Selamat Datang ke Laman Rasmi Gabungan Mahasiswa UiTM SeMalaysia atau lebih dikenali sebagai GAMUS.
Penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan idealisme mahasiswa-mahasiswa UiTM dari seluruh pelusuk kampus di serata Malaysia, dari Kampus Perlis hingga ke Kampus Tawau, Sabah.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran yang kritis dalam menghasilkan artikel mengenai mahasiswa, universiti dan hal2 akademik hantarkan artikel anda kepada kami melalui emel: gamusofficial@gmail.com

Segala artikel di dalam blog ini adalah hak milik setiap individu dan kami tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa pandangan yang diutarakan.

Facebook GAMUS | Twitter GAMUS
MASUK

Sunday, 11 December 2011

Pembelajaran Sejarah


Pembelajaran Sejarah
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim

Dalam pelbagai perkara, sejarah memainkan peranan penting dalam kesinambungan kehidupan supaya ianya berjalan diatas dasar yang nyata. Mana tidaknya, tiada dahulu tiada sekarang. Dalam melihat sejarah, terdapat pelbagai perkara yang dapat dilihat dengan jelas perjalanan sesuatu kehidupan supaya nyata atas dasar apa ianya berlangsung. Lalu, tiadalah dikatakan hidup tidak berprinsip.

            Bagi menjelaskan lagi konteks perbincangan ini, saya khususkan kepada penghayatan sejarah terhadap tamadun-tamadun terdahulu dalam membina satu pembangunan yang mapan pada zaman sekarang. Usaha membina asas pada zaman sekarang berdasarkan pengalaman-pengalaman masyarakat yang direkodkan dalam lipatan sejarah merupakan usaha yang bijak dan menguntungkan bagi beberapa aspek.

            Antaranya ialah sudah terlalu banyak tokoh-tokoh yang dinaikkan daripada lipatan sejarah untuk dibanggakan dan dicontohi kehebatan nilai-nilai dan semangat yang ada pada mereka. Namun, usaha mencontohi nilai kemajuan tamadun terdahulu amat sedikit dicontohi dan diaplikasikan dalam kehidupan bagi menuju pembangunan masyarakat. Dan kurang juga kajian bagi asas-asas pembangunan tamadun terdahulu tetapi yang hanya dibanggakan hanyalah hasil-hasil yang sudah sedia ditinggalkan oleh tamadun terdahulu terutamanya tamadun Islam terdahulu.

            Menjadi satu bahagian penting untuk dikaji oleh kita semua terhadap dasar-dasar yang telah membangunkan tamadun-tamadun yang hebat terdahulu. Dengan usaha ini sajalah dapat dilihat dengan jelas matlamat pembangunan yang kita impikan tanpa dirugikan oleh elemen-elemen yang merosakkan usaha ini. Malah dengan usaha kajian terhadap dasar dan usaha menteladaninya akan memudahkan usaha-usaha bagi merintis kemajuan yang diimpikan dengan lebih produktif dan efisien.

             Antara contoh-contoh tamadun yang berjaya dengan hebatnya dan terdekat dengan kita ialah tamadun Kesultanan Melayu Melaka. Yang suatu ketika dahulu mencapai kegemilangannya pada waktu zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Pada zamannya, pemerintahan dan urusan pentadbiran sentiasa terbuka dalam menerima nasihat dan teguran daripada para ulama. Ianya selari dengan tuntutan hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan perihal kepentingan hubungan antara umara' dan ulama. Pemerintahnya pula teguh berpegang dengan prinsip ajaran Islam, lantas memenangi hati rakyat dan meletakkan mereka semua sehati dan sekata dalam melaksanakan sesuatu usaha pembangunan negara.

            Asas-asas pembangunan sebeginilah yang seharusnya kita singkap semaksima mungkin dalam memahami dasar-dasar yang kukuh bagi sesebuah usaha yang hendak dijalankan supaya kita tidak membuang masa dengan dasar-dasar yang tidak berasas dalam usaha merintis sesebuah pembangunan yang mapan.

            Harus disedari secara bersama oleh kita semua bahawa dengan merenungi kembali sejarah kegemilangan tamadun terdahulu barulah kita dapat merencanakan kembali asas-asas yang kukuh dalam usaha pembangunan bagi setiap aspek penting seperti pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan seumpamanya. Pemahaman inilah yang sepatutnya diberikan oleh kita semua terhadap pembelajaran sejarah supaya dapat dimanfaatkan semaksima mungkin elemen-elemen penting ada dalam proses pembelajaran.

            Justeru itu, saya sangat bersetuju dengan pensyarah pengajian liberal saya iaitu Cik Salawati mengatakan dalam kuliahnya bahawa sepatutnya pembelajaran sejarah diwajibkan supaya semua orang dapat membawa satu perjalanan hidup yang lebih baik hasil daripada penelitian dan penghayatan pembelajaran sejarah. Ditekankan peri pentingnya peranan sejarah terdahulu dalam memandu masyarakat sekarang kearah yang lebih baik dan lebih kukuh.

            Berikutan dengan kepentingan sejarah dalam masyarakat, kita dapat lihat para pemikir-pemikir yang memajukan masyarakat merupakan individu yang mengkaji sejarah sehingga membuatkan mereka berpandangan jauh dalam mengeluarkan sesuatu pendapat dan idea yang secara jelas boleh kita lihat dalam beberapa penulisan mereka. Semua ini adalah hasil daripada perkaitan peristiwa sejarah lampau dengan situasi semasa mereka. Yang mana kita semua sedia tahu bahawa sejarah menerangkan konsep asas, cuma ianya berbeza situasi dan keadaan.

            Oleh sebab itu, penelitian dan penghayatan sejarah memainkan peranan penting dalam pembentukan pemikiran yang matang dan bersifat optimistik dalam membuat sesuatu penilaian. Lantaran itu, pembelajaran sejarah merupakan satu bahagian wajib dalam pembentukan pemikiran yang lebih dinamik dan progresif. Salah satu sifat sejarah ialah kita belajar dari kesakitan dan perit jerih generasi terdahulu dalam menempuh cabaran dalam kehidupan mereka.

            Perlu diingat bahawa sejarah bukan sesuatu yang diulang dan diulang apabila habis diceritakan. Begitu juga perihalnya, sejarah bukanlah sekadar satu subjek yang sekadar dihafal tarikh, nama tokoh, peristiwa yang berlaku atau seumpamanya. Tetapi ianya adalah sesuatu perkara yang sepatutnya difahami dan dilahirkan semula segala intipatinya dalam realiti kehidupan bagi dimanfaatkan oleh generasi sekarang. Bukannya sekadar menjadi tontonan buat generasi sekarang apabila membaca tentang sejarah tamadun terdahulu dan berbangga dengan kejayaan masyarakat terdahulu semata-mata.
           

No comments:

Post a Comment