" Generalisation "
Oleh Muhammad Hafizan Bin Abdul Halim
Istilah ini saya peroleh daripada ucapan Timbalan Rektor HEP UiTM, Kampus Seri Iskandar iaitu Prof. Madya Mohd Fisal bin Ishak yang berucap dalam Majlis Beramah mesra Bahagian Keselamatan Bersama Pelajar anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Beliau merujuk akan sikap sebahagian pelajar yang secara terus menyalahkan pihak Bahagian Keselamatan apabila menghadapi masalah dengan Pengawal Keselamatan sehingga memburukkan semua pihak yang berada dalam bahagian tersebut.
Pengkhususan dalam beberapa perkara yang dibincangkan amatlah perlu bagi mengelakkan ianya bersifat umum lantas melibatkan semua pihak. Dalam erti kata lain sesuatu lontaran pendapat ataupun kritikan perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin dengan menyatakan pengkhususan pihak yang terlibat bagi mengelakkan pihak lain turut terkena tempiasnya. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sedangkan dalam al-Quran sendiri pun mengkhususkan dan memperincikan setiap perkara mengikut ukuran ataupun klasifikasinya, Perkara ini saya merujuk buku Adab Dialog Dalam Islam, tulisan Dr. Muhammad Sayyid Tantawi yang menyatakan dalam mukasurat 57, perenggan ketiga : "Kita dapati Allah SWT tidak menafikan kesyukuran, keimanan, jihad dan kebajikan daripada seluruh manusia, tetapi ia dikaitkan dengan bilangan yang sedikit sahaja, iaitu mereka yang beriman dan bersyukur serta berjhad dengan ikhlas". Dalam erti kata lain, dalam al-Quran itu sendiri dikhususkan hukum dan peringatan dengan menggunakan ayat seperti "sebahagian","sedikit" dan "kebanyakkan".
Dari sini kita dapat lihat, al-Quran mengajak manusia supaya berfikir secara teliti dan berhati-hari dalam sebarang urusan terutamanya perkara yang melibatkan orang lain dengan mengkaji dan menganalisis terlebih dahulu. Ini perlu bagi menyuarakan sesuatu pendapat secara tepat dan jelas. Jika tidak, ianya akan menyusahkan pihak yang tidak terlibat dalam sesuatu masalah itu. Keadaan ini secara jelas saya merujuk kepada mahasiswa sekarang apabila menghadapi sebarang masalah ataupun kesulitan, kebanyakkannya akan secara terus menuding jari kepada semua orang dalam sesuatu pihak itu tanpa mengkhususkannya dengan baik. Secara tidak langsung, ia bukannya dapat menyelesaikan masalah tetapi memburuk lagi keadaan dan sesebuah pihak yang dituduh itu.
Menjadi satu keperluan yang penting bagi mahasiswa untuk merenung kembali penulisan ini dalam usaha membuang sejauh mungkin permikiran sebegini supaya kita dapat menjadi mahasiswa yang tepat dan jelas dalam menyuarakan sesuatu masalah kepada pihak yang bertanggungjawab. Sebagai mahasiswa Islam, marilah kita melihat kembali pendekatan yang al-Quran bawa dalam membimbing manusia kearah jalan yang benar, supaya tidak terbabas dari landasan yang sebenar dalam menghadapi cabaran yang mendatang hari demi hari sepanjang kita menuntut ilmu.
No comments:
Post a Comment