Buat mahasiswa yang sayangkan negara...
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim
Rentetan perjalanan negara yang dicapai oleh pemikiran mahasiswa telah membawanya kepada satu penterjemahan yang telus dan jujur. Dengan pendekatan yang lebih terbuka dan mereka sudah tidak lagi mahu menipu diri mereka hanya sekadar untuk menyedapkan mata yang melihat dan halwa telinga buat yang mendengar. Dengan rasa prihatin dalam diri, mereka bingkas bangun terlebih dahulu menyuarakan keperitan realiti kehidupan daripada menunggu realiti itu sendiri berkata-kata dengan bahana buat masyarakat dalam negara ini.
Tetapi dalam kelantangan menyuarakan realiti kehidupan yang sudah terbungkam buat sekian lama dalam diri berdarah muda ini, biarlah bijak menyusun langkah, tepat menghunus hujah dan bicara kata supaya tidak nanti " Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."
Bagi yang punya jalan mereka sendiri untuk menyuarakan realiti kehidupan, jangan sesekali dicemuh jalan itu. Mereka punya sebab tersendiri yang lebih meyakinkan diri mereka untuk berjalan dengan jalan yang mereka pilih. Dan jika kita punya jalan tersendiri, berusahalah bersungguh-sungguh dengan jalan itu. Hormatilah jalan yang mereka pilih. Jangan sesekali mencemuh perbezaan jalan yang dilalui.
Tidak dinafikan ada dikalangan mahasiswa yang hanya mampu menyuarakan idea dan pandangan mereka terhadap persoalan kenegaraan melalui alam maya sahaja. Dan bagi yang menzahirkan idea dan pandangan mereka di alam realiti, janganlah pula dilabel pelbagai macam label negatif hanya disebabkan kita tidak mampu berbuat demikian. Masing-masing berjuang dengan ruang kemampuan yang mereka ada dan yakini.
"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
- Prof Ungku A. Aziz.
No comments:
Post a Comment