".

Nah, di manakah alasan itu ketika Perdana Menteri datang ke UiTM dengan kempen politik beliau sebelum PRU-13?
Di manakah alasan itu ketika Khairy Jamaludin datang ke UiTM?
Di manakah alasan itu ketika pelajar UiTM diberi KFC percuma dengan T-shirt DS Najib Razak?
Di manakah alasan itu ketika Abang Mohd Hafizie tweet hashtag #SokongBN? (Lihat gambar)


Selagi kita tidak membuka minda dan melihat rasional di sebalik falasi ini, selagi itu kita tidak boleh mempercayai entiti bernama MPP untuk benar-benar bercakap serupa bikin.

Jadi, kalau saudara/saudari bijak orangnya, di mana letaknya kredibiliti MPP?

Jadual PRK UiTM 2014: Kembalikan Hak Demokratik Mahasiswa

Menurut sumber dari Gabungan Mahasiswa Merdeka, PRK UiTM untuk memilih wakil pelajar sesi 2014/2015 akan berlangsung 23 November 2014.

Seperti yang telah diutarakan sebelum ini di Twitter GAMUS, waktu berkempen amatlah singkat antara penamaan calon dan waktu mengundi.

Dengan ini, para pelajar UiTM terus diseru untuk tidak melibatkan diri dalam PRK UiTM atas sebab-sebab berikut:

1. Calon-calon PRK fakulti telah ditetapkan sebelum penamaan calon.
2. Calon-calon bukan-Aspirasi dihalang bertanding oleh fakulti dan HEP.
3. Pelajar tidak diberikan waktu yang cukup untuk mengenal calon PRK.
4. Tiada ruang diberikan untuk mendebatkan isu-isu mahasiswa sebelum, semasa dan selepas PRK.
5. Pelajar Diploma tidak dapat mengundi kerana mereka belum kembali dari cuti semester.

Adalah didapati perkara-perkara di atas adalah sebuah penipuan yang cuba berselindung di sebalik topeng "demokrasi". Kewujudan pilihanraya tidak bermakna wujudnya demokrasi!

Ciri-ciri sebenar demokrasi:

1. Tiada "set up" dalam bentuk calon-calon yang dipilih terlebih awal.
2. Tiada penghalangan calon untuk bertanding, biarkan mahasiswa memilih sepenuhnya.
3. Minimum 10 hari waktu berkempen.
4. Menggalakkan suasana debat dan perbincangan antara calon-calon dan pengundi.
5. Tiada pelajar yang dikecualikan secara paksa daripada penglibatan PRK.

Ya, memang memboikot PRK tidak akan menghentikan PRK daripada berlangsung. Tapi itu bukan tujuannya. Biarkan PRK terus berjalan, biarkan MPP tetap dilantik sekalipun, yang penting mahasiswa membuat keputusan untuk tidak melibatkan diri dalam penipuan PRK atas kesedaran sendiri.

Yang lebih penting, peratusan keluar mengundi turun dengan mendadak untuk menyampaikan mesej bahawa mahasiswa UiTM mahukan PRK yang benar-benar telus dan demokratik.

Hak dan maruah tidak datang bergolek, ianya perlu DITUNTUT.

Jangan benarkan pentadbiran menginjak hak dan maruah kita sebagai mahasiswa di sebuah universiti. Ilusi kekuasaan perlu dihentikan segera demi kesejahteraan intelektualisme dalam institusi pengajian tinggi.

Tuntut kembali democratic rights kita. Tuntut kembali academic freedom kita!

Gambar kredit Fahmi Reza

Monday, 3 November 2014

Sejarah Berulang Kembali - Gambar dari Fahmi Reza

Fahmi Reza, seorang aktivis pemerkasaan mahasiswa di universiti, menulis di Facebook-nya tentang sejarah gerakan mahasiswa yang cakna akan keadaan sosial dan tidak takut pada pentadbiran universiti.

Dari Facebook beliau:

Peristiwa dalam gambar ni berlaku dalam kampus UM pada bulan Oktober 1967. Mahasiswa UM telah berhimpun depan podium Sudut Pidato UM (belakang UM library sekarang) untuk mendengar perkongsian dari Syarifah Mahani, pejuang warga tani miskin Telok Gong yang telah ditindas pihak berkuasa yang merobohkan rumah 500 penduduk kampungnya dan menangkap suaminya Hamid Tuah. 

Mahasiswa UM telah turun ke Telok Gong untuk berjuang bersama warga tani, turun protes di jalanan untuk mendesak pembebasan Hamid Tuah, dan menjemput Syarifah Mahani masuk kampus untuk memberi pencerahan kepada mahasiswa lain tentang nasib warga tani yang ditindas.

Tradisi perjuangan ini telah diteruskan kini oleh beberapa orang mahasiswa UM yang telah turun bersolidariti bersama penduduk Kg. Chubadak yang berjuang mempertahankan rumah mereka dari diroboh pihak berkuasa. Diberitakan 2 orang mahasiswa telah ditangkap, seorangnya mahasiswa UM. Salut kepada mahasiswa yang berjuang bersama rakyat tertindas!




Mahasiswa!

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.
 
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani
 
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

Usman Awang, September  1961



Friday, 24 October 2014

PRK: Bukan Setakat Pro-A atau Pro-M

UiTM ialah satu-satunya IPTA dalam negara yang tidak membenarkan langsung calon PRK dari gerakan mahasiswa pro-Mahasiswa (pro-M). Saban tahun, PRK UiTM akan dimenangi mahasiswa pro-Aspirasi (pro-A) 100 peratus. Kerana tiada budaya keterbukaan dalam UiTM, PRK di sini selalunya satu gelanggang perlawanan antara pro-A dan pro-M.

Namun begitu, dikotomi pro-A dan pro-M tidak sepatutnya menjadi satu-satunya wacana dalam kampus. Apa yang kita perlukan adalah sikap keterbukaan kepada para pelajar tanpa mengira ideologi. Sikap anti-keterbukaan adalah satu petanda bahawa kita masih takut berdepan dengan ideologi yang berbeza dan progresif. Malahan, dalam konteks pilihanraya kampus, penghalangan mahasiswa pro-M untuk bertanding adalah satu tindakan tidak demokratik.

Gerakan pro-Aspirasi didefinisikan sebagai mahasiswa yang mengangkat aspirasi pentadbiran universiti, seringkali tanpa kritis dan tanpa soal. Sebagai alternatif kepada Pro-Aspirasi, gerakan Pro-Mahasiswa sepatutnya bertindak sebagai agen semak dan timbang kepada sumber maklumat yang ada. Media arus utama seringkali hanya melaporkan idea-idea yang memihak kepada kekuasaan (hegemoni) mereka.

Sudah tentu terdapat kebaikan dan keburukan dalam kedua-dua jenis pemikiran ini. Namun harus diingat, terdapat banyak jenis pemikiran yang ada dan kesemuanya patut diberi peluang untuk ditimbangkan oleh pelajar. Kewujudan PRK sebenarnya adalah untuk mewujudkan budaya perdebatan sihat dalam kampus, dan yang lebih penting, tidak terhad kepada wacana picisan yang tidak kritis dan cakna pada isu semasa negara.

(Bersambung...)