UiTM ialah satu-satunya IPTA dalam negara yang tidak membenarkan langsung calon PRK dari gerakan mahasiswa pro-Mahasiswa (pro-M). Saban tahun, PRK UiTM akan dimenangi mahasiswa pro-Aspirasi (pro-A) 100 peratus. Kerana tiada budaya keterbukaan dalam UiTM, PRK di sini selalunya satu gelanggang perlawanan antara pro-A dan pro-M.
Namun begitu, dikotomi pro-A dan pro-M tidak sepatutnya menjadi satu-satunya wacana dalam kampus. Apa yang kita perlukan adalah sikap keterbukaan kepada para pelajar tanpa mengira ideologi. Sikap anti-keterbukaan adalah satu petanda bahawa kita masih takut berdepan dengan ideologi yang berbeza dan progresif. Malahan, dalam konteks pilihanraya kampus, penghalangan mahasiswa pro-M untuk bertanding adalah satu tindakan tidak demokratik.
Gerakan pro-Aspirasi didefinisikan sebagai mahasiswa yang mengangkat aspirasi pentadbiran universiti, seringkali tanpa kritis dan tanpa soal. Sebagai alternatif kepada Pro-Aspirasi, gerakan Pro-Mahasiswa sepatutnya bertindak sebagai agen semak dan timbang kepada sumber maklumat yang ada. Media arus utama seringkali hanya melaporkan idea-idea yang memihak kepada kekuasaan (hegemoni) mereka.
Sudah tentu terdapat kebaikan dan keburukan dalam kedua-dua jenis pemikiran ini. Namun harus diingat, terdapat banyak jenis pemikiran yang ada dan kesemuanya patut diberi peluang untuk ditimbangkan oleh pelajar. Kewujudan PRK sebenarnya adalah untuk mewujudkan budaya perdebatan sihat dalam kampus, dan yang lebih penting, tidak terhad kepada wacana picisan yang tidak kritis dan cakna pada isu semasa negara.
(Bersambung...)
Friday, 24 October 2014
Wednesday, 27 November 2013
BOIKOT BUKAN KERANA BENCI TAPI ATAS DASAR SAYANG PADA UiTM,DEMI UiTM.
Atas Nama Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Tulisan ini saya tulis atas rasa cinta pada UiTM, rasa sayang
pada UiTM. Buruk- baik UiTM, ia sudah menjadi sebahagian dari saya, “alma-mater”
saya. Dan kerana rasa sayang juga lah kita semua perlu boikot Pilihan Raya
Kampus (PRK) UiTM. Kenapa?
SEJARAH
Teman teman semua, UiTM (dulunya ITM) suatu ketika dulu cukup digeruni dalam
pembawaan isu mahasiswa. Pemimpin pemimpin pelajar dari ITM seperti Ibrahim Ali
dan Malek Hussin cukup lantang bersuara, kritis dan cakna. Namun selepas akta 174 diguna pakai, mahasiswa
ITM semakin lesu dan hingga sekarang, mahasiswa UiTM sering dilabel sebagai mahasiswa yang
“ignorant” terhadap isu semasa, sering dipandang enteng oleh masyarakat kerana
dianggap pentingkan diri sendiri.
Malah kelesuan ini seolah olah diterajui oleh MPP
sendiri. MPP yang diberi amanat oleh
kita semua, untuk menjadi wakil kita,
pelajar biasa, ke depan seolah lesu dalam membawa isu mahasiswa. Sehinggakan
ada yang menggelar mereka Majlis Perwakilan Pentadbiran bukan Majlis Perwakilan
Pelajar seperti yang sepatutnya. MPP sepatutnya menjadi entiti yang membawa
masuk pembaharuan, progresif dan terbuka dalam mendengar suara kita semua tapi
yang sebaliknya pula berlaku,mereka lah yang tertutup dalam menerima
pembaharuan, mereka lah yang pertama melenting bila di kritik. Apa? Oh lupa,
mengkritik bukan budaya kita dan pemimpin kita pantang di kritik!
Kenapa perlu boikot?
