Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Tuesday, 13 December 2011

Surat Untuk Warga UiTM


Sebagai seorang warga UiTM, saya melihat perkara ini secara terbuka. Walaupun saya tidak begitu campur tangan tentang isu-isu yang dikemukakan kerana saya tahu kuasa veto yang menentukan sesuatu perkara bukan di tangan saya, tapi saya lebih suka membaca dan menilai, sekurang-kurangnya saya memahami apa yang berlaku. Kecemerlangan dan rasa tanggungjawab bukanlah terletak di atas transkrip keputusan peperiksaan dan jawatan tertentu semata-mata, tetapi bagi saya, setiap warga UiTM yang mempunyai rasa kasih dan nilai yang tinggi pada institusi ini perlu campur tangan dengan cara yang terbaik dan mestilah selari dengan objektif sebenar iaitu untuk menyatukan semua dalam setiap lapisan warga UiTM. Sesungguhnya tindakan mereka yang gemar memainkan isu secara retorik semata-mata tetapi dalam diam hanya bertujuan memecahbelahkan institusi ini adalah sangat tidak wajar.

Berdasarkan pemerhatian saya, ada tiga kategori yang saya rasa peranan mereka perlu diperjelaskan disini tentang kelibat mereka dalam setiap isu yang dikemukakan. Mereka adalah pelajar-pelajar itu sendiri, kakitangan-kakitangan dan pihak-pihak luar. Kehadiran mereka ini sekaligus merungkai setiap permasalahan yang dihadapi dan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka dalam keadaan yang begitu sihat dan terkawal. Itu dahulunya yang saya lihat. Tetapi kini, berlakunya pertembungan rasa di antara mereka. Kesinambungan kerjasama antara mereka sebelum ini juga semakin berkurang. Maka timbulah isu-isu yang sememangnya tidak wajar dijadikan santapan bagi mereka yang berniat membaca bukan campur tangan sekaligus mempengaruhi fikrian mereka.

Kepada sahabat-sahabat UiTM yang dikasihi,

Saya juga pelajar seperti anda. Saya juga berada di tempat anda. Secara jujur saya akui, kadang kala memang kita berasa ditindas dengan kesalahan yang begitu kecil untuk dipertikaikan, kemudahan yang ada kalanya memang ada kurangnya dan sebagainya. Sebagai seorang pelajar, kita juga diberi hak untuk bersuara walaupun kedengarannya hanya sekecil-kecil suara hati sahaja. Saya lihat memang ada yang wajar dan tidak wajar. Tetapi di sini, saya sekadar ingin berkongsi kepada sahabat sekalian, UiTM sudah melakukan yang terbaik. Setiap peraturan dan tindakan yang diperuntukkan untuk kebaikan semua pihak. Janganlah begitu menyalahkan peraturan kerana satu ketika, peraturan daripada ibu bapalah yang mendidik kita dan meletakkan kita di UiTM sekarang ini, bukan begitu? Sesungguhnya setiap yang dicipta oleh manusia itu ada kelemahannya sendiri. Jika rasa kurang setuju dengan tindakan yang dikenakan, kita cuba guna saluran yang betul untuk mengutarakan rasa bukan mengeruhkan lagi keadaan. Seboleh-bolehnya kawal rasa dan bahasa semoga yang membaca dan melihat dari sudut pandangan mereka lebih berfikiran positif untuk menilai masalah yang kita hadapi. Sebaik-baik aduan adalah mereka yang mencerminkan keperibadian melaluinya. Indah bukan? Jadi sebagai pelajar UiTM yang hensem-hensem dan cantik-cantik belaka; merujuk kepada motivasi penghargaan dan kebaikan dalam pelajar itu sendiri, marilah kita bersatu menaikkan nama UiTM yang tercinta ini. Jatuh bangun sesebuah institusi itu terletak di tangan anak bangsa itu sendiri. Ayuh sahabat.

Kepada kakitangan-kaitangan UiTM yang dihormati,

Melihat kepada peranan anda dalam UiTM, apa yang saya boleh simpulkan, satu jasa yang sangat besar dan sangat bernilai dalam mendidik anak bangsa melalui setiap tanggungjawab yang telah diamanahkan. Perjalanan UiTM sebagai institusi yang semakin menyinar di persada antarabangsa tidak lengkap tanpa sumbangan yang anda berikan. Syabas saya ucapkan. Tetapi melihat daripada sudut pandangan yang berbeza, kadang-kala keluar sedikit suara-suara kecil, bukan mempertikaikan tetapi cuma mengadu rasa tentang kekurangan perkhidmatan yang sepatutnya diberikan. Kepincangan dalam hal ini juga ada kalanya menyebabkan pelbagai aduan dan tuduhan dilemparkan. Saya yakin, anda, sebagai seorang kakitangan yang melihat perkara ini daripada sudut pandangan positif, menerimanya dengan hati terbuka dan saya berharap anda semua tidak terlalu memikirkan hal ini sehingga boleh menjejaskan prestasi anda. Jika betul ada kelemahan atau lompang mahupun kekurangan yang tak sepatutnya yang ada dalam gerak kerja anda, kita perbaiki. Tidak semua manusia sempurna. Sesungguhnya, jelas selama ini anda telah memberi perkhidmatan yang terbaik. Kita belajar daripada kekurangan dan teguran dan melihat ianya sebagai satu sambungan untuk melakukan lebih baik pada UiTM yang tercinta. Tanpa kakitangan UiTM yang begitu proaktif dan idealistik dalam setiap tugas seperti anda, siapalah UiTM, bukan begitu?

Kepada pihak-pihak luar yang dihargai,

Terima kasih diucapkan kerana begitu melihat kondisi UiTM sebagai satu institusi yang mampu melangkah lebih jauh. Terima kasih juga di atas setiap bantuan yang diberikan. Sesungguhnya kerjasama daripada pihak luar sangat dihargai dalam masa yang sama dapat membawa imej UiTM ke seluruh negara. Tetapi, sedikit dukacita tentang suara-suara sumbang dan campur tangan sesetengah pihak dalam institusi UiTM. Sedikit teguran, tidak perlulah datang dengan cara memulakan sesuatu isu yang tidak wajar dibincangkan. Ketepikan isu politik mahupun segala bentuk rencah yang kurang enak. Hormatilah institusi ini sebagai permulaannya satu ikatan bangsa yang begitu kukuh. Janganlah cemari fikiran dan minda kami warga UiTM dengan perkara yang tidak berasas. Sesungguhnya kita menerima kehadiran pihak luar dengan cara baik dan hati terbuka, begitu jugalah kebaikan yang akan ditinggalkan nanti ketika pulang oleh pihak anda.

Terima kasih kepada yang membaca. Minta maaf jika ada terkasar bahasa mahupun kekurangan. Saya hanya berkongsi rasa, bukan kerana nama, tetapi kerana keperluan yang sememangnya wajar dihulurkan. UiTM Di Hatiku.


FIKRI JUMIRAN

1 comment: