Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Sunday, 11 December 2011

Pengajaran Daripada al-Jazari

Pengajaran Daripada al-Jazari 

Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

Dalam program Ilmuwan Islam terbitan TV3 yang diacarakan oleh Dr. Maszlee Malik. Ianya menceritakan tentang ilmuwan Islam yang terkenal dalam bidang kejuruteraan terutamanya mekanikal iaitu al-Jazari. Apabila al-Jazari mencipta alat mekanikal automatik untuk mengangkutkan air bagi tujuan pengairan, dia berwaspada dengan persepsi masyarakat ketika itu. Ini disebabkan pada ketika itu, sesiapa yang menggerakkan sesuatu peralatan tanpa menggunakan tenaga manusia dan binatang akan dianggapkan sebagai magik atau menggunakan sihir. Jadi bagi mengelakkan dia dituduh mengamalkan sihir, beliau telah meletakkan seekor keldai diatas alat mekanikal tersebut bagi menunjukkan alat tersebut berfungsi menggunakan kuasa binatang manakala bahagian bawahnya berfungsi secara automatik. 

            Di dalam program itu turut menyatakan bahawa tamadun Islam bertuah kerana al-Jazari yang meneroka teknologi tersebut. Ini kerana ilmu mekanik sebelum zamannya dikenali sebagai sains muslihat. Dan sesiapa yang yang mempunyai niat serong akan menggunakan ilmu tersebut bagi menjadikan diri mereka dipandang hebat. Selain itu, mereka akan menggunakannya untuk menunjukkan bahawa itu adalah magik dan lebih teruk lagi, mengatakan diri mereka Tuhan. Ini dibuktikan pada zaman Firaun. Ketika itu, pintu gerbang dibuka dengan menggunakan kuasa hidraulik dan berfungsi secara automatik. Lalu, Firaun menggunakannya untuk mengatakan dirinya adalah Tuhan dengan cara apabila dia menunjukkan jarinya ke arah pintu gerbang, ianya akan terbuka dengan sendiri. Itu membuatkan sesiapa yang melihatnya akan mengatakan bahawa Firaun mempunyai kuasa yang hebat dan mengakui dia sebagai Tuhan. Berlainan dengan al-Jazari. Beliau merupakan seorang ilmuwan Islam yang beriman. Segala kemahiran dan ilmu kejuteraan tersebut digunakan untuk masyarakat ketika itu bagi mengairi saliran air. Dan ilmu ini apabila semakin diterokai, semakin membuatkan dirinya sedar sebagai seorang hamba kepada Maha Pencipta.

            Selepas menyorot kembali sejarah kehidupan dan hasil inovasi al-Jazari. Ianya membuat saya berfikirkan akan perbandingan zamannya dengan zaman sekarang. Menyedari kembali akan semua itu, kecanggihan teknologi sepatutnya dikuasai oleh manusia yang beriman. Jika ianya dikuasai oleh manusia yang mempunyai pelbagai sifat buruk, ianya akan membuatkan kecanggihan teknologi dan manfaat darinya akan kabur dan pelbagai persepsi negatif akan diberikan kepada teknologi tersebut. Seperti kebanyakkan teknologi yang kita ada sekarang. Antara teknologi yang paling jelas yang boleh dibuat contoh adalah teknologi nuklear. Lihat sahaja apabila teknologi nuklear dikuasai oleh Amerika. Sungguhpun mereka menjadikannya sebagai kuasa untuk menjana tenaga bagi dimanfaatkan oleh masyarakat dinegara itu tetapi ianya lebih banyak dijadikan bom. Dan digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang mereka musuhi. Walaupun Iran menuju kearah untuk membina kemudahan loji tenaga nuklear di negaranya bagi dimanfaatkan sepenuh untuk kegunaan kearah kebaikan seperti menjana elektrik. Tetapi persepsi masyarakat dunia yang sudah tertanam dalam pemikiran mereka bahawa nuklear itu merupakan suatu yang buruk dek kerana tangan-tangan yang menguasai teknologi itu menggunakannya kearah kemusnahan. Dengan mudahnya dunia menerima provokasi daripada Amerika yang menuduh Iran mahu mambangunkan teknologi pemusnah daripada teknologi nuklear tersebut. Lalu, Iran yang berniat mahu menggunakannya bagi tujuan yang baik pun  turut disalah anggap oleh masyarakat dunia dengan pelbagai tuduhan yang mengatakan Iran mahu membangunkan teknologi pemusnah secara besar-besaran. Walaupun Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad telah menyatakan berulang kali bahawa teknologi nuklear tersebut dibangunkan untuk dimanfaatkan oleh negara Iran bagi menjana tenaga elektrik.

            Apa yang saya cuba huraikan di sini bukanlah satu kesimpulan yang ringkas tanpa memahaminya dengan baik. Tetapi ianya merupakan satu pengajaran yang jelas daripada apa yang berlaku kepada al-Jazari dalam usahanya untuk meneroka dan melestarikan kembali satu teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh umat manusia bagi tujuan kebaikan. Oleh sebab itu, perlunya pada zaman sekarang orang yang beriman dan mampu menguasai pelbagai cabang teknologi. Supaya dapatlah dimurnikan kembali pelbagai teknologi yang disalahguna untuk tujuan keburukan yang memudaratkan umat manusia dan juga alam sekitar. 

            Keadaan ini merujuk kembali akan kesejahteraan dan kemurniaan yang dituntut dalam ajaran Islam dan ianya hanya dapat dizahirkan oleh umat Islam yang beriman sahaja. Umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan dan sentiasa berusaha kearahnya. Oleh sebab itu, kedatangan Islam adalah untuk membebaskan umat manusia daripada cengkaman kuasa teknologi yang telah disalahgunakan oleh sebahagian kelompok manusia yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat keatas manusia yang lain.

            Sesungguhnya golongan profesional dalam bidang-bidang penting perlu diberi kefahaman yang sebenar akan tuntutan Islam supaya wujud pemurniaan dalam  bidang keilmuan lantas membawa kepada pemurniaan bidang teknologi yang akan berkembang kelak bagi generasi seterusnya. Besar sungguh tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mahasiswa Islam. Satu pengajaran penting buat mahasiswa Islam seluruh dunia. Terharu rasanya kerana saya sendiri mempunyai bahagian yang perlu dilaksanakan dalam tuntutan tanggungjawab itu.

            Alhamdulillah. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT yang menyedarkan saya akan tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk umat manusia sekeliannya melalui program Ilmuwan Islam yang saya tonton pada jam 6.30 petang Jumaat, 11 November 2011. TV3 sememangnya akan menjadi pendorong inspirasi, pengislahkan pemikiran masyarakat dan memcambahkan pelbagai idea perubahan yang lebih baik jika pengisian programnya lebih berkonsepkan ilmu pengetahuan dan perbincangan sejarah kegemilangan Islam.

No comments:

Post a Comment