Umum mengetahui, MPP dilantik melalui proses Pilihanraya
Kampus sepertimana universiti lain. Pernahkah teman-teman semua terfikir kenapa
ia digelar pilihanraya bukan pemilihan? Bukan undian kampus? Kerana pada hemat
saya, ianya mahu digambarkan seperti Pilihanraya Umum. Suatu proses
pemilihanyang penting dalam menentukan hala tuju negara, proses yang meriah, yang mendapat sambutan hangat
tak kira haluan politik. Namun ianya hanya indah khabar dari rupa.
Kita semua tahu macam mana PRK berlangsung di UiTM dan
betapa hambarnya PRK di UiTM dan malangnya
ia hanya berlaku di UiTM. Malah kalau ditanya pada mahasiswa, mungkin
ada yang tidak tahu apa itu PRK. PRK sepatutnya menjadi satu acara yang
dinanti-nantikan oleh kita semua, kerana masa ini lah kita sebagai pelajar boleh menggunakan kuasa kita untuk memilih.
Ini lah masanya untuk kita sebagai mahasiswa untuk meraikan hak kita. Namun hak
ini seakan ditarik atau dinafikan melalui beberapa kepincangan yang sengaja
dicipta untuk mengekalkan hagemoni sesetengah pihak. Ini boleh dilihat apabila
13 fakulti menang tanpa bertanding untuk PRK kali ini, lebih separuh daripada
jumlah fakulti yang dipertandingkan.
Kepincangan.
Teman-teman semua, PRK kali ini hadir dengan penuh kejutan.
Daripada tarikh-tarikh penting PRK hinggalah kepada jumlah fakulti yang menang
tanpa bertanding. Tiada siapa yang boleh menduga bila PRK akan diadakan hingga
lah beberapa hari terakhir sebelum
borang diedarkan. Malah syarat-syarat am untuk bertanding juga tidak
dihebahkan kepada umum. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu akan syarat
syarat untuk bertanding. Itu belum diambil kira “keperluan khas” untuk menjadi
calon yang “direstui” oleh HEP. Berapa ramai dikalangan kita, pelajar biasa
yang tahu akan kem-kem yang diadakan untuk menapis bakal-bakal calon? Kalau
tahu pun tidak, masakan kita boleh menyertai kem tersebut?
Teman-teman semua, HEP tidak sepatutnya menapis bakal-bakal
calon melalui kem-kem seperti ini kerana ia seolah menafikan hak semua
mahasiswa yang lepas syarat am untuk menjadi calon, walaupun berbeza aliran
dengan HEP. Biar kita semua yang tentukan siapa yang akan dilantik. Bukan HEP!
Demokrasi yang dimomokan ada di UiTM adalah “Selected Candidates Democracy”
bukannya “Elected Representatives Democracy”. Itu belum diambil kira
calon-calon yang “dinasihatkan” agar tidak bertanding oleh sesetengah pihak dan
yang ‘tidak sempat’ untuk dapatkan tandatangan dekan sebelum tarikh akhir
penyerahan borang. Malah ada juga beberapa suara yang mendakwa e-voting yang
diguna pakai di ‘manipulate’ oleh sesetengah pihak dan belum diambil kira latar
belakang jawatankuasa SPRK UiTM.
Pembaharuan.
Teman-teman semua, demi menyemarakkan lagi PRK di UiTM,segala
kepincangan di atas perlu di atasi dan kita semua perlu mencadangkan agar
Kerusi Umum dipertandingkan. Kerusi umum adalah satu kerusi yang melibatkan
semua mahasiswa, kita semua, tanpa mengira fakulti akan diberi pilihan untuk
mengundi orang yang sama. YDP MPP (sepatutnya JPP) dan beberapa Majlis
Tertinggi JPP perlu dikhaskan untuk calon yang memenangi kerusi umum ini.
Kenapa mereka ini perlu datang dari pemenang kerusi umum? Kerana ianya akan
meningkatkan lagi rasa tanggungjawab mereka terhadap kita semua tanpa mengira
fakulti, kerana mereka dipilih oleh kita semua, bukan mahasiswa fakulti mereka
sahaja. Contohnya, YDP sebelum ini datang dari Fakulti Kejuruteraan, berapa ramai
antara kita dari fakulti lain yang
pernah bertentang mata dengan YDP selain di majlis-majlis rasmi yang
mewajibkan kehadiran YDP?
Keduanya, perlu ada satu slot khas untuk calon calon,
membahaskan manifesto mereka, debat ala “US Presidential Debate” akan memberi
ruang kepada kita semua untuk menilai kematangan calon calon, bukan sekadar
membaca manifesto dari kertas tanpa tahu apa yang mereka ungkapkan. Kita perlu
melangkah ke depan dan Rapat Umum yang selama 30 minit untuk empat calon tidak
cukup untuk itu. Ini akan menggalakkan para calon untuk tampil dengan manifesto
yang lebih matang, bukannya manifesto “budak sekolah” .
“Renaissance Age”.
Beberapa tahun kebelakangan ini, mahasiswa UiTM semakin
lantang dan semakin berani dalam menyatakan pendapat mereka. Tidak kisah lah
berpaksikan aliran apa, yang penting berani untuk bersuara. Kita semua perlu
meraikan kepelbagaian pendapat kerana dari pendapat, lahirlah sepakat.Dan saya
sifatkan perihal ini sebagai zaman kebangkitan mahasiswa UiTM yang telah lama
ditidurkan dia ianya sesuatu yang amat positif dan dinantikan oleh kita semua.
Disebalik kelesuan MPP kita, kehambaran PRK UiTM,
kepincangan pemilihan, saya percaya, kita semua masih ada harapan. Kita semua
tidak seperti yang diperkatakan oleh orang luar, PRK UiTM berpotensi untuk jadi
lebih baik. Setiap manusia dilahirkan hebat, dan kita, mahasiswa UiTM juga
tidak terkecuali kerana menjadi mahasiswa UiTM, bukanlah satu dosa, tapi satu
rahmat.
Akhir kata dari saya, kita semua sayangkan UiTM, “alma-mater” kita, dan kita semua ada
cara masing masing dalam menunjukkan rasa sayang kita. Ingatlah teman, apa yang
kita buat ini bukan untuk keburukan, tapi untuk kebaikan bersama. Boikot bukan
kerana benci, tapi boikot lah kerana rasa sayang pada UiTM.
Karl
*Karl merupakan ahli
Mara Rennaisance Front dan juga pengasas GAMUS.
Friday, 22 November 2013
Pilihanraya Kampus UiTM 2013 #DemiUiTM
Musim Pilihanraya Kampus (PRK)
kini kembali, kehangatan PRK di IPTA lain seperti UKM, UM dan UIA begitu
dirasai apabila mendapat tempat di akhbar-akhbar tempatan, tetapi berbeza
dengan apa yang berlaku pada PRK UiTM, ini kerana mahasiswa UiTM sendiri tidak
mengetahui dan mendapat info tentang bila PRK akan dilaksanakan.
PRK UiTM dilihat seperti sekadar simbol
bahawa Universiti ini masih demokratik dan menjunjung prinsip demokrasi, walhal
yang berlaku di sebalik tabir, satu tangan ghaib ( dibaca : Hal Ehwal Pelajar -
HEP ) mengawal dan mencorakkan PRK ini,
setiap calon MPP sebenarnya telah dipilih awal-awal lagi dan setiap
calon yang ingin bertanding perlu melepasi beberapa saringan kem rahsia (
menurut sumber : terdapat 8 Kem sepanjang semester ) , setiap mereka yang
mengikuti kem ini tidak dibenarkan membawa sebarang alat komunikasi seperti
telefon bimbit, mereka akan ‘dibrainwash’ sepanjang kem dan didalam
perjalanan menuju ke Kem-Kem rahsia ini, setiap peserta diwajibkan menutup mata
mereka menggunakan kain hitam, di antara lokasi kem ini diadakan adalah di
Pantai Remis, Perak.
Pilihanraya Kampus (PRK) UiTM
juga sebenarnya bersifat ekslusif dan dalaman apabila hari pengambilan borang
Calon MPP, tidak diwar-warkan kepada umum, malahan kelibat Dekan Fakulti juga
amat sukar untuk dijumpai oleh calon-calon bebas yang bukan dari calon pilihan
HEP. Tanpa pengesahan Dekan, maka
kelayakan untuk bertanding telah gugur, hal ini dapat menjawab tomahan bahawa
mahasiswa UiTM tidak peka dengan politik kampus apabila banyak Fakulti calonnya
menang tanpa bertanding, tetapi hal sebenarnya, calon-calon yang bukan pilihan
telah digugurkan dan yang dibenarkan bertanding hanyalah calon-calon mereka
sahaja.
Seusai penamaan calon, Calon-calon MPP yang mendapat kelayakan untuk
bertanding ini akan dikuarantinkan dari pelajar-pelajar lain, jika di Kampus
Induk, mereka akan dikuarantinkan di INTEKMA Resort, Shah Alam. Sepanjang tempoh kuarantin, mereka sekali
lagi akan ‘dibrainwash’ oleh beberapa pihak dan sewaktu kuarantin ini
dilaksanakan, kelibat ahli politik UMNO juga dapat dilihat memasuki kawasan
INTEKMA.
Hari kempen calon juga amat
minima, mahasiswa tidak mempunyai cukup masa untuk mengenali calon dan apa manifesto yang dibawa mereka (
manifesto kebanyakkan calon MPP ini adalah agak sama dan terlalu umum ) ,
calon- calon seharusnya perlu untuk berdebat diantara mereka bagi mahasiswa
atau para pengundi dapat melihat ciri kepimpinan yang ada pada seseorang calon
tersebut selain mahasiswa dapat berfikir secara kritis terhadap sesuatu isu
yang dibawa.
Apabila tiba hari mengundi,
semangat untuk mengundi dikalangan mahasiswa sendiri amat kurang dan merasakan
ianya tidak penting, kerana seawal lagi PRK ini telah dinisbatkan kepada
sesuatu yang tidak perlu bagi mahasiswa apabila tarikh-tarikh dan info penting
untuk PRK tidak dihebahkan, sekadar menjadi hal bualan orang dalaman
sahaja. Apa perlunya untuk mengundi jika
calon-calon ini telah dipilih? Satu faktor
yang menyebabkan PRK UiTM dilihat lesu adalah apabila kerusi yang dipertandingkan
hanya lah kerusi Fakulti, PRK UiTM tidak mempertandingkan Kerusi Umum untuk
calon-calon yang bakal merebut Ahli Majlis Tertinggi dalam Majlis Perwakilan Pelajar,
MT MPP ini juga hanyalah dipilih melalui sesi undian angkat tangan sesama calon
yang menang, tidak ubah seperti kanak-kanak Sekolah Rendah memilih ketua kelas
bagi menjadi wakil mereka.
Selesai sahaja penamaan calon,
terpampang di media cetak mahupun elektronik bahawa Pro-Aspirasi menang besar
di UiTM, tetapi realitinya di dalam syarat untuk bertanding, calon JPP ini tidak boleh
mengadakan satu pakatan, jadi bagaimana mereka boleh dilabelkan kepada
Pro-Aspirasi? Jika benar hal ini dibolehkan, maka wajar sekali Pro-Mahasiswa
atau Pro-Demokrasi diberikan hak mereka untuk bertanding.
Kesimpulannya, PRK UiTM ini
hanyalah sekadar simbolik bahawa universiti masih demokratik, calon-calon MPP
ini hanyalah boneka kepada tangan ghaib ini,
apabila mereka menjadi MPP, kebanyakkan manifesto tidak ditunaikan,
aduan Mahasiswa mengenai sesuatu perkara juga dipandang enteng, dengan
menggunakan skema jawapan yang sama supaya “bersyukur” , jadi apa
relevennya mereka membuka kotak aduan? MPP juga dikatakan sebagai Majlis
Perwakilan Pentadbiran, ini kerana jika terdapat kritikan dan cadangan tentang
penambahbaikan sesuatu perkara, skema jawapan sama akan diberikan seperti “kami
telah ajukan kepada pihak atasan”, “kami tidak boleh buat apa-apa kerana
itu keputusan pihak atasan”. Jadi
apa objektif kami mengundi anda sebagai MPP jika anda hanya mengikut tanpa
prinsip, anda mewakili siapa? Menjadi jurucakap pihak pentadbiran atau Wakil kepada
Mahasiswa? Jika anda merasakan MPP ini adalah wakil mahasiswa maka buktikan dan
jangan lah hanya menjadi “bagai Langau dibelakang Gajah ”.
Subscribe to:
Posts (Atom)